Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pemandu bas dipenjara kerana kunci budak 3 tahun lebih sejam dalam van

Disebabkan marah tidak dibayar lebih oleh majikannya untuk menghantar seorang lagi murid ke sekolah, seorang pemandu bas sekolah mengunci seorang budak tiga tahun di dalam van mininya selama lebih sejam tanpa pengaliran udara.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pemandu bas dipenjara kerana kunci budak 3 tahun lebih sejam dalam van

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 06 Jan 2021 08:09PM Dikemas Kini : 06 Jan 2021 08:10PM

SINGAPURA: Disebabkan marah tidak dibayar lebih oleh majikannya untuk menghantar seorang lagi murid ke sekolah, seorang pemandu bas sekolah mengunci seorang budak tiga tahun di dalam van mininya selama lebih sejam tanpa pengaliran udara.

Zulkahnai Haron, 47 tahun, dikenakan hukuman penjara 10 bulan, didenda S$3,000 dan dilarang daripada memandu selama setahun pada Rabu (6 Jan). Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan menganiaya seorang kanak-kanak sehingga menyebabkannya menderita dan satu lagi kesalahan trafik yang tidak berkaitan.

Mahkamah diberitahu bahawa Zulkahnai merupakan seorang pemandu bersama sebuah syarikat khidmat pengangkutan dan dia mengangkut pelajar ikut laluan yang ditetapkan.

Pada pagi 20 Januari tahun lalu, Zulkahnai melaporkan diri untuk bertugas seperti biasa dan selesai menghantar pelajar apabila diminta penyelianya untuk menghantar lebih ramai pelajar.

Zulkahnai bertanya jika dia akan diberi elaun tambahan namun "tidak menerima jawapan memuaskan" dari penyelianya dan dia mula berasa tidak puas hati.

Dia akhirnya menjemput seorang lagi murid untuk dihantar ke sekolah namun tetap berasa tidak puas hati.

Meskipun dia tahu bahawa mangsa masih berada di dalam van mini itu, Zulkahnai menyuruh pembantu bas supaya keluar dahulu sekaligus melanggar dasar syarikat yang menetapkan bahawa pembantu bas hanya boleh meninggalkan bas itu apabila kesemua murid sudah turun dari bas tersebut.

Meskipun dia perlu menghantar murid itu ke sekolah, Zulkahnai sebaliknya memandu pulang dan meletakkan vannya di sebuah tempat letak kereta bertingkat di Admiralty Drive pada kira-kira pukul 9.00 pagi.

Dia meninggalkan budak perempuan itu di dalam van lalu mengunci kenderaannya dan keluar membeli makanan di sebuah gerai sebelum membeli barangan dapur di sebuah pasar raya. Selepas itu, dia pulang ke rumah.

Pada kira-kira pukul 10.00 pagi, seorang lelaki sedang berjalan di tempat letak kereta itu bersama isterinya apabila mereka terdengar suara menyahut "hello, hello" dari van mini tersebut.

Mereka menemui mangsa sedang menangis teresak-esak memanggil ibunya, sambil masih memakai tali keledar.

Lelaki itu menghubungi Zulkahnai, yang nombor telefonnya tertera pada kenderaan berkenaan sementara isterinya menghubungi sekolah kanak-kanak tersebut dan mengambil gambar budak perempuan itu.

TERTUDUH BERBOHONG KEPADA POLIS

Apabila Zulkahnai kembali ke vannya, dia dimarahi wanita tersebut. Namun Zulkahnai memberitahunya supaya tidak bimbang kerana dia hanya meninggalkan van tersebut "untuk beberapa minit sahaja". Wanita itu berkeras unutk ikutnya hantar budak tersebut ke sekolah kerana bimbangkan keselamatan kanak-kanak tersebut.

Apabila mereka tiba di sekolah, wanita itu memberitahu guru mangsa tentang apa yang berlaku.

Zulkahnai pula tidak berterus terang ketika disiasat. Dalam kenyataannya kepada polis, dia mendakwa meninggalkan mangsa seorang diri selama sekitar 30 minit kerana perlu pulang ke rumah untuk mengganti pakaian. Dia mendakwa sakit perut dan membuang air besar tanpa sengaja dalam seluarnya.

Dia tidak berganjak daripada kenyataannya itu sehingga ditunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semasa dia di pasar raya. Dia kemudian mengaku meninggalkan mangsa seorang diri dalam van kerana tidak puas hati tentang isu elaun tambahan.

MANGSA ALAMI PTSD, TAKUT DITINGGALKAN SEORANG DIRI

Mangsa diperiksa di klinik bimbingan kanak-kanak di Institut Kesihatan Mental (IMH) dan didapati mengalami gangguan tekanan selepas trauma disebabkan oleh kejadian itu.

Menurut ibu mangsa, anaknya itu takut ditinggalkan sendirian dan tidak boleh tidur tanpa berada di sisi ibunya selama enam bulan selepas kejadian itu berlaku. Dia juga takut untuk naik bas sekolah kerana bimbang pemandu bas akan terlupa dan meninggalkannya seorang diri dalam bas.

Bagi kesalahan menganiaya seorang kanak-kanak, Zulkahnai boleh dihukum penjara sehingga lapan tahun, didenda sehingga S$8,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan