Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas penduduk Kampong Amber beraya bersama selepas 50 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 90 bekas penduduk Kampong Amber menjalin semula ikatan ukhwah dalam satu perjumpaan Hari Raya pada Sabtu lalu. (28 Mei).

Kampong Amber adalah sebuah kampung yang pernah wujud di kawasan antara East Coast Road dan Amber Road.

Ia memberi laluan kepada pembinaan perumahan privet pada tahun 1970an dan 80an.

(Gambar: Memories of Kampong Amber/Facebook) 

Perhimpunan itu mengumpulkan dan merapatkan kembali silaturahmi antara bekas penduduk kampung
yang berbilang kaum.

Sambil menikmati hidangan lauk pauk hari raya, para tetamu ini dihiburkan dengan kuiz tentang sejarah Kampong Amber dan juga persembahan nyanyian.  

Namun, yang paling bermakna bagi mereka yang hadir adalah peluang untuk bersembang dengan teman-teman lama selepas 50 tahun terpisah.

KENANG KEMBALI WAKTU ZAMAN KECIL-KECIL DAHULU 

"Inilah satu-satunya yang kita nanti-nantikan sebab apabila dapat berkumpul, kita dapat meluahkan dan dapat imbas kembali apa yang berlaku waktu dulu yang menjadi kenangan kita," kongsi Encik Rohim Jamal, salah seorang bekas penduduk Kampong Amber.

Menurut Encik Rohim, beliau seronok mengingatkan kembali waktu zaman kecil-kecil dahulu ketika bersama rakan-rakan lama.

"Waktu umur saya dalam empat tahun atau tiga tahun, saya termasuk dalam longkang air pasang. Pak Man Belon yang tolong menyelamatkan saya. Itu dalam tahun 1953 begitulah."

Encik Nelson Ng pula terkenangkan saat-saat manis di mana jiran-jirannya sering menggunakan ruang tamu rumahnya sebagai ruang makan tengah hari.

"Majlis hari ini menghubungkan kembali semua penduduk kampung. Jadi rasanya seperti hari-hari lama yang membahagiakan di kampung kita," kongsi Encik Ng.

Bagi Encik Tham Foo Kok, yang kini berusia 86 tahun, beliau merasa sangat berterima kasih dapat berkumpul beramai-ramai hari ini. 

"Ramai kawan-kawan Cina dan, Melayu," kata Encik Tham, yang fasih berbahasa Melayu.

"Sekarang sudah hampir 50 tahun tidak tinggal di kampung. Dahulu, di kampung, umur saya sekitar 30 lebih," tambah beliau lagi. 

PELUANG UNTUK PENDUDUK LAMA ERATKAN SILATURAHIM SELEPAS SEKIAN LAMA TIDAK JUMPA 

Ketua Jawatankuasa Penganjur acara itu, berharap perjumpaan tersebut dapat meneruskan ikatan antara penduduk kampong yang terjalin sejak sekian lama.

"Kita berharap para penduduk lama ini dapat mengeratkan silaturahim lanjut dengan kawan-kawan mereka yang mereka tidak berjumpa mungkin 40 hingga 50 tahun yang lalu," kongsi Encik Selamat Kadari, 76 tahun. 

(Gambar: Memories of Kampong Amber/Facebook) 

Menurut Setiausaha Jawatankuasa Penganjur, Cik Farah Fauziah, idea untuk mengadakan acara ini tercetus sebaik sahaja pemerintah melonggarkan sekatan-sekatan COVID-19.

Namun, ini juga bermakna, tempoh persediaan yang lebih singkat.

"Sebenarnya, persiapan memang kelam kabut sebab dalam masa tujuh minggu kita harus menjayakan acara ini. Jadi kita tubuhkan jawatankuasa lima hingga enam orang dan mencari tempat untuk acara ini," kongsi Cik Farah, 65 tahun.

(Gambar: Memories of Kampong Amber/Facebook) 

Pihak penganjur merancang untuk menyediakan lebih banyak peluang untuk bekas penduduk Kampong Amber berkumpul.

"Mungkin kami boleh melancong bersama-sama ke luar negara. Kita boleh mengadakan makan malam  ringkas, berkelah dan sebagainya," kata Cik Farah.

Kampong Amber mungkin tinggal kenangan namun salah satu kampung yang pernah wujud di Singapura itu akan terus terpahat dalam ingatan bekas para penduduknya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan