Skip to main content

Singapura

Bekas pekerja pembersihan dipenjara 2 minggu; ludah muka penyelia di stesen MRT

Seorang pekerja pembersihan yang naik berang selepas bergaduh dengan penyelianya, meludah muka wanita itu. Dia bertindak demikian selepas diberitahu akan dipindahkan ke tempat kerja lain. 

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pekerja pembersihan dipenjara 2 minggu; ludah muka penyelia di stesen MRT

Gambar fail: Calvin Oh

Diterbitkan : 02 Dec 2021 06:11PM Dikemas Kini : 02 Dec 2021 06:15PM

SINGAPURA: Seorang pekerja pembersihan yang naik berang selepas bergaduh dengan penyelianya, meludah muka wanita itu. Dia bertindak demikian selepas diberitahu akan dipindahkan ke tempat kerja lain.

Kang Poh Kim, 70 tahun, dijatuhkan hukuman penjara dua minggu pada Khamis (2 Dis) atas satu tuduhan kekerasan jenayah kerana meludah penyelianya, seorang wanita berumur 50 tahun.

Kang bercakap secara langsung dengan hakim semasa perbicaraan kesnya. Dia merayu agar hukumannya diringankan kerana dia "orang tua". Lelaki itu juga bertanya mengapa hakim "membangkitkan perkara lalu" apabila senarai kesalahan silamnya dibacakan.

Kang pada mulanya dituduh meludah mangsa sebanyak tiga kali tetapi dia berkeras hanya melakukan sekali sahaja. Tuduhan dan kenyataan fakta dipinda untuk menunjukkan bahawa Kang meludah mangsa, tanpa menyebut sebanyak berapa kali.

Mahkamah diberitahu Kang adalah pekerja pembersihan yang dikerahkan ke Stesen MRT Tuas Link.

Pada pagi 30 Julai 2020, penyelia Kang mengarahnya membersihkan kawasan ruang legar MRT termasuk gantri kereta api dan mesin tokokan tambang.

Kang enggan mematuhi arahan penyelianya itu dan meninggikan suara terhadap wanita berkenaan, kata pendakwa raya.

Mangsa tidak mengendahkan Kang dan terus membersihkan kawasan yang sepatutnya dilakukan Kang sebelum memaklumkan kepada pihak pengurusan syarikat pembersihan mereka tentang tingkah laku lelaki itu.

Mahkamah diberitahu ini bukan kali pertama Kang enggan mematuhi arahan penyelianya.

Lewat hari itu, penyelia kawasan bagi firma pembersihan mereka turun ke stesen MRT berkenaan. Beliau memberitahu Kang dia akan dipindahkan ke tempat kerja lain dan mengiringi Kang ke bilik penyimpanan untuk menukar seragamnya.

Kang kemudian bersemuka dengan mangsa yang ketika itu sedang menjalankan tugasan pembersihannya. Kang meludah wanita berkenaan, dengan air liurnya tempias ke pipi mangsa. Penyelia kawasan tersebut ternampak tindakan Kang dan dengan segera campur tangan.

Apabila ditanya di mahkamah jika dia mengaku dengan fakta-fakta ini, Kang mendakwa penyelia kawasan itu mahu menumbuknya dan mangsa tidak pernah memberinya arahan tentang bagaimana untuk menjalankan tugas.

Kang mendakwa seorang lagi pekerja sepatutnya membersihkan kawasan landasan MRT tetapi individu itu tidak ada di sana pada hari insiden berlaku.

Dalam mengemukakan rayuan, Kang bertanya hakim jika hukuman ke atasnya boleh dikurangkan.

Pada awal perbicaraan, Kang berkata dia "orang tua" dan hakim membalas "anda masih lebih muda daripada saya".

"Saya bersedia, saya bersedia," kata Kang. "Tetapi banyak perkara dalam undang-undang tidak betul."

"Encik Kang, saya tidak menggubal undang-undang," jawab hakim itu.

"Manusia lah tuan, manusia. Kadang-kadang tidak boleh (kawal). Saya beritahu diri sendiri tetapi tidak boleh," kata Kang.

Selepas Hakim menjatuhkan hukuman penjara dua minggu, Kang berkata dua minggu adalah "terlalu lama".

Bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah, Kang boleh dipenjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita