Bekas pekerja Shell mengaku dalang sindiket curi minyak gas S$128 juta dari Pulau Bukom
Seorang bekas pekerja Shell Eastern Petroleum pada Selasa (8 Feb) menjadi dalang pertama yang mengaku bersalah atas peranannya dalam sindiket menggelapkan minyak gas marin secara besar-besaran dari kilang penapisan minyak terbesar syarikat itu di Pulau Bukom.

(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Seorang bekas pekerja Shell Eastern Petroleum pada Selasa (8 Feb) menjadi dalang pertama yang mengaku bersalah atas peranannya dalam sindiket menggelapkan minyak gas marin secara besar-besaran dari kilang penapisan minyak terbesar syarikat itu di Pulau Bukom.
Juandi Pungot, 45 tahun, dan dua rakan sekerjanya dikatakan adalah dalang utama di sebalik skim itu yang bermula pada 2007. Ia membabitkan penyelewengan lebih 300,000 tan minyak gas - iaitu sejenis minyak yang digunakan oleh kapal-kapal - yang bernilai sekurang-kurangnya S$200 juta.
Mereka kemudian menjual minyak gas itu kepada kapal-kapal asing pada harga lebih rendah berbanding nilai pasaran yang dianggarkan pada ketika itu.
Polis mula menjalankan siasatan setelah seorang wakil Shell membuat aduan polis pada Ogos 2017, mengatakan syarikat itu mengalami kerugian bernilai sekitar S$2.98 juta pada April tahun itu.
Pihak pendakwa berkata kesalahan itu melibatkan "bahagian penting sebuah industri strategik" dan tahap penyelewengan yang dilakukan oleh dua sindiket pekerja-pekerja Shell di Pulau Bukom, "belum pernah berlaku sebelum ini".
Juandi mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas 36 tuduhan berkaitan kesalahan menyeleweng minyak gas marin bernilai S$127.7 juta.
Tuduhan-tuduhan itu termasuk rasuah, melakukan pengubahan wang daripada hasil jenayah dan bersubahat untuk melakukan jenayah pecah amanah sebagai seorang pekerja.
Dia mengaut untung sekurang-kurangnya S$5.6 juta daripada perbuatan jenayahnya itu. Dia menghabiskan sebahagian besar wang tersebut dengan membeli jam tangan serta kenderaan mewah, membeli hartanah di Singapura dan di luar negara termasuk sebuah unit kondominium di Hougang, berurus niaga dalam pertukaran wang asing, berjudi dan melabur.
Pihak pendakwa meminta hukuman penjara hampir 30 tahun manakala peguam Juandi, Noor Marican, sebaliknya memohon bagi hukuman penjara 15 tahun.
Hakim Hoo Sheau Peng menangguh penjatuhan hukuman ke satu tarikh yang belum ditentukan dan membebaskan Juandi dengan ikat jamin S$550,000. Beliau akan mempertimbangkan lagi 49 tuduhan yang dikenakan terhadap Juandi bagi tujuan menjatuhkan hukuman.
Dua lagi bekas pekerja Shell sudah dijatuhi hukuman penjara atas peranan mereka dalam skim tersebut. Mereka ialah Muhammad Ashraf Hamzah, 40 tahun, dan Sadagopan Premnath, 41 tahun.
Sadagopan sudahpun memfailkan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Bagi setiap tuduhan pecah amanah sebagai seorang pekerja, Juandi boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan didenda.
Mereka yang disabit bersalah memberi rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.