Skip to main content

Singapura

Bekas pekerja pusat panggilan Singtel di M'sia dihukum penjara kerana jual maklumat pelanggan

Seorang kakitangan sokongan teknikal untuk anak syarikat Singtel di Malaysia memperolehi maklumat bil pelanggan Singtel dan menjualnya, dengan maklumat tersebut akhirnya jatuh ke tangan tailong.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pekerja pusat panggilan Singtel di M'sia dihukum penjara kerana jual maklumat pelanggan

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 27 Aug 2020 09:03AM Dikemas Kini : 27 Aug 2020 09:13AM

SINGAPURA: Seorang kakitangan sokongan teknikal untuk anak syarikat Singtel di Malaysia memperolehi maklumat bil pelanggan Singtel dan menjualnya, dengan maklumat tersebut akhirnya jatuh ke tangan tailong.

Atas jenayah-jenayah yang dilakukannya antara Julai 2017 hingga Julai 2019, Adnan Ahmed Siddiqui, 31 tahun, dihukum penjara selama dua bulan dan 14 minggu pada Rabu (26 Ogos).

Mahkamah diberitahu bahawa Adnan bekerja di Sudong Sdn Bhd, anak syarikat Singtel yang terletak di Pusat Panggilan Klang di Selangor, Malaysia. Pusat panggilan itu menyediakan sokongan teknikal untuk para pelanggan Singtel.

Adnan menyertai syarikat itu sebagai seorang pegawai jagaan pelanggan pada 2014 dan dinaikkan pangkat ke jawatan ketua pasukan setahun kemudian di mana dia menyelia 12 orang pekerja.

Sebahagian daripada tugas Adnan adalah meneliti pertikaian berhubung bil Singtel. Untuk berbuat demikian, dia menggunakan sistem Singtel yang memberikannya akses kepada butiran bil pelanggan Singtel sejak tujuh tahun lalu, termasuk butiran peribadi mereka, produk dan khidmat yang dilanggani dan sejarah bil.

Adnan juga boleh mengakses log panggilan pemegang akaun perniagaan dengan memasukkan nombor akaun bil mereka ke dalam sistem, menurut Timbalan Pendakwa Raya Selene Yap.

"CARA MUDAH BUAT DUIT"

Pada 2017, rakan sekerja Adnan, yang namanya hanya didedahkan sebagai Amy, memberitahunya bahawa ada "cara mudah untuk buat duit" dan mengarahkannya untuk menghantar emel ke satu alamat dan memberitahu penerimanya bahawa dia bekerja untuk Singtel.

Setelah Adnan berbuat demikian, penerima emel tersebut menjawabnya dan mengajukan beberapa pertanyaan, sebelum memberitahu Adnan bahawa dia akan diupah jika dia memberikan salinan bil bagi nombor akaun tertentu.

Adnan bersetuju dan mula menerima kira-kira tujuh emel setiap bulan untuk menyemak lima hingga lapan nombor akaun. Dia diupah RM1,000 (S$327.50) hingga RM1,200 (S$393.00) setiap bulan.

Selama empat bulan sejak Julai 2017, Adnan menjalankan hampir 400 pemeriksaan rekod bil secara haram yang mengandungi log panggilan pelanggan Singtel. Antara akaun yang disasarkan adalah perniagaan pinjaman wang berlesen dan kedai pajak, dengan Adnan melakukan pemeriksaan sedemikian setiap hari.

TARIK RAKAN KERJA LAIN

Adnan kemudian dipindahkan ke Jabatan Meja Bantuan Online dalam syarikat yang sama. Rakan sekerjanya yang juga seorang lagi tertuduh, Mohamed Maher Muhaffel Mustasem, mendapat tahu tentang apa yang dilakukan Adnan dan dia juga mahu melakukan perkara yang sama.

Walaupun setelah Adnan meletak jawatan pada Julai 2018, dia masih membantu Mohamed Maher dengan jenayahnya.

Pemeriksaan Singtel mendapati bahawa nama pengguna Mohamed Maher digunakan untuk melakukan penyaringan tanpa izin antara Disember 2017 hingga Julai 2019.

Antara April 2019 dengan Julai 2019, Mohamed Maher, bersama-sama dengan Adnan, melakukan 273 penyaringan rekod bil tanpa izin.

Pada November 2018, Pasukan Polis Singapura (SPF) menerima maklumat mengenai sekumpulan penjual data yang menjual penyata log panggilan kepada pemiutang haram. Penyata itu termasuk log panggilan yang dibuat daripada talian telefon pejabat dan nombor telefon bimbit pemiutang berlesen.

Siasatan menunjukkan bahawa data tersebut adalah daripada Singtel dan Adnan dan Mohamed Maher dikenal pasti sebagai suspek.

Waran tangkap dikeluarkan terhadap Adnan dan para pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dari ibu pejabat Bukit Aman di Kuala Lumpur memberkas Adnan di lapangan terbang. Mereka kemudian menyerahkannya kepada para pegawai CID Singapura.

Adnan mengaku bersalah atas lapan tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer berhubung akses bahan komputer tanpa izin, dengan 18 tuduhan lain turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Bagi setiap kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Mediacorp sudah menghubungi Singtel untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita