Bekas pengetua sekolah mengaku bersalah cabul 7 budak lelaki di pejabatnya semasa bincang isu disiplin
Selama lebih dua bulan, seorang pengetua sekolah ketika itu, mencabul tujuh pelajar lelakinya, menyasarkan remaja-remaja itu apabila dia bersendirian di dalam pejabat. Budak-budak lelaki itu sama ada mempunyai masalah di rumah atau berdepan isu disiplin.

(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Selama lebih dua bulan, seorang pengetua sekolah ketika itu, mencabul tujuh pelajar lelakinya, menyasarkan remaja-remaja itu apabila dia bersendirian di dalam pejabat. Budak-budak lelaki itu sama ada mempunyai masalah di rumah atau berdepan isu disiplin.
Kesalahan itu terbongkar apabila beberapa mangsa, yang berusia antara 13 hingga 15 tahun ketika itu, saling bercerita dengan satu sama lain tentang apa yang berlaku dan memutuskan untuk melaporkan perkara tersebut.
Bekas pengetua berusia 48 tahun itu mengaku bersalah pada Jumaat (28 Ogos) atas tiga tuduhan mencabul kehormatan mangsa, dengan lapan tuduhan lain diambil pertimbangan dalam menentukan hukuman.
Tertuduh dan sekolah itu tidak boleh namakan atas perintah mahkamah demi melindungi indentiti mangsa.
Mahkamah diberitahu mangsa-mangsa tersebut sering dipanggil oleh seorang pengurus operasi ke pejabat umum sekolah berkenaan atas beberapa masalah disiplin, atau diberi kaunseling.
Meja pengurus operasi itu terletak dekat dengan pejabat pengetua tersebut yang akan meminta untuk bercakap dengan pelajar di biliknya. Kadang kala, dia akan memaklumkan guru pelajar tersebut dan menetapkan masa untuk mereka datang ke pejabatnya atas alasan untuk membincangkan isu disiplin.
Semasa pertemuan sedemikian, bekas pengetua berkenaan akan berada bersendirian dengan pelajar dalam pejabatnya dengan pintu bilik ditutup. Dia akan menyentuh lengan dan paha mangsa sebelum mencabul mereka.
MANGSA BERCAKAP DENGAN PENGURUS OPERASI SEKOLAH APABILA DIPANGGIL MASUK BILIK TERTUDUH
Salah satu insiden awal melibatkan seorang budak lelaki berusia 13 tahun yang dirujuk sebagai V3 dalam dokumen mahkamah. V3 sedang bercakap dengan pengurus operasi sekitar 20 Ogos 2017 mengenai isu disiplinnya.
Tertuduh bertanya mengapa V3 dikenakan tindakan disiplin sebelum memberitahu pengurus operasi tersebut bahawa dia akan menguruskan perkara itu sendiri.
Dia membawa V3 ke dalam pejabatnya, menutup pintu dan bertanya mengapa V3 terus-terusan tidak berkelakuan baik di sekolah.
Semasa perbualan tersebut, bekas pengetua tersebut meletakkan tangannya di atas paha budak lelaki itu sebelum mencabulnya. V3 berasa sakit dan berdiri tetapi tertuduh mula mengusap dada budak berkenaan sambil memberitahunya supaya berhenti daripada berkelakuan nakal di sekolah.
Mangsa berasa "tidak selesa dan jijik" tetapi tidak tahu bagaimana untuk bertindak dan kemudian kembali ke kelasnya, kata Timbalan Pendakwa Raya Sruthi Boppana dan Mark Yeo.
Mahkamah diberitahu V3 tidak memberitahu sesiapa selepas insiden itu kerana dia merasakan tiada seorang pun yang akan mempercayainya memandangkan sejarah isu disiplinnya.
Bekas pengetua itu melakukan tindakan serupa terhadap mangsa kedua pada September 2017 dengan mencabul mangsa di dalam pejabatnya.
Budak lelaki berusia 14 tahun, dinamakan sebagai V1, terkejut dan memberitahu lelaki itu bahawa dia tidak selesa dengan tindakannya.
Sebulan kemudian, tertuduh menyasarkan seorang lagi pelajar lelaki berusia 13 tahun yang menjalani hukuman disiplin dekat pejabat sekolah berkenaan.
Dia memberitahu mangsa supaya jangan terus berkelakuan nakal atau menghadapi risiko dihantar ke Boys Town sebelum bertanya V1 jika dia terlibat dalam sebarang kes polis.
MANGSA KONGSI INSIDEN DENGAN SATU SAMA LAIN
Insiden terhadap tiga pelajar lelaki itu hanya diketahui selepas mangsa keempat, berusia 14 tahun, memberitahu mangsa kelima, berumur 15 tahun, tentang apa yang berlaku. Apabila budak-budak lelaki itu menyedari bahawa pengetua berkenaan melakukan tindakan serupa ke atas mereka semua, mereka mengadu perkara itu kepada pengurus operasi.
Pengurus berkenaan, bersama-sama dengan pegawai kebajikan pelajar dan seorang lagi kakitangan sekolah, memulakan siasatan dalaman dan insiden tersebut dilaporkan kepada Kementerian Pendidikan (MOE). Seorang pegawai MOE membuat aduan polis pada awal November 2017 berhubung "tindakan tidak senonoh" oleh pengetua itu terhadap pelajar.
Siasatan mendedahkan tertuduh melakukan tindakan serupa terhadap tujuh pelajar lelaki di sekolah itu.
MOE sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa apabila pengetua tersebut didakwa, dia tidak lagi bekerja di bawah kementerian itu pada 1 Jan 2018.
Dia akan kembali ke mahkamah bagi penentuan hukuman pada 6 Oktober.
Bagi setiap kesalahan mencabul individu bawah umur 14 tahun, lelaki itu boleh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun, didenda, dikenakan sebatan rotan atau mana-mana gabungan hukuman ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.