Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pengawal keselamatan kelab malam dijel, disebat kerana cabul wanita

Seorang bekas pengawal keselamatan kelab malam, yang menyertai sekumpulan lelaki mengambil kesempatan daripada seorang wanita yang mabuk, dijatuhi hukuman penjara dan sebatan rotan pada Isnin (21 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pengawal keselamatan kelab malam dijel, disebat kerana cabul wanita

Mangsa dicabul pada Julai 2016 di D'Resort, Downtown East. (Gambar: Google Maps)

SINGAPURA: Seorang bekas pengawal keselamatan kelab malam, yang menyertai sekumpulan lelaki mengambil kesempatan daripada seorang wanita yang mabuk, dijatuhi hukuman penjara dan sebatan rotan pada Isnin (21 Feb).

Lelaki-lelaki itu meraba-raba dan merakam mangsa, yang ketika itu berumur 24 tahun, sebelum dia dirogol di sebuah bilik di D'Resort @ Downtown East pada September 2018.

Yong Chun Hong, 32 tahun, dihukum penjara selama lapan bulan dan dikenakan dua kali sebatan rotan atas satu tuduhan mencabul kehormatan. Dia mencabul wanita berkenaan di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke chalet.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa berada di Club V5 di Ming Arcade di Cuscaden Road sekitar pukul 3.35 pagi pada 17 September 2018 dengan beberapa orang rakan.

Wanita itu menogok lebih banyak arak di kelab itu tetapi rakan-rakannya meninggalkannya selepas meleraikan pertikaian dengan sekumpulan lagi pengunjung kelab tersebut sekitar pukul 5.20 pagi.

Mangsa terus minum arak dengan Yong, serta dua rakan tertuduh, Yeo We Chieng, 43 tahun, dan Tay Boon Huat, 29 tahun.

Sekitar pukul 6.00 pagi, Yong membawa mangsa ke tandas wanita kerana dia tidak boleh berjalan sendiri.

Kemudian, Yong membawa mangsa ke tandas lelaki dan memasuki satu kamar tandas secara berdua-duan dengan wanita itu selama 15 minit.

Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak pula menyatakan apa yang berlaku di tandas pada ketika itu.

Kira-kira pukul 6.35 pagi, Yong membawa mangsa turun ke tingkat satu Ming Arcade dan menyerahkannya kepada Yap Chun Chieh, seorang pengurus dan juga pengawal keselamatan kelab malam di Club V5.

Dia meminta Yap membawa mangsa pulang ke rumah dengan menaiki teksi.

Sekitar pukul 7.00 pagi, selepas Club V5 ditutup, Yong dan beberapa tertuduh lain menaiki kereta untuk pulang ke sebuah chalet yang ditempah mereka di D'Resort @ Downtown East.

Mereka ternampak Yap dan mangsa masih berdiri di tempat menunggu teksi. Yong memujuk Yap supaya menyertai mereka di chalet sebelum keluar dari kereta dan menarik mangsa yang dalam keadaan sangat mabuk itu ke dalam kereta tersebut.

Seramai enam orang termasuk Yong, Yap dan mangsa menaiki kereta itu untuk menuju ke chalet.

Mangsa berada dalam keadaan tidak sedar sepanjang perjalanan. Dia dicabul oleh tiga lelaki berbeza semasa dalam perjalanan ke chalet, termasuk Yong, yang meraba-raba payudara mangsa.

Setibanya di chalet, Yap merogol mangsa manakala Tay melakukan perbuatan seks ke atasnya dan lelaki ketiga, Gan Soon Chai, merakam serangan seksual itu menggunakan telefon bimbitnya.

Pada Mac 2021, tertuduh bersama, Yap, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan tiga bulan serta 10 kali sebatan rotan manakala Gan dipenjara setahun dan tiga bulan serta didenda S$20,800.

Tay dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan tiga bulan serta lima kali sebatan rotan pada Ogos 2020.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan