Bekas pemandu bas dipenjara sebabkan 14 orang cedera dalam kemalangan Pusat Pertukaran Bas Bukit Batok
17 orang cedera dalam nahas pertembungan bas di pusat pertukaran bas Bukit Batok pada 11 Jul 2021. (Gambar: SCDF/Facebook)
SINGAPURA: Seorang bekas pemandu bas dihukum penjara pada Selasa (31 Mei) kerana menyebabkan pelanggaran dua bas di Pusat Pertukaran Bas Bukit Batok pada tahun lalu yang menyebabkan 14 orang tercedera
Loo Eng Chai, 66 tahun dihukum penjara enam minggu dan dilarang memandu selama lima tahun, selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan enam orang cedera parah akibat perbuatan cuai.
Satu lagi tuduhan menyebabkan kecederaan pada lapan orang akibat perbuatan cuai turut dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.
Kesemua 14 orang yang cedera dibawa ke hospital. Ini termasuk 12 penumpang dan pemandu bas yang dilanggar Loo dan seorang kapten bas yang sedang berehat.
Pemandu bas yang bertembung itu patah hidung, mengalami gumpalan darah di bahagian kepala dan tulang (hematoma) dan luka melecet di badannya. Pemandu diberi cuti sakit selama 43 hari.
Kapten bas yang sedang berehat pula patah tulung rusuk dan bahagian-bahagian lain di badannya, serta kecederaan di bahagian kepala. Dia diberi cuti sakit selama 83 hari.
Timbalan Pendakwa Raya Chee Ee Lin memohon agar hukuman penjara selama enam hingga lapan minggu dan larangan memandu selama lima tahun dikenakan dengan alasan Loo memandu kenderaan yang berat dengan potensi berbahaya yang lebih tinggi.
Loo terus memandu tanpa menghiraukan bas lain yang mempunyai hak laluan, tegasnya.
Beliau menarik perhatian bahawa enam mangsa yang cedera parah mengalami luka yang "sangat serius atau berkekalan", yang memerlukan prosedur pembedahan yang ketara.
Cik Chee juga berkata bahawa pengakuan bersalah Loo yang menunjukkan penyesalan dan ketiadaan kesalahan lalu adalah faktor yang membolehkan hukuman diringankan.
Beliau menambah bahawa pihak pendakwa tidak akan mendapatkan perintah pampasan kerana Loo tidak mampu untuk membayar.
Loo yang tidak diwakili peguam, memberitahu mahkamah bahawa dia kini bekerja sebagai seorang pembersih, dan perlu membayar duit sewa dan menyara keluarganya di Johor Bahru.
Loo minta agar hukumannya dikurangkan supaya boleh dibebaskan "secepat mungkin" untuk terus bekerja dan menyara keluarganya.
Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Brenda Tan berkata, tindakan Loo menyebabkan kecederaan yang serius dan kesalahannya itu di tahap sederhana hingga tinggi.
Akibat tindakan cuai yang menyebabkan kecederaan teruk, yang membahayakan keselamatan orang lain, Loo boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.