Bekas pekerja Shell mengaku subahat curi minyak gas S$49 juta dari Pulau Bukom
Seorang bekas pekerja Shell yang merupakan anggota sindiket yang secara rutin menggelapkan minyak gas bernilai jutaan dolar dari lokasi pengeluaran Pulau Bukom untuk dijual ke kapal lain mengaku bersalah atas penglibatannya pada Selasa (12 Dis).
Sadagopan Premnath (Gambar: Nuria Ling/TODAY)
SINGAPURA: Seorang bekas pekerja Shell yang merupakan anggota sindiket yang secara rutin menggelapkan minyak gas bernilai jutaan dolar dari lokasi pengeluaran Pulau Bukom untuk dijual ke kapal lain mengaku bersalah atas penglibatannya pada Selasa (12 Dis).
Warga India Sadagopan Premnath, 40, adalah kakitangan Shell pertama yang terlibat dalam pencurian yang mengaku salah terhadap tuduhan ke atasnya.
Dia mengaku bersalah atas empat tuduhan bersubahat dengan pecah amanah sebagai penjawat yang melibatkan penyelewengan minyak gas bernilai S$49 juta pada 2017 dan 2018. Lima lagi tuduhan akan diambil dalam pertimbangan semasa menjatuhkan hukuman.
Minyak gas adalah sejenis produk bahan bakar komersil yang digunakan dalam pelbagai industri, termasuk sektor marin.
Sadagopan mula bekerja di Shell Eastern Petroleum sekitar 2012 sebagai pekerja lapangan atau pengendali panel, dengan gaji asas sekitar S$2,400 dan memperoleh sehingga S$4,000 dengan gaji kerja lembur.
Penyelewengan berlaku di lokasi pengilangan di Shell Pulau Bukom, kilang milik penuh Shell terbesar di dunia dari segi kapasiti penyulingan minyak mentah dan pusat pengeluaran dan eksport petrokimia terbesar di Asia Pasifik.
Konspirasi untuk mencuri minyak gas bermula pada 2007 oleh dalangnya - tertuduh bersama - Juandi Pungot dan Abdul Latif Ibrahim. Kedua-duanya kakitangan Shell. Ia kemudian berkembang untuk melibatkan lebih ramai orang selama lebih 11 tahun.
Sadagopan direkrut oleh Juandi dan menyertai sindiket pada pertengahan 2017.
Sadagopan bersetuju untuk bergabung dengan sindiket itu kerana dia bimbang rakan-rakannya yang lebih senior mungkin memperlakukannya dengan permusuhan, mahkamah diberitahu.
Peranan Sadagopan adalah untuk mengikut arahan dari rakan-rakan sekerjanya dan bertindak sebagai pengendali panel minyak hitam untuk membuka dan menutup injap agar kapal yang menunggu dapat menerima minyak gas yang dicuri.
Mahkamah diberitahu dia menerima sekitar AS$150,000 (S$200,300) dari hasil jenayah tersebut dan tidak membuat ganti rugi kepada Shell.
ISU MINYAK HILANG DIKESAN, TIDAK DAPAT DISELESAI SELAMA BERTAHUN
Pada awal 2015, Shell menyedari kehilangan minyak yang tidak dapat dikenal pasti di Pulau Bukom menerusi proses perakaunannya. Ia mendapatkan khidmat sekumpulan pakar dari pejabatnya yang lain untuk melakukan semakan, tetapi penyelewengan tersebut tidak dapat dikesan.
Syarikat tersebut melibatkan pasukan global penganalisis silang disiplin Shell untuk memantau pergerakan tangki dan menganalisis data yang ada. Setelah pencurian minyak gas disyaki melalui pemindahan tanpa izin ke kapal lain dikesan, Shell membuat aduan polis pada Ogos 2017.
Sejak penemuan pencurian besar-besaran itu, Shell mengambil pelbagai langkah mahal untuk memperbaiki sistem dan prosesnya.
Menjelang akhir tahun ini, anggaran kos yang ditanggung secara langsung atau yang akan ditanggung oleh Shell untuk menguruskan akibat pencurian jangka panjang akan berjumlah sekitar S$6 juta.
Sadagopan akan dihadapkan lagi ke mahkamah untuk pembelaan dan penjatuhan hukuman pada Februari.
Kes-kes untuk beberapa orang rakan komplotnya masih belum selesai. Beberapa pegawai kapal tangki yang menerima minyak gas yang dicuri dari Pulau Bukom sudah dipenjarakan, termasuk seorang ketua pegawai yang dipenjarakan pada Julai tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.