Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas penasihat kewangan Great Eastern dijel; tipu pelanggan lebih S$300,000

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas penasihat kewangan Great Eastern dijel; tipu pelanggan lebih S$300,000

Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY

SINGAPURA: Seorang penasihat kewangan memberitahu empat pelanggannya bahawa dia akan menjual polisi insurans "jualan semula" yang eksklusif kepada mereka.

Dia sanggup memalsukan beberapa dokumen untuk menyokong dakwaannya itu.

Polisi-polisi insurans itu sebenarnya tidak wujud sama sekali dan Alvin Koo Jing You menipu para pelangganya untuk memindahkan lebih S$300,000 ke dalam akaun bank peribadinya.

Dia menggunakan wang tersebut untuk membiayai perbelanjaan peribadi seperti yuran pembedahan ibunya, pinjaman kad kredit, perbelanjaan perniagaan dan untuk membayar balik kepada sesetengah mangsa setelah penipuannya terbongkar.

Pada Jumaat (3 Jun), Koo dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun dan lapan bulan selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan pemalsuan bagi tujuan menipu.

Tiga lagi tuduhan serupa turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Lelaki warga Singapura yang berusia 35 tahun itu bekerja di Great Eastern Life Assurance semasa melakukan jenayah tersebut dari 2017 hingga 2019.

Dia dipecat daripada syarikat insurans itu pada awal 2019 selepas kesalahan-kesalahannya terbongkar.

Mahkamah mendapati Koo menjual 'polisi jualan semula' itu sebagai muslihat untuk memperdayakan para pelanggannya.

Great Eastern sudah membayar ganti rugi kepada para mangsa dan Koo juga sudah menandatangani perjanjian dengan bekas majikannya untuk melunaskannya secara ansuran.

Koo bagaimanapun tidak mematuhi syarat-syarat perjanjian yang dipersetujuinya pada Januari tahun ini dan dengan itu dia gagal membayar balik S$96,000 kepada syarikat tersebut.

Bagi setiap kesalahan, Koo boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun dan didenda.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan