Bekas pengurus IT MENDAKI hadapi tuduhan rasuah, dapat komputer riba
Bekas Pengurus Teknologi Maklumat Digital Yayasan MENDAKI, Zulkifli Kader menghadapi tuduhan rasuah yang dibacakan di Mahkamah Negara pagi tadi (4 Feb).

Bekas pegawai MENDAKI, Zulkifli Kader tiba di mahkamah tanpa diwakili peguam pada 4 Feb 2025. (Gambar: Syawal Yusoff)
SINGAPURA: Bekas Pengurus Teknologi Maklumat Digital Yayasan MENDAKI, Zulkifli Kader menghadapi tuduhan rasuah yang dibacakan di Mahkamah Negara pagi tadi (4 Feb).
Dalam tiga kejadian antara April dan Mei 2023, Zulkifli, 51 tahun, didakwa mencuba untuk mendapatkan satu komputer riba Lenovo ThinkPad T14 yang bernilai sekurang-kurangnya S$1,061.61 daripada seorang kakitangan A-Speed Pte Ltd.
Ini sebagai ganjaran untuknya menerima tender syarikat itu bagi urusan berkaitan dengan MENDAKI.
Atas tindakannya itu, warga Malaysia dan Penduduk Tetap (PR) Singapura itu berdepan dengan satu tuduhan di bawah Seksyen 6(a) Akta Pencegahan Rasuah.
Zulkifli hadir di mahkamah pada pagi Selasa (4 Feb) seorang diri tanpa diwakili seorang peguam.
Beliau mengaku tidak bersalah dan akan cuba mendapatkan seorang peguam.
Hakim menetapkan tarikh persidangan sebelum perbicaraannya pada 5 Mac.
Semasa ditemui wartawan BERITA Mediacorp, Zulkifli memberitahu bahawa dia sudah meninggalkan MENDAKI sejak Januari 2024 dan kini bertugas di sebuah syarikat lain.
Jika didapati bersalah, Zulkifli boleh didenda sehingga S$100,000 atau dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Dia boleh dihukum di bawah Seksyen 124(8)(a)(ii) Kanun Tatacara Jenayah.
Sesiapa yang disabit kesalahan di bawah kanun tersebut boleh menghadapi dua kali lebih berat jumlah hukuman untuk kesalahan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.