Bekas pekerja StarHub dijel 10 minggu; perolehi maklumat pelanggan bagi rakan sekolahnya
Seorang bekas pekerja StarHub pada Isnin (20 Sep) dihukum penjara 10 minggu kerana menmperolehi maklumat telekomunikasi syarikat itu secara haram bagi pihak rakan sekolah menengahnya.

Zhang Jiazheng, bekas pekerja StarHub, di Mahkamah Negara pada 16 Dis 2020. (Gambar fail: Nuria Ling/TODAY)
SINGAPURA: Seorang bekas pekerja StarHub pada Isnin (20 Sep) dihukum penjara 10 minggu kerana menmperolehi maklumat telekomunikasi syarikat itu secara haram bagi pihak rakan sekolah menengahnya.
Zhang Jiazheng, rakyat Singapura berusia 39 tahun, mengaku bersalah atas tiga tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Keselamatan Siber (CMCA). Enam lagi tuduhan serupa turut diambil kira ketika menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa pada 2015, rakan Zhang, Lee Cheng Yan, memberitahu Zhang dia memerlukan maklumat sebilangan pelanggan StarHub kerana mereka berhutang dengannya daripada sesi minum arak dan perjudian. Lee mahu menuntut semula wang yang dipinjamkannya itu.
Kedua-dua Lee dan Zhang, yang ketika itu adalah seorang perunding penjagaan pelanggan di StarHub, menghadiri sekolah menengah yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Magdalene Huang bagaimanapun tidak menjelaskan tentang hubungan antara kedua-dua lelaki itu tetapi berkata mereka akan bertemu sekali sekala untuk pergi minum dan makan bersama.
Zhang menunaikan permintaan Lee dan, buat sembilan kali antara 2015 hingga 2017, dia menggunakan komputer di tempat kerja untuk mengakses butiran pelbagai pelanggan StarHub seperti alamat mereka.
Akibatnya, DPP Huang berkata para pelanggan terjejas melaporkan insiden gangguan seperti panggilan telefon, kiriman mesej selain individu yang mengetuk pintu rumah dan meminta wang dikembalikan kepada pelbagai orang.
StarHub memberitahu Mediacorp tahun lalu bahawa apabila perkara itu timbul pada 2017, ia dengan serta-merta membatalkan akses Zhang kepada sistemnya. Syarikat telekomunikasi itu juga menggantung Zhang daripada semua tugasannya sebelum memberhentikannya pada tahun tersebut.
Pada 2015, Lee juga mendapatkan bantuan seorang perunding runcit di sebuah kedai yang dikendalikan oleh Singtel, satu lagi syarikat telekomunikasi, atas tujuan yang sama iaitu untuk meminta bantuan mendapatkan maklumat pelanggan.
Perunding runcit Kelvin Foo Cheek Ann diupah S$20 oleh Lee bagi setiap nombor telefon bimbit yang diperiksanya.
Foo, kini berusia 32 tahun, dipenjara 18 minggu ada Januari selepas di mengaku bersalah atas rasuah dan akses yang tidak diluluskan untuk mendapatkan maklumat daripada sistem Singtel.
Sebelum ini, Mediacorp melaporkan Lee sendiri telahpun disogok untuk mendapatkan maklumat kedua-dua pelanggan StarHub dan Singtel.
Philbert Lim Zong Xian, 34 tahun, didakwa tahun lalu atas tiga tuduhan menyogok Lee dengan wang suapan bernilai S$1,000 untuk mendapatkan maklumat tersebut pada 2017.
Kedua-dua Lee dan Lim belum lagi dijatuhkan hukuman. Kes-kes mereka masih dibicarakan di mahkamah.
Lee, kini berumur 37, menjadi tajuk berita tahun lalu apabila dia dipenjara lebih empat tahun dan digantung lesen memandu seumur hidup. Ini ekoran insiden dia mengheret seorang pegawai polis trafik sejauh kira-kira 120 meter dengan kereta Maserati dalam percubaan untuk melarikan diri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.