Bekas penghantar makanan didenda; rempuh pengayuh basikal semasa guna telefonnya
Seorang penghantar makanan yang sedang berbasikal di penyambung taman pada waktu malam membelek-belek telefon bimbitnya dan tidak menyedari seorang pengayuh basikal berusia 57 tahun berada di hadapannya.

Gambar fail.
SINGAPURA: Seorang penghantar makanan yang sedang berbasikal di penyambung taman pada waktu malam membelek-belek telefon bimbitnya dan tidak menyedari seorang pengayuh basikal berusia 57 tahun berada di hadapannya.
Dia merempuh bahagian belakang mangsa, yang juga sedang menggunakan telefon bimbitnya, menyebabkannya jatuh dan patah sikunya.
Heer Weng Kong, 28 tahun, didenda S$2,000 oleh mahkamah pada Jumaat (30 Apr) kerana menyebabkan kecederaan atas tindakan terburu-buru yang membahayakan nyawa manusia.
Mahkamah diberitahu bahawa Heer, seorang penghantar makanan GrabFood pada ketika itu, sedang mengayuh basikalnya di penghubung taman di Bukit Batok West Avenue 5 sekitar pukul 10.15 malam pada 4 Apr tahun lalu.
Memandangkan dia menggunakan telefonnya semasa berbasikal, dia tidak menyedari terdapat seorang lelaki berusia 57 tahun yang sedang mengayuh basikal di hadapannya.
Apabila Heer ternampak mangsa, dia cuba menekan brek dan mengelakkannya tetapi tidak berjaya. Basikalnya merempuh bahagian belakang basikal mangsa, menyebabkan lelaki lebih berumur itu terjatuh.
Heer membantu dan menemaninya sehingga ambulans tiba untuk membawa mangsa ke hospital. Menurut laporan perubatan, mangsa mengalami patah tulang siku kanan dan melecet pada siku dan lututnya. Beliau diberikan cuti hospital selama 45 hari.
Heer sudah memberinya S$505 sebagai ganti rugi.
Pihak pendakwa mengusulkan denda S$2,500, manakala peguam bela Jerome Tan meminta denda maksimum S$1,000.
Menurut Encik Tan, anak guamnya amat menyesali atas perbuatannya itu yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.
Kerana menyebabkan kecederaan akibat tindakan cuai yang membahayakan nyawa manusia, dia boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$2,500, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.