Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pekerja binaan didakwa biaya pengganasan guna wadah kumpul dana online

Ahmed Faysal didakwa hulur wang bagi kempen seperti "Rumah Kecemasan Ramadan 2020 untuk Syria" dan "Bantuan Perubatan Syria" meskipun tahu dana tersebut boleh dimanfaatkan kumpulan pengganas.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pekerja binaan didakwa biaya pengganasan guna wadah kumpul dana online

Gambar warga Bangladesh, Ahmad Faysal. (Gambar: MHA)

SINGAPURA: Seorang bekas pekerja binaan berusia 27 tahun didakwa hari ini (23 Dis) kerana membiayai pengganasan dengan memindahkan sekitar S$900 kepada pertubuhan-pertubuhan yang berpangkalan di Syria.

Dia dipercayai mengetahui bahawa wang itu boleh digunakan untuk dimanfaatkan oleh kumpulan militan yang mahu menubuhkan khilafah Islam di Syria.

Ahmed Faysal, warga Bangladesh, didakwa membuat pindahan wang melalui beberapa wadah dalam talian, seperti JustGiving, kepada kempen mengumpul dana untuk badan-badan yang berpangkalan di Syria. Dia dikatakan tahu wang itu akan memberi manfaat kepada kumpulan Hay’at Tahrir al-Sham, berdasarkan dokumen-dokumen mahkamah.

Ahmed berdepan 15 dakwaan di bawah Akta (Sekatan Pembiayaan) Pengganasan Singapura.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan bahawa Ahmed sebelum ini ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi kegiatan berkaitan keganasan dan dikenakan perintah tahanan (DO).

Sebelum itu, dia bekerja dalam sektor binaan di sini sejak awal 2017.

Dia menjadi radikal pada 2018 dan tertarik dengan matlamat kumpulan pengganas ISIS untuk menubuhkan khilafah Islam di Syria, menurut MHA.

Pada pertengahan tahun 2019, dia berpaling tadah dan mengikrarkan taat setia kepada Hay’at Tahrir al-Sham.

Siasatan serentak oleh jabatan ehwal komersial polis Singapura mendapati antara Februari dengan Ogos tahun lalu, dia didakwa memindahkan sehingga S$891 pada 15 kesempatan, dengan nilainya antara S$5 hingga S$303 setiap kali.

Dokumen-dokumen mahkamah menunjukkan bahawa dia didakwa menggunakan wadah online JustGiving, Heroic Hearts Organisation dan GiveBrite untuk memindahkan wang bagi kempen seperti "Rumah Kecemasan Ramadan 2020 untuk Syria" dan "Bantuan Perubatan Syria".

MHA menyatakan bahawa Ahmed sedar wang itu boleh, sama ada kesemuanya atau sebahagiannya, digunakan untuk memberi manfaat kepada Hay’at Tahrir al-Sham di Syria.

Jika sabit kesalahan dan dipenjarakan, perintah tahanan terhadap Ahmed akan dibatalkan dan dia akan menjalani hukuman mahkamah yang dikenakan. Dia juga akan ditahan secara berasingan daripada banduan lain untuk menghalangnya daripada menyebarkan idea radikal, tambah MHA.

Mereka yang disabitkan kesalahan menawarkan harta dan perkhidmatan untuk tujuan pengganas boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga S$500,000, atau kedua-duanya.

MHA menyatakan bahawa mereka yang ingin menderma bagi tujuan kemanusiaan boleh menyemak Portal Amal bagi memastikan bahawa sumbangan mereka digunakan untuk tujuan amal yang sah.

"Pengganasan dan pembiayaan pengganasan adalah ancaman besar kepada keselamatan dalam dan luar negara, dan tindakan sejagat diperlukan untuk menyekat pembiayaan dan bahan bagi kumpulan-kumpulan pengganas," tambah kementerian itu.

"Singapura adalah sebahagian daripada usaha sejagat ini dan sangat komited untuk memerangi pembiayaan keganasan, tidak kira sama ada wang itu digunakan untuk memudahkan tindakan pengganas di dalam atau di luar negara."

Pada September, seorang lelaki warga Singapura berusia 50 tahun yang memberikan S$1,000 kepada militan ISIS untuk memudahkan tindakan pengganas di Syria dipenjara selama tiga tahun 10 bulan.
 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan