Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pekerja binaan ini buka gerai jual hidangan Bangladesh di Eunos

Meskipun mudah untuk mencari makanan India yang asli di Singapura - sama ada anda lebih menggemari hidangan makanan India Utara yang berasaskan yogurt mahupun masakan orang India Selatan, hidangan makanan Bangladesh bagaimanapun lebih sukar untuk dicari.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pekerja binaan ini buka gerai jual hidangan Bangladesh di Eunos
Diterbitkan : 02 Jul 2021 08:28PM Dikemas Kini : 02 Jul 2021 08:39PM

SINGAPURA: Meskipun mudah untuk mencari makanan India yang asli di Singapura - sama ada anda lebih menggemari hidangan makanan India Utara yang berasaskan yogurt mahupun masakan orang India Selatan, hidangan makanan Bangladesh bagaimanapun lebih sukar untuk dicari.

Negara itu terletak di bahagian timur benua tersebut, dan memang terkenal dengan hidangan yang pedas - dengan tumpuan kepada makanan laut disebabkan oleh jarak negara itu dengan laut dan sungai di sekitar negara itu.

Bangla Lim, sebuah gerai makanan yang dibuka pada 18 Jun di sebuah kantin kawasan perindustrian di Eunos, berharap dapat memenuhi permintaan itu.

Ia diterajui oleh rakyat tempatan, Lim Boon Kian, 44 tahun, seorang penggemar makanan yang mengendalikan perniagaan semikonduktor dan tukang masak warga Bangladesh berusia 31 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai Yousuf.

Yousuf pernah bekerja sebagai seorang pekerja binaan di sebuah syarikat perancah. Kedua-dua lelaki itu mengendalikan gerai itu setiap hari walaupun kesemua hidangan dimasak oleh Yousuf.

Seperti ramai peniaga lain, perniagaan Encik Lim terjejas teruk disebabkan oleh sekatan perjalanan angkara pandemik COVID-19.

"Sebelum ini saya selalu berulang-alik ke China dan Thailand untuk menguruskan perniagaan," katanya. "Selepas (COVID-19), saya tidak mempunyai sebarang perniagaan langsung."

Beliau akhirnya mendapatkan pekerjaan pada April lalu sebagai pekerja sambilan bersama dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) selama beberapa bulan, di mana beliau membantu menguruskan keperluan harian para pekerja hijrahan di tengah-tengah peningkatan pada jumlah kes COVID-19 yang menular di dormitori mereka.

Salah satu tanggungjawab utamanya memerlukan beliau untuk memantau para penghuni dormitori sedang mereka mengambil makanan daripada syarikat katering, di mana Encik Lim juga mula belajar tentang "perbezaan antara makanan Bangladesh dan India."

"Makanan India lebih mudah didapatkan di sini, jadi para pekerja Bangladesh akhirnya kerap makan makanan yang sama," katanya.

Apabila situasi bertambah baik "pada sekitar Ogos", Encik Lim menghadiri satu acara syarikat binaan milik temannya di mana Yousuf secara kebetulan sedang menyediakan hidangan.

"Ia benar-benar mendedahkan saya kepada hidangan Bangladesh. Saya bercakap kepada Yousuf untuk meninjau-ninjau bagaimana ia boleh dijadikan sebagai satu peluang perniagaan," katanya. Lim kini bekerja sebagai seorang pengarah di syarikat binaan kawannya, dan gerai Bangla Lim dimiliki oleh syarikat tersebut. Mereka memohon supaya permit kerja Yousuf ditukar menjadi Pas S supaya beliau boleh bekerja sebagai seorang tukang masak.

TERPERUK DALAM DORMITORI SELAMA 4 BULAN

Yousuf meninggalkan kampung halamannya di Cumilla, Bangladesh 14 tahun lalu dan bekerja di Singapura sejak itu. "Saya belajar memasak setelah enam bulan berada di Singapura - saya melihat (video-video resepi makanan) di YouTube lalu mencubanya," katanya. "Majikan saya (teman Encik Lim) mencuba masakan saya dan beliau menyukainya. Perlahan-lahan, beliau meminta saya memasak bagi acara-acara keramaian, majlis-majlis syarikat, seperti itu."

Walaupun beliau tidak dibenarkan meninggalkan dormitori - beliau menetap dalam dormitori lebih kecil yang dikongsi bersama dengan 30 individu dan diubah daripada sebuah bangunan perindustrian - selama kira-kira "empat bulan", Yousuf tidak begitu bimbang dijangkiti virus tersebut kerana tiada seorang pun daripada dormitorinya dijangkiti COVID-19. Makanan dihantar setiap hari melalui khidmat katering oleh syarikatnya - memasak di dapur awam tidak dibenarkan ketika itu.

Namun keluhan utamanya adalah rasa bosan kerana terperuk dalam dormitori. "Kesemua kawan saya daripada syarikat yang sama, kami tinggal di dormitori yang sama. Namun sangat membosankan, setiap hari menonton video di telefon bimbit," katanya. Untuk mengubati rasa rindu pada keluarga, beliau menelefon ibunya "setiap malam". Yousuf juga tidak pulang selama lima tahun - beliau sepatutnya pulang tahun lalu untuk berkahwin (melalui perkahwinan yang diatur), namun beliau menangguhkan perkahwinannya kerana pandemik.

Tidak lama kemudian, kerja-kerja disambung semula dan penggunaan kemudahan awam seperti dapur dibenarkan sekali lagi. "Saya sentiasa mempunyai impian untuk memasak dan menjual hidangan Bangladesh. Satu-satunya hobi saya adalah untuk memasak, ia kini menjadi pekerjaan saya," kongsinya. "Apabila para pelanggan mengatakan bahawa (makanan) saya sedap, saya berasa gembira."

Nama gerai itu, Bangla Lim (dan wajah Encik Lim) terpapar di mana-mana. "Kami mahu sesuatu dengan nama Yousuf, namun beliau menolaknya. Katanya, "anda adalah bos", ia seharusnya anda. Saya rasa ia adalah ciri-ciri kebudayaan (tentang tidak mahu menerima pengiktirafan)," katanya. "Akhirnya kami memutuskan untuk guna nama Bangla Lim. Ia mudah untuk diingat."

Gerai itu juga ingin menawarkan hidangan Bangladesh yang lebih menyelerakan daripada hidangan harian. "Hidangan (pekerja hijrahan) selalu mempunyai banyak nasi dan kari, dan sedikit daging dan kari. Ia selalunya okay apabila ia baru siap dihidangkan. Masalahnya adalah mereka (mengambil) hidangan sarapan dan makanan tengah hari pada waktu yang sama. Jadi apabila mereka makan pada waktu tengah hari, sayur-sayurannya sudah tidak enak," kata Encik Lim.

Menurutnya lagi, "kami mahu menawarkan sesuatu hidangan yang asli, namun dimampui untuk mereka makan pada hujung minggu," katanya.

Makanan di gerai Bangla Lim dijual pada harga kira-kira S$7 hingga S$9 bagi satu set, namun ia dijual pada harga tetap S$5 untuk para pekerja hijrahan.

"Ia hanya sesuatu yang kami berharap akan mengukir senyuman pada wajah mereka," kata Encik Lim.

Beliau juga berharap rakyat Singapura akan melanggani gerai mereka untuk mencuba makanan yang dijual.

"Kami berharap dapat memperkenalkannya kepada sesiapa sahaja (bukan hanya warga Bangladesh). Lambat laun, lebih ramai orang akan terbiasa dengan makanan ini," katanya.

Gerai Bangla Lim kini dalam proses untuk mendapatkan sijil Halal.

Bangla Lim terletak di #01-151 Thye Hwa Heng Canteen, 29 Eunos Ave 6, S409619. Telefon: 8800 0370. Dibuka setiap hari dari pukul 10.00 pagi hingga 8.00 malam.

Tempahan makanan juga boleh dibuat melalui Grabfood dan Foodpanda. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan