Skip to main content

Singapura

Bekas pemain bola sepak S'pura dijel, didenda kerana cabul kehormatan kawan kenalan Tinder

Bekas pemain bola sepak negara yang menggunakan nama samaran untuk bertemu dengan wanita melalui aplikasi Tinder dan kemudian mencabul kehormatan seorang gadis berusia 21 tahun dihukum penjara selama 18 minggu dan didenda S$1,000 pada Jumaat (13 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pemain bola sepak S'pura dijel, didenda kerana cabul kehormatan kawan kenalan Tinder

Mohammad Imran Sahib Mohamed Ibrahim Sahib. (Gambar: Facebook)

Diterbitkan : 14 Nov 2020 01:07PM Dikemas Kini : 14 Nov 2020 01:15PM

SINGAPURA: Bekas pemain bola sepak negara yang menggunakan nama samaran untuk bertemu dengan wanita melalui aplikasi Tinder dan kemudian mencabul kehormatan seorang gadis berusia 21 tahun dihukum penjara selama 18 minggu dan didenda S$1,000 pada Jumaat (13 Nov).

Mohammad Imran Sahib Mohamed Ibrahim Sahib, 38 tahun, yang sudah berumahtangga, didapati bersalah bulan lalu atas tuduhan mencabul kehormatan seorang gadis dan menggunakan kekerasan jenayah terhadapnya.

Pada malam dia melakukan jenayah itu pada Mac 2018, Imran berkunjung ke beberapa kelab malam dengan seorang wanita yang dikenalinya melalui aplikasi Tinder dan juga rakan wanita tersebut.

Meskipun sudah berkahwin ketika itu dan mempunyai tiga orang anak, dia menggunakan Tinder untuk berkenalan dengan wanita lain.

Rekod perkahwinan menunjukkan bahawa dia masih bergelar suami.

Setelah berkunjung ke kelab malam ketiga dan terakhir pada 4 Mac 2018, kenalannya muntah di sebuah tempat letak kereta. Ketika itulah Imran mencium rakan kenalannya itu.

Imran kemudian menghantar pasangan itu pulang ke rumah mereka. Setelah kenalannya turun dari keretanya, Imran menyentuh paha gadis berkenaan di dalam keretanya dan menghisap jari mangsa secara paksa. Identiti mangsa tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah untuk melindungi identitinya.

Imran pernah menyarung jersi pasukan bola sepak kebangsaan dan dia juga pernah mewakili pasukan negara dalam perlawanan saringan Piala Dunia menentang Oman pada 2004. Dia juga pernah bermain dalam Liga S, yang kini dikenali sebagai Liga Perdana Singapura. Dia juga pernah turun padang sebagai pemain pertahanan bagi kelab bola sepak Tampines Rovers.

Imran akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu. Dia kini diikat jamin S$15,000.

Atas kesalahan mencabul kehormatan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau dikenakan mana-mana gabungan hukuman tersebut.

Bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah, dia boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$1,500, atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita