Bekas penolong cef restoran Michelin 3 bintang kejar impian buka gerai sendiri; lanjutkan pengajian ke universiti belajar selok-belok berniaga

Gambar: 8days
SINGAPURA: Terletak di sebuah kawasan kediaman yang tenang di Mountbatten, Blackgoat - gerai milik peniaga Muslim - dikendalikan oleh Fikri Rohaimi.
Beliau seorang mahasiswa sambilan berusia 23 tahun yang pernah masuk ke dapur restoran-restoran terkenal seperti Burnt Ends dan Zen.
Gerai serba sederhananya, yang bertempat di Pusat Penjaja Jalan Batu, dipasang dengan papan tanda monokrom yang tertera namanya. Gerainya menawarkan burger, daging panggang arang serta makanan laut.
Bukan sahaja ia tidak mempunyai menu tetap, gerai setahun jagung yang baru berusia dua bulan itu juga lain daripada yang lain.
Blackgoat menyajikan hidangan yang berbeza-beza sepanjang minggu. Contohnya, hidangan panggang seperti striploin dan ikan tenggiri boleh didapatkan dari hari Rabu hingga Jumaat, manakala burger istimewa pula pada sebelah hujung minggu. Terdapat juga hidangan musiman yang disediakan , namun menerusi pesanan sahaja.
“Saya mempunyai banyak idea, banyak perkara yang saya mahu lakukan,” kata Encik Fikri sambil menekankan bahawa beliau tidak bercadang untuk menawarkan menu tetap dalam masa terdekat.
PERNAH BEKERJA DI RESTORAN MICHELIN
Menu pelbagai yang ditawarkan Blackgoat mula masuk akal apabila Encik Fikri berkongsi cerita ketika ditemu bual.
Kebanyakan hidangan yang ditawarkan di gerai Blackgoat adalah berdasarkan pengalaman yang dilaluinya sebelum ini. Minat memasak mula berputik dalam diri penjaja itu sedari kecil lagi.
"Saya membuat kerja sukarela di sebuah dapur masjid semasa saya berusia kira-kira sembilan tahun," katanya.
Beliau mula bekerja sambilan sebagai perantis di restoran Michelin satu bintang, Burnt Ends – yang memberi inspirasi kepada menu panggang yang kini ditawarkan di gerainya – ketika menuntut di Maktab Rendah (JC) Meridian.
TANGGUH MASUK UNIVERSITI DEMI TIMBA LEBIH BANYAK PENGALAMAN KULINARI
Selepas menamatkan peperiksaan peringkat GCE ‘A’, Encik Fikri tidak memilih haluan 'biasa' untuk melanjutkan pengajian ke menara gading tetapi sebaliknya, beliau menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
“Saya sangat gemar memasak dan saya tahu saya mahu menangguhkan dahulu pengajian saya untuk menimba lebih banyak pengalaman,” jelasnya.
Encik Fikri kemudian diterima menjalani latihan amali di restoran Michelin tiga bintang, Nordic, di mana beliau dinaikkan pangkat menjadi cef demi (penolong cef) yang tugasnya kebanyakannya tertumpu kepada penyediaan makanan.
Beliau meninggalkan restoran itu selepas dua tahun pada Februari untuk melanjutkan pelajarannya.
TERJUN BOTOL BUKA GERAI
Pada mulanya, Encik Fikri merancang untuk mencari pekerjaan sementara sambil mengikuti kelas malam bagi kursus ijazah sambilannya dalam jurusan perniagaan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
“Saya mahu bekerja dalam bidang makanan dan minuman (F&B), jadi saya merancang untuk mempelajari lebih lanjut tentang aspek perniagaan terlebih dahulu,” kongsinya.
Bapa Encik Fikri, seorang ejen hartanah, mencadangkan agar beliau membuka gerai sebagai cara untuk menimba lebih banyak pengalaman.
“Ia adalah buah fikiran ayah saya. Dia membuat bidaan (untuk gerai penjaja) semasa saya masih lagi bekerja di Zen. Apabila saya pulang dari bercuti (selepas meninggalkan restoran itu), dia memberitahu saya – oh kami sudah dapat gerai,” cerita Encik Fikri lanjut.
Keluarganya memutuskan untuk meneruskan rancangan itu.
“Saya cenderung melakukan sesuatu dan memikirkannya apabila saya melaluinya,” tambahnya.
Kelas bagi kursus ijazahnya akan bermula pada bulan Ogos.
“Mudah-mudahan saya dapat mengupah seseorang dan cuba mengimbangi kedua-duanya," ungkap beliau.
KELUARGA TURUT MENYINGSING LENGAN DI GERAI
“Semua orang teruja dengan gerai itu dan ingin membantu,” kata Encik Fikri yang keluarganya tinggal di kawasan pusat penjaja tersebut.
Beliau mempunyai lima adik-beradik yang meluangkan masa untuk membantunya di gerai tersebut.
Bapa Encik Fikri pula membantu untuk menerima pesanan setiap hari Rabu hingga Jumaat, manakala ibunya kerap datang untuk membantu dengan persiapan makanan.
Blackgoat terletak di #01-05 Pusat Penjaja Jalan Batu, 4A Jln Batu, S432004. Gerai itu kini ditutup sempena Hari Raya Aidilfitri dan akan dibuka semula pada 3 Mei.
Waktu Operasi: Rabu & Khamis 5.00 petang – 8.00 malam; Jumaat hingga Ahad 5.30 petang – 8.30 malam. WhatsApp 8383 5982 untuk membuat pesanan. Maklumat lanjut melalui Instagram.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.