Skip to main content

Singapura

Bekas penolong jurutera PUB dijel, didenda atas kesalahan terima rasuah

Sebagai seorang penolong jurutera di agensi air kebangsaan PUB, dia menerima sogokan bernilai puluhan ribu dolar daripada seorang pengurus projek sebagai "bayaran penyeliaan" untuk memudahkan dan mempercepatkan projek-projek di tapak-tapak kerja PUB.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas penolong jurutera PUB dijel, didenda atas kesalahan terima rasuah

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 16 Nov 2021 05:29PM Dikemas Kini : 16 Nov 2021 05:30PM

SINGAPURA: Sebagai seorang penolong jurutera di agensi air kebangsaan PUB, dia menerima sogokan bernilai puluhan ribu dolar daripada seorang pengurus projek sebagai "bayaran penyeliaan" untuk memudahkan dan mempercepatkan projek-projek di tapak-tapak kerja PUB.

Dua tahun kemudian, Jamaludin Mohamed meminta wang sogokan sebanyak S$500,000 daripada seorang eksekutif di sebuah firma kejuruteraan sebagai upah membantu syarikat itu memenangi tender untuk menggantikan beberapa saluran air.

Jamaludin, kini berusia 58 tahun, hari ini (16 Nov) dihukum penjara sembilan bulan dan 10 minggu serta didenda S$45,169 - iaitu jumlah wang sogokan yang diterima daripada pengurus projek itu.

Rakyat Singapura itu mengaku bersalah ke atas dua tuduhan rasuah dan satu tuduhan memalsukan kenyataan di bawah Kanun Keseksaan. Dua tuduhan serupa diambil kira dalam menentukan hukuman.

Pada November 2017, Jamaludin menghubungi Ganisan Suppiah, yang merupakan pengurus projek dua syarikat binaan, iaitu Krishco Singapore Construction dan Pipe Works, menurut Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Charis Low.

Pipe Works diberikan subkontrak untuk melakukan kerja-kerja tertentu di tapak-tapak kerja PUB.

Jamaludin meminta 'bayaran' daripada Ganisan sebagai upah memastikan dokumen yang diserahkan diselenggarakan dengan cepat supaya Pipe Works boleh mulakan kerja dengan lebih awal. Dia juga akan memberi keutamaan kepada para pekerja Pipe Works untuk meletakkan paip di tapak-tapak binaan.

Jamaludin kemudian menubuhkan sebuah syarikat baru, Daeyul Services, untuk menerima bayaran haram itu melalui invois palsu yang diberikan kepada dua syarikat binaan tersebut bagi kerja-kerja pembersihan rekaan di tapak-tapak binaan.

Ganisan menyerahkan wang sogokan secara tunai kepada Jamaludin apabila mereka berjumpa di kedai kopi.

Ganisan, kini 52 tahun, berdepan satu tuduhan rasuah dan dua tuduhan memalsukan dokumen. Kesnya kini dibicarakan di mahkamah.

Dalam kejadian kedua, pada 25 Julai 2019, Jamaludin bertemu dengan seorang eksekutif pengurusan dari Ley Choon Construction and Engineering di sebuah kedai kopi di Kranji.

Jamaludin memberitahu kakitangan eksekutif itu bahawa dia boleh membantunya untuk mendapatkan tender bagi menggantikan saluran paip, di mana sebuah firma bersekutu
membuat bidaan.

Dia meminta bayaran "setengah juta" bermakna S$500,000 dan memberitahu kakitangan eksekutif itu bahawa dia boleh menubuhkan sebuah syarikat dan mengenakan bayaran kepada syarikat itu atas "khidmat-khidmat yang ditawarkan".

Kakitangan eksekutif itu kemudianberkata bahawa beliau perlu memaklumkan hal tersebut kepada pihak pengurusan namun beliau menolak saranan Jamaludin pada keesokan hari.

Pada bulan yang sama, Jamaludin cuba mendapatkan wang sogokan dalam jumlah yang tidak ditentukan daripada sebuah lagi syarikat, SKK Works, berhubung tender yang sama.

Dalam satu kenyataan pada Ogos, PUB menyatakan bahawa Jamaludin diberhentikan kerja pada Januari lalu menyusuli siasatan dalaman berhubung salah laku tidak berkaitan dengan kesalahan rasuah, tanpa memberi perincian.

Ia menyatakan pada ketika itu: "PUB tidak bertolak ansur terhadap sebarang salah laku oleh para kakitangannya dan mengekalkan sistem langkah yang menyeluruh secara dalaman bagi mencegah dan mengesan perbuatan sedemikian. Ia adalah piawai standard kami untuk melaporkan sebarang syak wasangka perbuatan rasuah oleh sebarang kakitangan, jika ada, kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah dengan segera."

Bagi kesalahan menerima atau cuba menerima wang sogokan, Jamaludin boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan memalsukan rekod, Jamaludin boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita