Bekas pengurus sekolah renang Joseph Schooling didakwa tipu 21 orang sebanyak S$80,000
Seorang ejen sukan didakwa kerana menipu 21 orang sebanyak S$87,000 dari 2017 hingga 2019, termasuk tiket bagi perlawanan bola sepak berprofil tinggi dan konsert.
Mohamed Hafidz Ja'afar (kiri) bersama Joseph Schooling. (Gambar: SSA)
SINGAPURA: Seorang ejen sukan didakwa kerana menipu 21 orang sebanyak S$87,000 dari 2017 hingga 2019, termasuk tiket bagi perlawanan bola sepak berprofil tinggi dan konsert.
Mohamed Hafidz Ja'afar dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat (27 Ogos) dan kini berdepan 21 tuduhan jenayah.
Rakyat Singapura berusia 38 tahun itu dipecat dari jawatannya sebagai pengurus di Swim Schooling - iaitu sekolah yang dibangunkan oleh juara Olimpik Joseph Schooling - tidak lama selepas dakwaan penipuan itu pertama kali terbongkar pada Julai 2019.
Beberapa individu menulis di Facebook untuk mengatakan bahawa mereka membeli tiket dari Hafidz bagi perlawanan bola sepak Piala Juara-juara Antarabangsa (ICC) antara kelab Manchester United dan Inter Milan, Itali yang diadakan di sini pada 20 Julai 2019.
Namun, mereka tidak menerima tiket yang dibeli. Apabila mereka menghubungi Hafidz, dia tidak menjawab panggilan atau membalas pesanan teks.
Dia ditangkap pada 24 Julai, empat hari selepas perlawanan ICC berlangsung.
Menurut dokumen mahkamah, dia didakwa menipu puluhan orang berkaitan pembelian tiket bagi perlawanan itu.
Dalam satu kejadian pada 3 April 2019, seorang lelaki membayar S$1,721 kepada Hafidz melalui wadah PayNow. Tiga orang memindahkan lebih S$2,000 secara keseluruhan kepada lelaki tersebut yang kemudian menyalurkan wang tersebut kepada Hafidz.
Beberapa hari sebelum itu, seorang lagi mangsa didakwa memindahkan S$4,904 kepada Hafidz bagi tiket perlawanan ICC serta tiket konsert kugiran popular dari Ireland, U2.
Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Hafidz juga dipercayai menipu beberapa lagi orang melalui helah "pelaburan", dengan seseorang memindahkan S$16,000 kepadanya bagi "pelaburan kasut".
Seorang lelaki yang ingin membeli 52 pasang kasut memindahkan S$17,516 kepadanya pada Jun 2019.
Kejadian penipuan pertama dipercayai berlaku pada November 2017, apabila Hafidz dikatakan memperdayakan seorang lelaki dengan mendakwa dia boleh membekalkan pelbagai pakaian bagi Persatuan Triathlon Singapura.
Lelaki itu memberi cek S$6,030 kepada syarikat pemasaran Hafidz, Equatre Pte Ltd, yang bertindak sebagai konsultan bagi persatuan tersebut ketika itu.
Rekod mahkamah menunjukkan bahawa Hafidz berniat untuk mengaku bersalah. Dia akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 8 Oktober dan dibebaskan dengan ikat jamin S$10,000.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda bagi setiap kesalahan menipu.
Hafidz sebelum ini bekerja dalam bahagian perhubungan di Persatuan Renang Singapura dan kemudian digajikan oleh keluarga Schooling pada 2016 untuk bantu mengendalikan hal logistik.
Dia kemudian bekerja di Swim Schooling pada 2017 sebagai pentadbir sebelum menjadi pengurus secara separuh masa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.