Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pengurus Woodlands RC dipenjara kerana gelapkan wang penduduk, menipu

Seorang wanita yang menganggur telah dirujuk oleh Anggota Parlimen di kawasannya untuk satu temu duga kerja dan diambil bekerja di Jawatankuasa Penduduk (RC) Woodlands. Namun, wanita itu menyalahgunakan kedudukannya untuk menggelapkan wang penduduk dan melakukan jenayah.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pengurus Woodlands RC dipenjara kerana gelapkan wang penduduk, menipu
Diterbitkan : 28 Sep 2020 10:31PM Dikemas Kini : 28 Sep 2020 10:34PM

SINGAPURA: Seorang wanita yang menganggur telah dirujuk oleh Anggota Parlimen di kawasannya untuk satu temu duga kerja dan diambil bekerja di Jawatankuasa Penduduk (RC) Woodlands. Namun, wanita itu menyalahgunakan kedudukannya untuk menggelapkan wang penduduk dan melakukan jenayah.

Sri Hawa Safiee, 41 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan dan enam minggu pada Isnin (28 Sep) kerana menggelapkan wang S$590 yang diamanahkan kepadanya selaku pengurus RC dan kerana menggunakan salinan cetak kad pengenalan yang dia temui dalam pejabat RC untuk melakukan penipuan telefon bimbit.

Dia mengaku bersalah terhadap satu tuduhan menipu dan satu tuduhan pecah amanah oleh seorang kakitangan. Tuduhan ketiga iaitu menyalahgunakan lagi S$2,100 yang diamanahkan kepadanya sebagai seorang pengurus RC diambil kira dalam menentukan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Sri Hawa telah berjumpa dengan APnya untuk mengadu tentang masalah kewangan yang dihadapinya dan keadaannya yang menganggur sejak 2015.

AP itu, yang tidak dinamakan dalam dokumen mahkamah, kemudian merujuk Sri Hawa untuk menjalani temu duga dan kemudian diambil bekerja oleh RC bagi Woodlands Zon 1.

Sebagai seorang pengurus RC, tanggungjawab Sri Hawa termasuk mengendalikan operasi harian, menguruskan kursus dan kegiatan serta mengendalikan akaun kewangan RC tersebut. Dia juga bertanggungjawab menguruskan bayaran tunai dan cek oleh para penduduk bagi kursus atau acara anjuran RC.

Pada awal Ogos 2015, naib pengerusi RC itu memberikan wang tunai S$500 kepada Sri Hawa, iaitu bayaran oleh para penduduk untuk tempahan meja acara makan malam tahunan sempena Hari Kebangsaan bagi RC itu.

Sri Hawa diarahkan untuk memasukkan wang itu ke dalam akaun bank RC itu dan mengeluarkan cek bagi jumlah yang sama untuk dibayar kepada kawasan undi itu.

Dia mengeluarkan cek seperti diarahkan, namun tidak memasukkan wang tunai itu. Sebaliknya, dia menggunakan wang itu untuk perbelanjaannya sendiri.

Selain itu, Sri Hawa juga membelanjakan wang S$90 yang diserahkan kepadanya pada Jun 2016 untuk dimasukkan ke dalam bank akaun RC. Jumlah itu dibayar oleh para penduduk bagi kursus membuat kek bulan.

Pada sekitar Julai 2015, Sri Hawa menemui salinan cetak kad pengenalan milik seorang wanita dalam pejabat RC itu. Ia milik seorang pekerja pembersihan yang bekerja untuk Sri Hawa di pejabat itu.

Sri Hawa menggunakan butiran wanita itu untuk mendaftar bagi pelan telefon bimbit baru, dengan menggunakan komputer di RC itu. Dia juga mendaftar bagi sebuah pakej dan menerima telefon bimbit bernilai S$998, yang dia gunakan selama beberapa bulan sebelum menjualnya pada harga S$300.

Akaun itu yang dibuka menggunakan nama mangsa, mempunyai hutang tertunggak sebanyak S$1,335.45 dan Singtel mendapatkan khidmat sebuah syarikat pihak ketiga untuk menjejaki mangsa supaya membuat bayaran.

Mangsa kemudian memberitahu anak lelakinya tentang apa yang berlaku dan anaknya membantunya membuat laporan polis.

Menyusuli siasatan dalaman oleh RC itu,penipuan Sri Hawa terbongkar dan polis telah dipanggil untuk menyiasat.

Penyelia Sri Hawa juga mendapati terdapat percanggahan dalam akaun bank itu dan satu audit dalaman dijalankan. Beliau membuat laporan polis dan Sri Hawa dipecat.

Timbalan Pendakwa Raya Ronald Ang meminta hukuman penjara selama empat bulan dan empat minggu sambil menyatakan bahawa wang yang digelapkan itu melibatkan dana Persatuan Rakyat.

Peguam bela Sri Hawa yang dilantik melalui Skim Bantuan Guaman Jenayah, sebaliknya meminta hukuman penjara tidak melebihi lapan minggu.

Ini kerana menurutnya, ia bukan satu kejadian membabitkan Sri Hawa mencuri wang berulang kali. Jumlah terbabit dalam tuduhan juga "agak rendah", iaitu S$590, katanya.

Bagi kesalahahan pecah amanah oleh seorang kakitangan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan didenda. Bagi kesalahan menipu, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Hakim membenarkan dia menunda hukumannya ke 12 Okt.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan