Skip to main content

Singapura

Bekas pekerja Shell dijel 29 tahun; dalang sindiket curi minyak gas S$129 juta dari Pulau Bukom

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pekerja Shell dijel 29 tahun; dalang sindiket curi minyak gas S$129 juta dari Pulau Bukom

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 31 Mar 2022 08:44PM Dikemas Kini : 31 Mar 2022 11:12PM

SINGAPURA: Seorang bekas pekerja Shell Eastern Petroleum hari ini (31 Mac) dijatuhi hukuman penjara 29 tahun atas kesalahan penyelewengan terbesar minyak gas marin daripada kilang penapisan Pulau Bukom.

Juandi Pungot, 45 tahun bersama dua rakan sekerjanya didakwa menjadi dalang dalam skim yang bermula pada tahun 2007. Ia membabitkan penyelewengan lebih 300,000 tan minyak gas - iaitu sejenis minyak yang digunakan oleh kapal-kapal - yang bernilai sekurang-kurangnya S$200 juta.

BAGAIMANA SKIM INI BERJALAN

Pendakwa raya sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa pesalah dapat melarikan diri melakukan jenayah selama beberapa dekad menggunakan pelbagai cara.

Ini termasuk menentukan masa pencurian mereka untuk selari dengan pemuatan minyak gas marin yang sah. Mereka juga memperdaya penyelia mereka dengan mengubah orientasi kamera litar tertutup.

Mereka menyelaraskan aktiviti mereka menerusi kumpulan sembang telefon bimbit walaupun mereka tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit semasa waktu kerja.

Juandi dan Abdul Latif Ibrahim, didakwa melaksanakan skim itu pada 2007. Mereka kemudian bersubahat dengan Muzaffar Ali Khan Muhamad Akram, seorang pegawai pemunggah pantai.

Pesalah memulakan skim itu dengan kapal bunker Anic 1 milik Sentek Marine & Trading. Juandi dan Latif didakwa mengubah meter bunker untuk mengelak daripada dikesan.

Antara 2008 dengan pertengahan 2013, mereka meluaskan pencurian itu kepada beberapa kapal bunker yang lain. Mereka juga bersubahat dengan satu lagi rakan sekerja mereka, Ashraf.

Pada masa itu, Juandi menerima kira-kira S$10,000 hingga S$15,000 untuk setiap pemuatan haram.

Pada 2013, Juandi, Muzaffar, Ashraf dan seorang lagi kakitangan menemukan bahawa Latif mengambil setengah daripada keuntungan jenayah sebelum membahagikan selebihnya kepala mereka. Ini menjadi punca kepada perbalahan antara mereka.

Juandi dan Muzaffar menjadi ketua mulai pertengahan 2014, pendakwa raya memberitahu mahkamah.

Pasangan itu dan seorang lagi pegawai pemunggah pantai, Koh Choon Wei didakwa mengarahkan dan mengetuai penyelewengan itu.

Kapal yang membeli minyak gas haram itu kebanyakannya adalah milik syarikat Prime Shipping.

Juandi dan Muzzafar didakwa memberikan rasuah kepada peninjau bebas daripada Intertek Testing Services dan SGS Testing & Control Services Singapore sebanyak S$270,000.

Juandi meletakkan jawatan daripada syarikat Shell pada November 2017 selepas mendapat tahu daripada rakan sekerjanya bahawa laporan polis sudah dibuat mengenai kejadian tersebut.

Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa antara Jun dengan Disember 2017, Juandi menggunakan wang haram yang diraih untuk membeli sebuah kereta Mercedes Benz GLC250 bernilai S$123,000 dan Toyota Harrier bernilai S$140,000.

Juandi, Muzaffar dan Farhan kemudian bekerjasama untuk membuka sebuah restoran halal jepun bernama The 3 Amigoes.

Shell mula memerhati kehilangan minyak gas di Pulau Bukom pada awal 2015. Selepas mendapat tahu kesalahan sindiket berkenaan, Shell mengambil langah untuk meningkatkan taraf sistem dan proses dan sudah menanggung kos kira-kira S$6 juta pada 2020.

Pendakwa raya mengusulkan 29 tahun penjara buat Juandi manakala peguam belanya, Noor Marican mengusulkan penjara 15 tahun.

Untuk setiap tuduhan jenayah pecah amanah sebagai seorang pekerja, Juandi boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan dikenakan denda.

Mereka yang disabit kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita