Bekas pelakon Ian Fang dipenjara 40 bulan atas kesalahan seksual terhadap remaja bawah umur
Bekas pelakon Ian Fang dihukum penjara 40 bulan pada 19 Mei 2025, selepas mengaku bersalah atas kesalahan seksual melibatkan seorang kanak-kanak bawah umur. (Gambar: CNA/Jeremy Long dan Instagram/@Ian_ianization)
Identiti lelaki berusia 35 tahun itu didedahkan pada Isnin selepas perintah mahkamah ditarik balik.
Fang, yang nama sebenarnya ialah Fang Wei Jie, mengaku bersalah atas tiga tuduhan melakukan penembusan secara seksual bersama seorang remaja perempuan bawah umur 16 tahun.
Tiga tuduhan serupa turut dipertimbangkan dalam hukumannya, bersama satu tuduhan menghalang proses keadilan dan satu tuduhan mengintai.
Perintah mahkamah masih dikenakan terhadap identiti mangsa, yang berusia 15 tahun pada masa kesalahan pada tahun 2024.
Fang berusia 34 tahun apabila mereka bertemu di sebuah acara hiburan.
Pihak pendakwa, yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Lynda Lee, memohon untuk menarik balik perintah mahakmah terhadap identiti Fang pada Isnin.
Remaja perempuan tersebut menjelaskan dalam kenyataan impak mangsa bahawa dia kini "lebih kuat dari segi emosi" dan bersedia untuk menanggung risiko dikenali.
Peguam Fang, Noelle Teoh, membantah pembatalan perintah mahkamah, dengan berhujah bahawa mangsa boleh dikenal pasti akibatnya.
Cik Teoh berkata sekurang-kurangnya 30 orang telah melihat Fang dan mangsa secara sosial di pelbagai acara, sambil menambah bahawa tiada siapa yang boleh menjamin kesan kepada mangsa jika beliau dikenal pasti.
Mengesahkan kebimbangan pihak pembela, pihak pendakwa menjawab bahawa mereka telah mengambil langkah-langkah untuk mengeluarkan butiran pengenalan dari dokumen mahkamah.
Hakim Daerah Eddy Tham mengeluarkan perintah mahkamah baharu mengenai butiran yang membawa kepada pengenalan mangsa, tetapi tidak menyertakan nama Fang.
Fang adalah pelakon sepenuh masa dengan Mediacorp selama 12 tahun sebelum dia meninggalkan syarikat media itu pada tahun 2023.
RENTETAN KESALAHAN
Pada waktu kesalahan, Fang adalah guru lakonan di sebuah sekolah peragaan kanak-kanak yang menyediakan kelas untuk pelajar berumur empat hingga 14 tahun.
Fang bertemu mangsa di sebuah acara hiburan pada Mei 2024, menurut dokumen mahkamah.
Mereka saling bertukar nombor dan berhubung hampir setiap hari.
Pada Jun 2024, Fang terlibat dalam perbuatan seksual yang kebanyakannya tidak menggunakan perlindungan dengan mangsa sebanyak sembilan kali. Dia tahu bahawa mangsa hanya berumur 15 tahun.
Pada 6 Jun, Fang mendaftar masuk mangsa ke sebuah hotel kerana remaja itu telah dijangkiti COVID-19.
Pada malam itu, dia melawat mangsa di bilik hotelnya di mana mereka melakukan hubungan seks.
Ketika itu, mangsa telah mula melihat Fang sebagai teman lelaki, tetapi Fang memberitahu mangsa untuk merahsiakan hubungan mereka.
Pada 12 Jun, mangsa meninggalkan bilik hotel untuk bertemu Fang, yang meminta untuk bertemu dengannya.
Pada kira-kira jam 12.00 tengah malam pada 13 Jun, pasangan itu pergi ke rumah Fang di mana mereka melakukan hubungan seks tanpa perlindungan. Dia kemudian kembali ke bilik hotel pada pagi itu.
Mahkamah diberitahu bahawa ibu mangsa akan memeriksa anaknya di bilik hotel pada kira-kira jam 12.00 tengah hari.
"Apabila mangsa tiba di bilik hotelnya pada kira-kira 10.00 pagi, tertuduh menghantar pesanan teks kepadanya untuk berbual dengannya.
"Semasa perbualan, dia bertanya jika dia 'selamat', yang bermaksud sama ada dia berjaya mengelak daripada dikesan (oleh ibunya) memandangkan dia meninggalkan bilik hotel lebih awal," kata pihak pendakwa.
Pada 17 Jun, mangsa dimasukkan ke hospital kerana jangkitan selesema dan tinggal di bilik sendiri. Ibunya bersamanya tetapi ibu itu pulang ke rumah kemudian.
Sekitar jam 12.00 tengah malam, selepas memastikan mangsa bersendirian, Fang melawatnya dan mereka melakukan hubungan seks tanpa perlindungan.
Ibu mangsa akhirnya mengetahui tentang pertemuan seksual tersebut dan melarang remaja itu daripada menghubungi Fang. Ibunya menghubungi polis pada 3 Ogos.
Fang ditangkap pada 4 Ogos dan dilepaskan atas ikat jamin pada keesokan harinya.
KESAN TERHADAP MANGSA
Pada masa itu, mangsa berasa tertekan dan menangis setiap hari.
Walaupun diarahkan oleh pegawai penyiasat untuk tidak menghubungi mangsa, Fang menghubungi mangsa melalui media sosial.
Dia memberitahu mangsa bahawa dia tidak boleh menghubungi mangsa, tetapi mangsa yang perlu menghubunginya.
"Mangsa yang masih mempunyai perasaan terhadap tertuduh mematuhi (arahannya) dan menelefon dia," kata Cik Lee.
"Semasa perbualan telefon mereka, tertuduh terus bercakap tentang bagaimana dia akan membunuh diri jika dia masuk penjara.
"Tertuduh juga meminta mangsa untuk menangis di hadapan (ibunya) dan memberitahunya bahawa dia tidak mahu tertuduh masuk penjara dan tidak mahu mengemukakan tuduhan terhadapnya."
Ini menyebabkan mangsa mula mempunyai niat untuk membunuh diri. Dia dimasukkan ke Institut Kesihatan Mental (IMH) dari 23 Ogos hingga 28 Ogos 2024 dan didiagnos dengan gangguan penyesuaian dan 'mood' murung.
Walaupun mangsa memutuskan untuk menghentikan hubungan dengan Fang, dia terus mengganggu mangsa dengan menghubunginya beberapa kali.
Pada 22 September 2024, Fang menelefon mangsa sebanyak 18 kali dan menghantar pesanan WhatsApp yang merujuk kepada rakan rapat mangsa.
Pada bulan yang sama, Fang log masuk ke sebuah ruang maya mangsa menerusi aplikasi karaoke.
PENGURANGAN HUKUMAN
Cik Teoh, peguam pembela, memohon tidak lebih daripada 32 bulan penjara untuk Fang, yang menurutnya telah meminta maaf kepada mangsa dan keluarganya.
Beliau berkata Fang hanya berniat untuk menyokong mangsa kerana dia mempunyai "kecenderungan semula jadi" untuk membantu orang di sekelilingnya.
Cik Teoh tidak bersetuju dengan hujah pendakwa bahawa terdapat tahap eksploitasi yang tinggi dalam kes ini, kerana dokumen mahkamah tidak menyatakan bahawa Fang telah menekan mangsa dan dia tidak memaksa.
Hakim Tham, mengambil kira umur Fang pada masa kesalahan dilakukan, berkata dia tahu apa yang dia lakukan dan apa yang mungkin berlaku setiap kali dia melawat mangsa.
Ia bukan kejadian sekali sahaja di mana Fang bertindak secara tiba-tiba, kata Hakim Tham. Sebaliknya, Fang telah "mengambil kesempatan" atas sifat naif dan kelemahan emosi mangsa, katanya.
Hakim tersebut menambah bahawa percubaan Fang untuk "mengelirukan mangsa" semata-mata untuk "menyelamatkan dirinya sendiri" adalah sesuatu yang buruk.
Fang tidak peduli tentang kebajikan mangsa dan telah melanggar arahan pegawai penyiasat untuk tidak menghubungi mangsa, kata hakim itu.
Beliau membenarkan Fang untuk menangguhkan hukuman penjaranya sehingga 16 Jun untuk menyelesaikan urusan peribadinya selepas menaikkan ikat jaminnya sebanyak S$10,000.
Dilahirkan di Shanghai dan bersekolah di Singapura, Fang memulakan kerjaya hiburannya pada tahun 2011 dan menjadi terkenal dengan drama bertema remaja 'On The Fringe'.
Dia memenangi Star Award Mediacorp untuk Pendatang Baharu Terbaik pada 2013 dan seterusnya memegang peranan utama dalam drama seperti Served HOT (2014) dan Tiger Mum (2015).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.