Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pemain bola sepak S'pura didapati bersalah cabul kehormatan kawan kenalan Tinder

Imran Sahib Mohamed Ibrahim Sahib disabitkan tiga tuduhan mencabul kehormatan gadis berusia 21 tahun dan menggunakan kekerasan terhadapnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pemain bola sepak S'pura didapati bersalah cabul kehormatan kawan kenalan Tinder

Mohammad Imran Sahib (Gambar: Facebook)

Diterbitkan : 23 Oct 2020 09:00AM Dikemas Kini : 23 Oct 2020 09:06AM

SINGAPURA:Dia sudah berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak tetapi masih bertemu wanita lain menggunakan nama samaran semasa berkenalan dengan mereka melalui wadah Tinder.

Mohammad Imran Sahib Mohamed Ibrahim Sahib pergi ke kelab malam bersama seorang kenalan dari Tinder dan kawan kenalan tersebut.

Selepas pergi ke kelab malam ketiga dan terakhir pada hari tersebut, kenalan Tindernya muntah di tempat letak kereta. Ketika itulah Imran mencium rakan wanita itu sebelum mencabul kehormatannya.

Imran menuntut dibicarakan atas tiga tuduhan mencabul kehormatan gadis berusia 21 tahun itu dan menggunakan kekerasan terhadapnya.

Pada Khamis (22 Okt), seorang hakim daerah mensabitkannya dengan kesemua tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Lelaki berusia 38 tahun itu akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 13 November dan dijangka akan dijatuhkan hukuman pada hari tersebut. Dia dibebaskan dengan ikat jamin S$5,000.

Semasa melakukan kesalahan pada 4 Mac 2018, dia memandu untuk syarikat kereta sewa privet Grab.

Imran pernah menyarung jersi pasukan bola sepak negara. Dia turun padang bermain untuk pasukan negara dalam perlawanan saringan Piala Dunia semasa menentang Oman pada 2004. Dia juga pernah bermain dalam Liga S, kali terakhir sebagai pemain pertahanan bersama pasukan Tampines Rovers.

Semasa perbicaraan, dia menafikan mencium mangsa dan berkata dia setakat memujuknya. Dia juga tidak mengaku menyentuhnya semasa berada di dalam keretanya, dengan mendakwa bahawa wanita itu berkelakuan dengan cara yang dikesali seperti menggodanya dan mengambil dadah methamphetamine.

Hakim Daerah Kan Shuk Weng berkata bahawa Imran tidak pernah sebut tentang dadah tersebut sehinggalah perbicaraan dimulakan dan mangsa tidak mempunyai alasan untuk berbohong semasa memberikan keterangan.

Nama mangsa tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah untuk melindungi identitinya. Dia sekarang berusia 23 tahun dan sudah berkahwin.

MANGSA TIDAK SANGKA IMRAN BERKELAKUAN SEPERTI ITU

Setelah meninggalkan kelab malam pada pukul 6.00 pagi, rakan mangsa muntah di tempat letak kereta pusat beli-belah Marina Square.

Dalam keterangannya, mangsa berkata bahawa ketika beliau sedang memeriksa keadaan rakannya, Imran tiba-tiba menciumnya. Beliau segera menolaknya tetapi tidak memberitahu rakannya kerana tidak mahu menyinggung perasaannya.

Mereka kemudian menaiki kereta Imran dan dia menghantar kedua-dua wanita pulang.

Mangsa berkata beliau tidak menyangka Imran akan berkelakuan sumbang sekali lagi kerana bertanggapan Imran mungkin bertindak sedemikian kerana dia mabuk.

Namun setelah Imran memandu keluar dari tempat letak kereta selepas menghantar rakannya pulang, dia menyentuh paha mangsa. Mangsa menolak tangannya namun Imran kemudian cuba menyentuh bahagian atas pahanya.

Menurut mangsa, apabila beliau menolaknya, Imran menggenggam tangannya lalu memasukkan jari wanita itu ke dalam mulutnya dan menghisapnya.

Kerana "takut, terkejut, sangat terdedah dan tanpa harapan", mangsa menghantar pesanan teks kepada rakannya dengan beberapa kesilapan ejaan.

Imran cuba merampas telefon bimbitnya, tetapi rakan mangsa kemudian menelefonnya dan menyuruhnya menghantar mangsa pulang.

Ketika Imran menghentikan keretanya dekat sebuah perhentian bas untuk membuang air, mangsa turun dan berkaki ayam selama hampir setengah jam ke rumah rakannya. Beliau akhirnya pulang menaiki teksi.

DIBELENGGU ISU KEPERCAYAAN HINGGA KE HARI INI

Mangsa kemudian membuat aduan polis di Balai Polis Kejiranan Teck Ghee pada lewat hari tersebut atas dorongan saudara perempuannya. Beliau pada awalnya keberatan untuk berbuat demikian kerana takut dengan Imran.

Beliau memberi keterangan bahawa sejak kejadian itu, beliau mimpi buruk orang merogolnya. Beliau juga mimpi tentang membunuh diri.

"Mangsa juga mengalami masalah kepercayaan dan setiap kali menaiki (kereta sewa privet), beliau akan teringat tentang kejadian itu. Hingga ke hari ini, masih jelas bahawa beliau mengalami trauma atas penderitaannya itu dan mangsa kelihatan sedih dan menangis sebanyak empat kali ketika memberikan keterangan di mahkamah,” kata Timbalan Pendakwa Raya Chee Ee Ling.

Bagi kesalahan mencabul kehormatan, Imran boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, dirotan atau mana-mana gabungan ketiga-tiga hukuman itu.

Kerana menggunakan kekerasan jenayah pula, dia boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan