Bekas pengarah syarikat jagaan kesihatan didenda luluskan tuntutan palsu, namun bebas tuduhan rasuah
Seorang bekas pengarah yang dikaitkan dengan jenama Fullerton Healthcare didenda S$160,000 pada Khamis (21 Ogos) kerana meluluskan tuntutan perbelanjaan hiburan yang dilebih-lebihkan (inflated).

David Sin, bekas pengarah Fullerton Healthcare Corporation, tiba di Mahkamah Negera pada 21 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
Namun, David Sin, 46 tahun, dibebaskan daripada tuduhan rasuah dalam kes yang pada ketika itu melibatkan rakan sekerjanya serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aon Singapore, iaitu sebuah syarikat broker insurans kesihatan.
Seorang hakim meluluskan permohonan pihak pendakwa untuk memberikan Sin pelepasan yang membawa kepada pembebasan daripada lima tuduhan rasuah dan dua tuduhan memalsukan akaun.
Ini bermakna tuduhan-tuduhan tersebut ditarik balik dan tidak boleh dibawa semula terhadapnya.
Sin mengaku bersalah atas enam tuduhan lain melibatkan pemalsuan akaun pada 2019. Kesalahannya melibatkan lebih S$213,000 dalam jumlah yang dipalsukan.
Sin merupakan individu pertama daripada empat lelaki dalam kes tersebut yang dibicarakan di mahkamah.
Dia sudah diisytiharkan muflis dan dibenarkan membayar dendanya secara ansuran.
Bekas CEO Aon Singapore, Collin Chiew, 57 tahun, masih dituduh menerima rasuah dan melakukan pengubahan wang haram.
CEO Kumpulan Fullerton Healthcare Corporation, Michael Tan, 51 tahun, dan Timbalan CEO kumpulan itu, Daniel Chan, 51 tahun, juga berdepan tuduhan rasuah yang berkaitan.
Chan didakwa menggunakan wang daripada tuntutan perbelanjaan palsu yang diluluskan oleh Sin untuk membayar rasuah kepada Chiew, manakala Tan pula dituduh bersubahat dalam kesalahan tersebut.
Kes Chiew, Tan dan Chan masih dalam perbicaraan, dengan tarikh perbicaraan ditetapkan bermula pada September.
Menurut pasukan peguam bela Sin, yang terdiri daripada Cik Melanie Ho, Encik Tang Shangwei dan Cik Neo Yi Ling dari syarikat guaman WongPartnership, Sin bersedia menjadi saksi pihak pendakwa semasa perbicaraan nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.