Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pekerja SMRT dijel 21 bulan & denda, ambil rasuah lebih S$54,000 dari 3 syarikat SG

Sepanjang tempoh sekitar lima tahun, seorang bekas kakitangan SMRT mengambil rasuah lebih S$54,000 daripada tiga syarikat tempatan sebagai ganti memaklumkan kepada mereka mengenai harga bidaan yang diberikan oleh pesaing mereka semasa proses pemerolehan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pekerja SMRT dijel 21 bulan & denda, ambil rasuah lebih S$54,000 dari 3 syarikat SG

(Gambar: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 16 Jan 2023 09:03PM Dikemas Kini : 17 Jan 2023 05:00PM

SINGAPURA: Sepanjang tempoh sekitar lima tahun, seorang bekas kakitangan SMRT mengambil rasuah lebih S$54,000 daripada tiga syarikat tempatan sebagai ganti memaklumkan kepada mereka mengenai harga bidaan yang diberikan oleh pesaing mereka semasa proses pemerolehan.

Soh Choon Heng, 45 tahun, yang bekerja sebagai pembantu pembeli bagi syarikat pengendali pengangkutan awam berkenaan ketika itu, juga memalsukan tanda tangan pihak pengurusan syarikat itu secara digital untuk meluluskan dokumen relevan berkaitan pemerolehan.

Di Mahkamah Rendah pada Isnin (16 Jan), Soh dihukum penjara 21 bulan dan didenda $24,850 selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan mengambil rasuah dan dua tuduhan melibatkan pemalsuan.

Dia akan dikenakan hukuman penjara lagi lapan minggu jika gagal membayar denda.

Lapan lagi tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman.

Ketiga-tiga syarikat terbabit dalam kes itu adalah firma alat ganti kereta Euro Bremse, firma elektrik CEE Technologies serta pengimport dan pengedar bahagian automotif Alturan.

Timbalan Pendakwa Raya Louis Ngai memberitahu mahkamah bahawa Yong Ming Jun dan Wong King Mooi, iaitu masing-masing merupakan pengarah syarikat Euro Bremse dan CEE Technologies, telah didakwa dan kes mereka masih menunggu sebutan di mahkamah.

Beliau menambah bahawa pengarah Alturan, Lee Yon Jong, kini tidak berada di Singapura. Dokumen mahkamah tidak menyatakan sama ada Lee sudah didakwa.

Mahkamah diberitahu bahawa Soh sudah pun membuat pembayaran kembali sebanyak sekitar S$20,000.

Bagi setiap tuduhan menerima rasuah, Soh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, atau didenda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya sekali.

Setiap kesalahan melakukan pemalsuan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga empat tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan