Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pengarah firma gas didenda atas letupan makmal pada 2015

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pengarah firma gas didenda atas letupan makmal pada 2015

Kesan kebakaran makmal. (Gambar: SCDF)

SINGAPURA: Bekas pengarah eksekutif syarikat gas perindustriani didenda S$45,000 hari ini (29 Apr) atas peranannya dalam insiden letupan makmal yang menyebabkan seorang ahli kimia terbunuh pada 2015.

Ketika itu Gary Choo Pu Chang, 64 tahun, adalah pengarah eksekutif Leeden National Oxygen (LNOX), sebuah firma yang menghasilkan dan menjual gas-gas khas.

Tanggungjawabnya termasuk menyelia operasi makmal tersebut.

Letupan maut di premis syarikat itu di Tanjong Kling pada 12 Oktober 2015 menyebabkan Lim Siaw Chian, 30 tahun, terkorban.

Mangsa baru sahaja kembali bertugas selepas cuti bersalin.

Choo meletak jawatan pada 12 Ogos, sebelum insiden tersebut berlaku, namun mengaku tidak menetapkan prosedur kerja selamat yang boleh mencegah letupan itu.

Awal minggu ini, dia mengaku bersalah atas satu tuduhan gagal mengambil langkah-langkah bagi menjaga keselamatan dan kesihatan kakitangannya di tempat kerja.

Tahun lalu, LNOX dan CEO firma itu, Steven Than Weng Cheong masing-masing dikenakan denda S$340,000 dan S$45,000 atas kesalahan serupa.

Mendiang Lim sedang melakukan analisis gas ke atas satu silinder apabila beberapa siri letupan tercetus di 21 Tanjong Kling Road pada hari kejadian.

Lim meninggal dunia dengan serta-merta. Tiga rakannya di makmal itu dan empat kakitangan lain turut cedera. Kecederaan mereka termasuk pendarahan otak dan luka melecet.

Menerusi rakaman CCTV, Lim kali terakhir dilihat menyentuh sebuah alat pengawal suhu, tekanan, kadar aliran dan parameter lain yang disambungkan dengan sebuah silinder gas sebelum video itu berubah menjadi gelap.

Kegagalan utama yang dikesan adalah sambungan kimpalan yang tidak disahkan dalam injap kawalan kelongsong, yang sudah diubah dan tidak diperiksa dengan rapi sebelum digunakan.

Akibatnya, campuran metana-oksigen-nitrogen yang mudah terbakar bocor daripada peralatan apabila silinder itu sedang diuji dan berkemungkinan dinyalakan oleh haba geseran.

Siasatan mendapati semasa Choo menyelia makmal itu, LNOX tidak mempunyai sistem untuk memantau dan menyenggara alat pengawal itu.

Tiada rekod disimpan yang menunjukkan bila alat tersebut dibeli, siapa pembekalnya, yang mana satu diubah suai dan sama ada pengubahsuaian itu diluluskan.

Sebaliknya, peralatan itu "disimpan begitu sahaja" dalam kabinet peralatan dan bukan diperiksa satu persatu, menurut dokumen-dokumen mahkamah. Tiada ujian atau kerja-kerja penyenggaraan berkala.

Siasatan juga mendapati tiada sistem dipasang bagi memantau silinder gas dengan tepat, termasuk isi kandungannya.

Selain itu, dokumen mahkamah menyatakan bahawa seorang pengurus keselamatan mendapati pada Oktober 2014 bahawa lampu petanda kebocoran gas pada sistem pengesanan gas akan berkelip sekali-sekala tanpa sebarang tanda bahaya dan maka itu, sistem tersebut tidak boleh dipercayai.

Sekitar Mei 2015, pengurus tersebut menerima sebutan harga bagi saranannya untuk merombak sistem pengesanan gas di LNOX.

Beliau menunjukkan saranan itu kepada Choo tetapi dimaklumkan bahawa LNOX tiada peruntukan untuk mengubah sistem tersebut dan disuruh menyarankannya bagi tahun akan datang. Letupan maut itu berlaku sebelum proses peruntukan bagi tahun seterusnya dilakukan.

Pendakwa bagi pihak Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Khong Zi-wei mengusulkan Choo dikenakan denda antara S$45,000 dengan S$60,000, sambil berhujah bahawa kebersalahan Choo lebih besar berbanding Tham memandangkan dia "jauh lebih berpengalaman" dalam pengilangan gas dan bekerja lebih rapat dengan operasi makmal.

Choo sebelum ini adalah timbalan pengarah urusan National Oxygen, yang digabungkan dengan Leeden untuk membentuk LNOX pada 1 Oktober 2014. Dia juga menyelia makmal tersebut.

Peguam bela, Gregory Ong, pula berhujah bahawa anak guamnya kurang bersalah berbanding Tham dan berkata Choo tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk "memantau segala-galanya" dalam setiap jabatan LNOX di bawah jagaannya.

Choo boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$200,000 atau kedua-duanya sekali kerana gagal mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk menjaga keselamatan dan kesihatan kakitangannya.
 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan