Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pengerusi AMP, Zhulkarnain Abdul Rahim antara bakal calon PAP bagi GE2020

Mereka diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam sesi online pertama pagi tadi.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pengerusi AMP, Zhulkarnain Abdul Rahim antara bakal calon PAP bagi GE2020

Bekas Pengerusi AMP & peguam Zhulkarnain Abdul Rahim antara bakal calon PAP. (Gambar-gambar: PAP)

SINGAPURA: Bekas pengerusi AMP Zhulkarnain Abdul Rahim adalah antara empat lagi bakal calon Pilihan Raya Umum 2020 yang diperkenalkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam satu daripada dua sesi mendedahkan barisan wajah baru parti itu hari ini (25 Jun).

Lagi tiga ialah Penasihat Korporat Dr Tan See Leng, bekas pegawai perkhidmatan awam Ng Ling Ling dan Tan Kiat How.

Mereka diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam sesi online pertama pagi tadi.

APA YANG MAHU ZHULKARNAIN RAHIM PERJUANGKAN?

Encik Zhulkarnain, 39 tahun, kini aktif di kawasan Keat Hong dalam kawasan undi GRC Chua Chu Kang. Beliau dipercayai akan mengambil alih kawasan Menteri Negara Zaqy Mohamad, yang dikatakan akan berpindah ke kawasan lain.

Encik Zhulkarnain menyatakan bidang yang beliau khususnya prihatinkan adalah "isu-isu mengenai mobiliti sosial, perpaduan sosial masyarakat kita yang berbilang bangsa dan berbilang agama dan juga pengupayaan belia".

"Inilah isu-isu yang akan membantu membentuk masa depan Singapura kita, anak-anak kita dan generasi selepas mereka," menurut Encik Zhulkarnain dalam catatan siaran media PAP.

Beliau menambah: "Di Singapura, sumber terbesar kita adalah rakyat kita. Kita tidak boleh membiarkan pandangan dan idea yang berlainan memecah-belahkan kita. Bagi saya, walau apapun ideologi politik dan haluan anda, saya komited untuk berkhidmat kepada anda demi kepentingan terbaik negara kita, kerana bagi saya, setiap daripada kita adalah penting."

Selain itu, menurut Encik Zhulkarnain sedang Singapura mempertingkat ketersambungan digital, kertersambungan dari aspek sesama manusia juga perlu diteliti.

"Dahulu di blok-blok HDB lif hanya akan berhenti di beberapa tingkat sahaja. Sekarang ia berhenti di setiap aras. Ini untuk memudahkan dan atas sebab-sebab yang baik juga.

"Sekalipun demikian pasti ada untung ruginya (trade off). Interaksi antara jiran tetangga berkurangan. Kita mungkin tidak tahu siapa jiran kita, apa masalah dan sokongan yang diperlukan mereka. Saya harap kita boleh meneliti dasar-dasar kita untuk mempertingkat interaksi dan ketersambungan antara manusia," kongsi beliau.

Beliau menekankan bahawa kita "perlu memperkukuh idea-idea kemanusiaan dalam dasar-dasar kita dan dasar-dasar kita mesti mempertimbangkan kemanusiaan", kata Encik Zhulkarnain lagi. 

Encik Zhulkarnain adalah peguam Melayu kedua diperkenalkan sebagai calon kali ini. Semalam (24 Jun), Cik Nadia Ahmad Samdin, Pengarah Bersekutu syarikat guaman TSMP Law Corporation, diperkenalkan sebagai antara wajah-wajah baru untuk GE2020.

Beliau adalah bakal calon termuda PAP sejauh ini pada 30 tahun.

SIAPA ZHULKARNAIN ABDUL RAHIM?

Beliau ialah seorang rakan kongsi firma guaman Dentons Rodyk & Davidson. Sepanjang pengalaman 15 tahun sebagai peguam, beliau sering mengambil kes-kes pro-bono.

Beliau juga pernah dilantik sebagai pengarah Lembaga AMP sejak 2014 dan kemudian sebagai Naib Pengerusi pada Disember 2015. Beliau kemudian menjadi Pengerusi AMP - Pengerusi paling muda badan bantu diri itu - pada Januari 2019 sebelum melepaskan jawatan tersebut pada Mac 2019.

Bekas Pengerusi AMP & peguam Zhulkarnain Abdul Rahim antara bakal calon PAP. (Gambar-gambar: PAP)

Encik Zhulkarnain juga aktif melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Selain AMP, beliau juga pernah melakukan kerja-kerja sukarela di rumah kebajikan bagi wanita mangsa penderaan, Casa Raudhah dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Antara sumbangannya adalah melakarkan program-program dan inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat Melayu. Beliau berkongsi bahawa isu-isu yang dekat dengan hatinya ialah yang berkaitan keluarga dan belia.

Dalam sidang media PAP itu, Encik Zhulkarnain mengatakan pengalaman yang sudah diraih menerusi kerja-kerja kemasyarakatan “amat memberi kesan” kepada dirinya dan “mencerminkan apa yang penting” bagi masyarakat. Ia menyuntik azam dan iltizam yang mendorong beliau untuk terus berkhidmat.

Lembaran baru kehidupan yang bakal dilalui sebagai ahli politik sekiranya dipilih, adalah “satu kesinambungan dalam perjalanan hidup” Encik Zhulkarnain “untuk berbakti kepada masyarakat”.

Bapa tiga orang anak itu merupakan siswazah jurusan undang-undang dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dan ijazah sarjana dalam undang-undang syariah dan kewangan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

LAGI 3 CALON

Dr Tan See Leng berpengalaman dalam bidang perubatan selama 30 tahun. Beliau merupakan lulusan ijazah dan ijazah sarjana dari NUS dan ijazah sarjana dalam pentadbiran perniagaan dari Universiti Chicago Booth.

Beliau berkhidmat sebagai Penasihat Korporat Temasek Holdings dan Bank DBS. Selain itu beliau merupakan Pengarah Bebas Surbana Jurong, NUHS Fund Limited dan Pusat Singapura bagi Singapore Enterprise (raiSE).

Dr Tan See Leng antara bakal calon PAP. (Gambar: PAP)

Sepanjang kerjayanya dalam bidang perubatan , Dr Tan memainkan peranan aktif dalam pelbagai jawatankuasa perubatan seperti Jawatankuasa Pemandu Bagi Jagaan Kesihatan Asas (Primary Healthcare), Jawatankuasa Semakan MediShield Hayat serta Program Barah Universiti oleh Kelompok Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional.

Cik Ng Ling Ling pula bertukar kerjaya daripada seorang pegawai perbankan selama enam tahun, dengan menyertai khidmat awam dan sosial.

Beliau memilih untuk mengubah haluan kerjaya didorong oleh pengalamannya semasa membesar. Sebagai Pengarah Urusan Dana Masyarakat, Cik Ng sudah membantu menjana derma jutaan dolar untuk agensi-agensi khidmat sosial. Malah beliau pernah diiktiraf sebagai Woman of the Year pada tahun 2018 atas sumbangannya itu.

Cik Ng Ling Ling antara bakal calon PAP. (Gambar: PAP)

Beliau merupakan lulusan dalam jurusan perakaunan dari Universiti Teknologi Nanyang dan menggenggam ijazah sarjana dalam pentadbiran awam di Universiti Nasional Australia.

Seorang lagi pegawai perkhidmatan awam yang diperkenalkan ialah, Encik Tan Kiat How, 43 tahun.

Beliau pernah menyertai pasukan yang menubuhkan Pejabat Generasi Perintis yang kini diberi nama Pejabat Generasi Warga Emas (SGO).

Sebagai pengarah program, Encik Tan bertanggungjawab merekrut, melatih dan menganjurkan tugasan untuk ribuan sukarelawan dalam usaha-usaha mendampingi warga tua di Singapura.

Encik Tan juga melibatkan diri melakarkan pelan bagi inisiatif Intelligent Nation (Negara Bijak) 2015 dan pelaksanaan bagi Rangkaian Jalur Lebar Seluruh Negara untuk generasi seterusnya.

Encik Tan Kiat How antara bakal calon PAP. (Gambar: PAP)

Beliau juga merupakan sebahagian daripada pasukan yang memperhalusi strategi keselamatan siber negara dengan Agensi Keselematan Siber (CSA) semasa bertugas di Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI).

Dengan pengalaman dan pengetahuannya dalam bidang teknologi, Encik Tan berharap dapat meneruskan kerjanya untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan