Skip to main content

Singapura

Bekas pengurus kanan RC Pasir Ris dijel; tipu naib pengerusi

Seorang pengurus kanan Jawatankuasa Penduduk (RC) bagi dua zon di Pasir Ris menggunakan semula baucar bayaran daripada salah satu zonnya untuk menuntut wang tunai daripada naib pengerusi dari satu lagi zon.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pengurus kanan RC Pasir Ris dijel; tipu naib pengerusi

Petikan gambar daripada Google Street View.

Diterbitkan : 16 Jul 2020 02:50PM Dikemas Kini : 16 Jul 2020 02:54PM

SINGAPURA: Seorang pengurus kanan Jawatankuasa Penduduk (RC) bagi dua zon di Pasir Ris menggunakan semula baucar bayaran daripada salah satu zonnya untuk menuntut wang tunai daripada naib pengerusi dari satu lagi zon.

Dia juga membohongi naib pengerusi Pasir Ris Zon 8 bahawa dia menggunakan wangnya sendiri untuk membayar pihak pembekal dan mahu mendapatkan bayaran balik dan menerima empat cek yang bernilai S$5,919.27 bagi invois-invois yang sudah dibayar oleh Pasir Ris Zon 7.

Atas kesalahannya itu, Li Xuanwei 37 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 12 minggu pada Khamis (16 Jul). Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan menipu, dengan dua lagi tuduhan turut diambil kira.

Dia tidak lagi bertugas di RC berkenaan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Li menyertai Persatuan Rakyat pada Mac 2008 sebagai pengurus kawasan undi, dan kemudian menjadi pengurus kanan RC Pasir Ris Zon 7 dan Zon 8.

Pada Oktober 2015, HDB, bersama dengan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol dan RC melancarkan program pembaharuan untuk menaik taraf kemudahan di kawasan berkenaan.

Program itu dibiayai sepenuhnya oleh Pemerintah dan dilaksanakan oleh pihak majlis bandaran, menurut mahkamah.

Oleh kerana program itu memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 75 peratus daripada para penduduk, RC bagi Pasir Ris Zon 7 dan 8 ditugaskan untuk menganjurkan satu acara untuk menerangkan program berkenaan kepada para penduduk dan mendapatkan sokongan mereka.

Li ditugaskan untuk menganjurkan acara sehari pada 3 Mac 2018. Dia melibatkan sama pihak pembekal, menyediakan baucar bayaran dan cek dengan dokumen-dokumen sokongan, dan menyerahkannya kepada pengerusi RC Pasir Ris Zon 7.

Selepas pengerusi itu menandatangani cek-cek tersebut, Li terus membuat bayaran kepada para pembekal. Bagaimanapun, dia menggunakan semula baucar bayaran dengan invois-invois tertentu serta resit untuk membuat tuntutan palsu daripada naib pengerusi RC Zon 8, Encik Rajeev Divakaran Nair.

Dia memperdayakan Encik Rajeev dengan meyakinkannya bahawa dia menggunakan wangnya sendiri untuk membayar para pembekal dan oleh itu memerlukan bayaran balik.

Penipuan itu terbongkar apabila pengarah kawasan undi bagi Pejabat Kawasan Undi Pasir Ris East pada Ogos 2018 menjalankan audit dalaman ke atas akaun-akaun kawasan undi tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Tan Yen Seow mengusulkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 15 minggu, sambil menegaskan bahawa Li sudah melakukan "kesalahan yang memang sudah dirancang terhadap institusi awam."

Beliau turut menarik perhatian bahawa Li sudah mengaku bersalah. Bagi setiap kesalahan, Li boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita