Skip to main content

Singapura

Bekas pengarah kanan MUIS dihukum penjara tujuh minggu kerana salah guna dana untuk madrasah, akses emel tanpa kebenaran

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Sep 2026 05:55PM Dikemas Kini : 06 Oct 2026 10:47PM
Former senior director of MUIS jailed for seven weeks for misusing funds for a madrasah and unauthorised access to email
  • Razak Mohamed Lazim, a former senior director at MUIS, was jailed for seven weeks on Sep 18 for accessing Madrasah Irsyad's email without permission and misusing more than S$68,000.
  • The funds were linked to textbook royalties, after KOL transferred S$185,300 to ITL on Razak's instructions, but the madrasah's share was not channelled for about two years.
  • District Judge Kamala Ponnampalam rejected the negligence argument, stressing the sustained nature of the actions, that the funds belonged to a public agency, and the impact of the madrasah being unable to use the money.
  • Razak will appeal against the sentence, while several other charges were discharged not amounting to an acquittal, and records showed that the issue of KOL's repayment to the madrasah has still not been fully resolved.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Bekas pengarah kanan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Razak Mohamed Lazim dijatuhi hukuman penjara selama tujuh minggu pada Jumaat (18 Sep) atas kesalahan mengakses emel tanpa kebenaran dan menyalahgunakan dana sebanyak lebih S$68,000.

Razak, 59 tahun, merupakan bekas pengarah eksekutif Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah semasa bekerja di MUIS antara 2011 dan Januari 2016.

Namun, para peguam bela Razak mengesahkan bahawa dia akan mengemukakan rayuan terhadap hukumannya itu.

Selain itu, Razak dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dua pertuduhan kerana didakwa menipu Temasek Foundation International hampir S$785,000, serta satu pertuduhan mengakses 'server' e-mel madrasah tersebut.

RAZAK DIDAKWA SALAH GUNA DANA MADRASAH IRSYAD

Selepas meletak jawatan dari MUIS dan meninggalkan madrasah berkenaan, Razak dilantik sebagai pengarah eksekutif Irsyad Trust Limited (ITL) pada April 2016.

Lantaran itu, dia menjadi salah seorang daripada dua penandatangan yang diperlukan bagi akaun bank syarikat itu, sekali gus membolehkannya melakukan transaksi.

Dana yang disalahgunakan itu berkaitan dengan urusan pengedaran dan penerbitan buku teks yang dihasilkan oleh madrasah berkenaan.

Untuk menggunakan salinan induk buku teks tersebut, sebuah syarikat penerbitan telah membayar S$205,888 kepada syarikat Key-Orient Lamitec (KOL), yang mempunyai perjanjian pengedaran dengan madrasah itu.

Daripada jumlah tersebut, KOL sepatutnya membayar S$116,671 kepada ITL, yang turut mempunyai perjanjian pengedaran dengan syarikat berkenaan, serta S$68,629 kepada “pemilik hak cipta”, iaitu madrasah tersebut.

Bayaran itu dibuat pada 4 Februari 2020.

Pada hari berikutnya, Razak meminta KOL memindahkan bahagian royalti ITL dan madrasah itu yang berjumlah S$185,300 kepada ITL, yang kemudiannya akan menyalurkan wang tersebut “secara langsung”.

KOL kemudian memindahkan keseluruhan jumlah tersebut ke akaun bank ITL pada 7 Februari 2020, dengan menyangka bahawa ITL akan memindahkan S$68,629 kepada sekolah agama berkenaan.

Namun, wang tersebut tidak dipindahkan.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara antara dua hingga tiga bulan terhadap Razak, manakala pihak pembelaan meminta agar dia dikenakan denda S$7,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Bryan Wong menekankan bahawa jumlah wang yang disalahgunakan itu sangat besar dan dana tersebut adalah milik sebuah badan awam.

Namun, beliau juga akur bahawa Razak telah memulangkan S$70,000 kepada KOL.

Beliau berhujah bahawa terdapat “tahap pertimbangan dan perancangan awal yang agak ketara” oleh Razak, yang dengan sengaja membuat arahan untuk menghantar salinan semua e-mel kerjanya.

HAKIM TOLAK HUJAH KECUAIAN, TEKANKAN UNSUR BERTERUSAN DALAM KESALAHAN

Berhubung pertuduhan menyalahgunakan wang tersebut, pihak pembela berhujah bahawa kegagalan memindahkan dana berkenaan adalah satu kecuaian di pihak Razak, dan bukan satu kesalahan yang dilakukan dengan sengaja atau dirancang terlebih dahulu.

Dalam menyampaikan keputusannya, Hakim Daerah Kamala Ponnampalam berkata pihak pendakwa dan pembela tidak mempertikaikan bahawa Razak tidak diberi kebenaran untuk mengakses 'server' e-mel madrasah tersebut dan bahawa tiada kemudaratan sebenar berlaku.

Beliau bersetuju bahawa terdapat unsur berterusan dalam kesalahan Razak di mana dia bukan sahaja mengubah 'server' itu, malah turut meminta seseorang untuk memindahkan akaun e-melnya.

Hakim Ponnampalam turut menyatakan bahawa dana yang disalahgunakan itu adalah milik MUIS, iaitu sebuah agensi awam.

Beliau juga menolak hujah pihak pembela bahawa perkara tersebut berlaku akibat kecuaian Razak.

Menurut beliau, Razak telah ditugaskan oleh lembaga ITL untuk menyalurkan S$70,000 kepada Madrasah Irsyad tetapi tidak berbuat demikian.

Hakim Ponnampalam juga tidak dapat melihat bagaimana Razak boleh terlepas pandang perkara itu memandangkan isu tersebut telah dibangkitkan beberapa kali.

Akibatnya, sekolah agama tersebut tidak dapat menggunakan dana berkenaan selama dua tahun.

Beliau turut mengambil kira bahawa wang tersebut telah dipulangkan sebelum siasatan bermula.

APA YANG BERLAKU?

Razak menyertai jawatankuasa pengurusan madrasah tersebut pada 2002 dan berkhidmat sebagai pengerusinya dari 2006 hingga 2008.

Dia merupakan pengarah eksekutif sekolah itu dari 2009 hingga 2011 dan turut menyertai lembaga pentadbirnya pada 2008.

Semasa menjadi kakitangan MUIS, Razak kekal menjadi anggota jawatankuasa pengurusan dan lembaga pentadbir sekolah tersebut, menurut dokumen mahkamah.

Pada 2014, jawatankuasa pengurusan sekolah agama itu memutuskan bahawa projek-projek antarabangsanya perlu dipindahkan kepada ITL, sebuah syarikat berasingan yang ditubuhkan pada 2006 oleh jawatankuasa pengurusan tersebut.

Selepas Razak meninggalkan MUIS dan sekolah agama tersebut, beliau dilantik sebagai salah seorang pengarah eksekutif ITL.

Sebagai salah seorang daripada dua penandatangan yang diperlukan bagi akaun bank syarikat itu, Razak mempunyai kuasa untuk melakukan transaksi.

Madrasah tersebut pada mulanya memeterai perjanjian pengedaran dengan KOL pada 2017.

Madrasah itu akan menerima bayaran royalti daripada syarikat tersebut, manakala KOL dibenarkan membuat urusan lain untuk memasarkan dan mengedarkan buku-buku berkenaan, menurut dokumen mahkamah.

Pada 2018, ITL memeterai perjanjian pengedaran dengan KOL untuk mempromosikan, memasarkan, mengiklankan, menjual dan mengedarkan buku-buku teks tersebut secara eksklusif.

Kedua-dua pihak akhirnya bersetuju bahawa sebarang bayaran royalti yang diterima KOL akan dikongsi antara sekolah agama berkenaan, ITL dan KOL.

Pada 2019, ITL merujuk sebuah syarikat penerbitan, Cambridge University Press India, kepada KOL.

Kedua-dua syarikat kemudian menandatangani perjanjian lesen kandungan, yang memberikan Cambridge hak eksklusif untuk mencetak dan menerbitkan buku teks tersebut bagi kerajaan Maldives, bagi bayaran pembangunan kandungan kepada KOL.

Dalam bayaran peringkat ketiga bagi penggunaan salinan induk buku teks tersebut, Cambridge membayar S$205,888 kepada KOL.

Sebagai sebahagian daripada urusan itu, KOL sepatutnya membayar S$116,671 kepada ITL dan S$68,629 kepada sekolah agama berkenaan.

Sebaliknya, Razak meminta KOL memindahkan bahagian royalti ITL dan madrasah tersebut yang berjumlah S$185,300 kepada ITL, yang kemudiannya akan menyalurkan wang itu “secara langsung”.

KOL berbuat demikian, namun ITL tidak memindahkan S$68,629 kepada sekolah agama berkenaan.

Kira-kira seminggu selepas wang bernilai S$185,300 termasuk jumlah yang sepatutnya dibayar kepada madrasah itu dipindahkan kepada ITL, lembaga pengarah syarikat itu mengadakan mesyuarat pada 15 Februari 2020.

Dalam mesyuarat itu, Razak memberitahu para pengarah lain bahawa ITL telah “membuat sumbangan tahunan sebanyak S$20,000 sejak 2017” kepada madrasah berkenaan.

Lembaga pengarah syarikat itu memutuskan untuk “membuat sumbangan sebanyak S$70,000” kepada madrasah tersebut dan Razak “ditugaskan” untuk menyalurkan “sumbangan” itu, menurut dokumen mahkamah.

Dia tidak membayar madrasah itu sehingga 22 Februari 2022, apabila dia menyediakan cek bernilai S$70,000 yang dikeluarkan oleh ITL, termasuk S$68,629 yang terhutang kepada madrasah itu.

Pada 16 Mac 2022, madrasah tersebut memaklumkan ITL melalui sepucuk surat bahawa ia tidak dapat menerima “sumbangan” itu kerana terdapat “semakan berterusan terhadap urus niaga kewangan” antara madrasah berkenaan dengan ITL.

Pada 8 Jun 2022 pula, Razak dipanggil oleh Jabatan Ehwal Komersial (CAD) untuk membantu siasatan berhubung urusan kewangannya dengan madrasah tersebut.

Kira-kira dua minggu kemudian, dia memindahkan S$70,000 daripada akaun bank ITL kepada KOL dan meminta satu invois.

Invois itu menyatakan bahawa bayaran tersebut adalah untuk “Pelarasan Yuran Ejen bagi Penerokaan Bahasa Arab”.

KOL dan madrasah tersebut kemudian memeterai perjanjian penyelesaian bagi pembayaran balik beberapa perkara, termasuk S$70,000 tersebut.

Setakat ini, syarikat berkenaan telah membayar S$41,600 kepada sekolah agama itu.

Namun, ansuran 10 bulan terakhir masih belum dibayar, menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada Julai.

Semasa mengurus madrasah tersebut, Razak turut diberikan hak akses sebagai “super user” kepada 'server' e-mel madrasah berkenaan, yang membolehkannya mengakses dan mengubah tetapan semua akaun e-mel dalam 'server' itu.

Pada 2019, Razak menggunakan hak akses tersebut untuk membuat satu akaun e-mel baharu di 'server' madrasah dan menetapkan arahan supaya setiap e-mel yang dihantar ke alamat e-mel lamanya turut dihantar ke akaun e-mel peribadinya.

Memandangkan dia telah meletakkan jawatan, Razak tidak mempunyai kebenaran untuk mengakses 'server' e-mel tersebut atau membuat perubahan berkenaan.

Menurut dokumen mahkamah, Razak mengaku tidak mendapatkan kebenaran daripada pengetua, penolong pengetua atau ketua jabatan madrasah untuk membuat perubahan tersebut.

Kesalahan mengakses 'server' e-mel tanpa kebenaran membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali bagi pesalah kali pertama.

Bagi kesalahan menyalahgunakan dana, Razak boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita