Skip to main content

Singapura

Bekas pengarah lembaga berkanun dipenjara kerana cabul pekerja di pejabat

Seorang bekas pengarah di sebuah lembaga berkanun dijatuhi hukuman penjara enam minggu pada Isnin (18 Jan) kerana mencabul kehormatan seorang wanita pekerja bawahannya berusia 55 tahun di tempat kerja pada 2016.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pengarah lembaga berkanun dipenjara kerana cabul pekerja di pejabat

(Gambar hiasan: AFP/Getty Images/Joe Raedle)

Diterbitkan : 18 Jan 2021 06:36PM Dikemas Kini : 18 Jan 2021 06:38PM

SINGAPURA: Seorang bekas pengarah di sebuah lembaga berkanun dijatuhi hukuman penjara enam minggu pada Isnin (18 Jan) kerana mencabul kehormatan seorang wanita pekerja bawahannya berusia 55 tahun di tempat kerja pada 2016.

Lelaki 67 tahun itu, yang tidak boleh didedahkan namanya atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti mangsa, disabitkan atas tuduhan memeluk wanita itu dengan erat sehingga dada mangsa menekan tubuh pelaku.

Dia melakukannya di pejabat mereka pada Jun 2016, setelah memberitahu wanita itu bahawa dia melanjutkan kontrak pekerjaannya. Dia kemudian mengambil kesempatan untuk memeluk mangsa dengan cara yang mencabul kehormatannya, kata Hakim Daerah John Ng.

Pesalah, yang dibela oleh peguam dari Drew & Napier, bercadang untuk mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya. Dia dibebaskan setelah perbicaraan bagi lima tuduhan mencabul seorang wanita lain, rakan sekerjanya berusia 43 tahun, kerana kesalahannya tidak dapat dibuktikan tanpa keraguan yang munasabah.

Tiada saksi bebas dan wanita tersebut memberikan kenyataan polis yang tidak konsisten dan tidak dapat memberikan penjelasan yang mencukupi untuknya.

Tahap eksploitasi seksual untuk tuduhan yang disabitkan adalah "agak rendah", kata hakim, sambil menambah bahawa pelukan itu berlaku dalam beberapa saat, tanpa sentuhan langsung dengan kulit.

Namun, keadaan sekitar kesalahan itu memerlukan hukuman penjara untuk menunjukkan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh penyelia lelaki terhadap bawahan wanita di sekitaran pejabat tidak boleh diterima sama sekali, tegasnya.

Hakim bagaimanapun menambah bahawa sementara hukuman penjara wajar, ia tidak akan seberat tempoh sembilan bulan yang dituntut pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan mengecam salah laku lelaki itu sebagai penyalahgunaan kepercayaan yang teruk yang menyebabkan kerosakan psikologi yang ketara kepada mangsa, yang merupakan pekerja bawahan pesalah.

Wanita itu memberi keterangan bahawa dia sangat takut dengan pesalah itu, terutama apabila lelaki itu mula berlaku kasar dengannya setelah kejadian itu. Mangsa memilih untuk tidak mendedahkan hal itu pada awalnya kerana merasa pekerjaannya akan terancam, dan takut tiada sesiapa yang mempercayainya.

"Kesalahan ini melibatkan penjawat awam kanan yang menyalahgunakan kuasanya semasa menjalankan tugasnya di institusi awam utama. Terdapat kepentingan umum yang jelas mengenai kes ini, dan kesalahan ini menarik kebimbangan masyarakat memandangkan terdapat piawai tinggi yang perlu dipatuhi para penjawat awam," tegas pihak pendakwaan.

Pesalah menghadapi tiga tuduhan lain yang berkaitan dengan perjalanan ke luar negara dengan wanita itu, dan pihak-pihak berkenaan akan kembali untuk sidang praperbicaraan berhubung tuduhan-tuduhan tersebut.

Atas kesalahan mencabul kehormatan, lelaki itu boleh dipenjara hingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya. Dia tidak boleh dirotan kerana berusia lebih 50 tahun.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita