Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pengarah urusan Marine Life Aquaculture didakwa tipu AVA hampir S$250,000

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pengarah urusan Marine Life Aquaculture didakwa tipu AVA hampir S$250,000

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

SINGAPURA: Bekas pengarah urusan Marine Life Aquaculture menyerahkan dokumen palsu tuntutan bayaran balik bagi peralatan kepada Penguasa Agromakanan dan Veterinar Singapura (AVA) untuk menerima sokongan dana sebanyak S$246,400.

Tan Chee Boon, 47 tahun didakwa pada Jumaat (14 Okt) atas kesalahan menipu dan memalsukan dokumen.

Wang itu datang daripada dua program yang ditadbir AVA, yang menyediakan sokongan dana untuk para petani di Singapura membeli peralatan bagi meningkatkan pengeluaran ladang.

Pada 2015, Tan menerima S$35,000 daripada Dana Makanan untuk membayar balik Marine Life Aquaculture bagi peralatan yang dikatakan sudah dibeli, menurut polis dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dia didakwa menipu AVA pada September dan Oktober 2016 dengan ​tidak mendedahkan bahawa peralatan itu belum dibeli.

Pada 2016, Tan didakwa menyerahkan sebutan harga yang diada-adakan daripada sebuah syarikat yang dikatakan di luar negara untuk mendapatkan kelulusan sokongan dana sehingga S$1.4 juta di bawah Dana Produktiviti Pertanian.

Di bawah sokongan dana yang diluluskan, dia dipercayai menipu AVA pada 2017 dan mendapat S$211,400 untuk membayar balik Marine Life Aquaculture bagi peralatan yang tidak dibeli oleh syarikat itu.

Atas kesalahan menipu, Tan boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda.

Jika sabit kesalahan memalsukan dokumen bagi tujuan menipu, Tan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Denda menipu dan secara tidak jujur menyebabkan harta diserahkan adalah penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan