Bekas pengurus kanan, 3 pengarah syarikat hadapi tuduhan rasuah berhubung projek pendigitalan Masjid Sultan
Mohamad Daud A Rahim (berbaju putih) antara yang hadapi tuduhan rasuah berhubung projek pendigitalan Masjid Sultan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
SINGAPURA: Seorang bekas pengurus kanan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan tiga pengarah syarikat menghadapi tuduhan atas beberapa kesalahan berkaitan projek pendigitalan Masjid Sultan.
Mereka berdepan tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.
Dalam dua kejadian antara Ogos dan Oktober 2022, pengarah syarikat Qirom Consulting Pte Ltd, Mohamad Daud A Rahim mengajak dua lagi pengarah syarikat untuk mengeluarkan sebut harga palsu bagi sebuah projek pendigitalan Masjid Sultan.
Dalam tempoh antara September dengan Oktober 2022, Daud menyerahkan dua sebut harga palsu itu kepada Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia Masjid Sultan pada ketika itu.
Dua sebut harga palsu itu bertujuan untuk membuat pihak Masjid Sultan percaya seolah-olah mereka boleh melaksanakan projek pendigitalan itu dengan harga tersebut.
Daud mahu memperdayakan Masjid Sultan supaya pihak masjid bertanggapan seolah-olah syarikatnya, Qirom Consulting boleh menawarkan harga yang lebih berpatutan.
Sebelum itu, syarikat berkenaan sudah menghantar sebut harga mereka kepada pihak Masjid Sultan.
Atas tindakan mereka, Daud, Nasir dan Nasral menghadapi tuduhan dan jika didapati bersalah, boleh dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 477A dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 477A Kanun Keseksaan, pesalah boleh didenda atau dihukum penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Daud juga menghadapi lagi satu tuduhan di bawah Seksyen 6(c) Akta Pencegahan Rasuah.
Dia diwakili oleh peguam, Encik Ahmad Nizam Abbas di mahkamah hari ini (31 Dis).
Singapura mengambil pendekatan sifar toleransi terhadap kesalahan rasuah.
Sesiapa sahaja yang didapati bersalah atas kesalahan rasuah di bawah Sekysen 6 Akta Pencegahan Rasuah boleh didenda S$100,000 atau hukuman penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
BEKAS PENGURUS KANAN MUIS BERI KENYATAAN PALSU, ADA 'PEPPER SPRAY'
Satu siasatan dalaman juga telah dijalankan oleh pihak MUIS.
Pada sekitar 16 Jun 2023, Mohd Zairil Ismail yang ketika itu memegang jawatan Pengurus Kanan Perkhidmatan Bersama Masjid-Madrasah-Wakaf (MMWSS) memberi maklumat salah kepada Timbalan Pengarah MUIS.
MMWSS adalah sebuah jawatankuasa di bawah MUIS.
Zairil, 53 tahun memberitahu Timbalan Pengarah MUIS bahawa dia tiada kepentingan peribadi atau kewangan dalam Qirom Consulting.
Dia juga mendakwa bahawa dia tidak pernah menerima sebarang bayaran daripada Qirom Consulting.
Zairil tahu ini tidak benar dan dia juga tahu jika dia menyatakan maklumat salah itu, Timbalan Pengarah MUIS akan menghentikan siasatan lanjut terhadap pelibatannya dengan Qirom Consulting termasuk bayaran yang pernah diterimanya daripada syarikat itu.
Atas tindakan ini, Zairil berdepan tuduhan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
Dia boleh dikenakan denda atau hukuman penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Zairil juga menghadapi lagi satu tuduhan di bawah Seksyen 13(1)(a) Akta Senjata dan Bahan Letupan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 13(4) akta yang sama.
Dia didapati menyimpan penyembur pemedih mata 'pepper spray' pada sekitar 5 September 2023.
Jika didapati bersalah, Zairil boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 atau hukuman penjara sehingga 3 tahun.
Perbicaraan untuk kes Daud ditangguhkan sehingga 11 Februari manakala untuk Nasir, Nasral dan Zairil, ia ditangguhkan sehingga 28 Januari 2025.
Ini bagi memberi mereka masa melantik peguam sendiri.
Dalam pada itu, Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menasihatkan pertubuhan-pertubuhan untuk mempunyai prosedur yang menyeluruh dalam bidang-bidang seperti audit dalaman dan pembelian atau pemerolehan khidmat dan barangan.
Ini bagi mengelak perbuatan rasuah oleh para kakitangan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.