Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pekerja bank BNI dipenjara 4 tahun; gelapkan S$628,000 setelah jadi mangsa skim penipuan

Dek tertekan tidak dapat melunaskan hutang tertunggak, seorang pekerja bank menghubungi peminjam wang yang dianggapnya tulen namun ternyata menjadi mangsa skim penipuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pekerja bank BNI dipenjara 4 tahun; gelapkan S$628,000 setelah jadi mangsa skim penipuan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 05 Jan 2022 10:15PM Dikemas Kini : 06 Jan 2022 11:12AM

SINGAPURA: Dek tertekan tidak dapat melunaskan hutang tertunggak, seorang pekerja bank menghubungi peminjam wang yang dianggapnya tulen namun ternyata menjadi mangsa skim penipuan.

Nurashikeen Sinin meminta pinjaman sebanyak S$25,000 namun peminjam wang itu kerap meminta bayaran beratus-ratus ribu dolar sebagai yuran "pentadbiran" dan "duit cagaran", di mana wanita itu diberitahu akan dikembalikan bersama wang pinjamannya.

Dalam keadaan terdesak, penyelia bank itu menyalahgunakan S$628,000 dari syarikatnya, Bank Negara Indonesia (BNI) untuk membayar penipu itu.

Pada Rabu (5 Jan), Nurashikeen yang kini berusia 38 tahun, dihukum penjara empat tahun selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan pecah amanah.

Satu lagi tuduhan kerana memalsukan dokumen diambil kira dalam menentukan hukuman.

PENIPUAN YANG DILAKUKAN

Mahkamah diberitahu bahawa Nurashikeen bekerja di cawangan BNI di City Plaza di Geylang, yang menawarkan khidmat pemindahan wang ke Indonesia kepada pelanggan.

Sebagai seorang penyelia, juruwang bank akan menyerahkan wang tunai kepadanya dan Nurashikeen diamanahkan untuk menyimpan wang itu di dalam peti besi bank setiap hari.

Nurashikeen yang sudah bekerja bersama syarikat itu sejak 2001, juga diberikan budi bicara untuk meindahkan lebihan wang tunai ke cawangan utama BNI.

Pada ketika itu, Nurashikeen menanggung hutang lebih S$83,000 yang tidak dapat dibayarnya tepat pada waktu. Hutang itu termasuk kad kredit bank, pinjaman wang dari pemiutang wang berlesen dan pinjaman wang daripada syarikatnya.

Untuk meringan masalah kewangannya, dia mencari khidmat pemiutang wang secara online dan menemui laman abicredit.com - iaitu sebuah laman skim penipuan yang menyamar sebagai syarikat pemiutang wang berdaftar, ABI Credit, yang mengendalikan laman abicredit.sg.

Secara keseluruhan, Nurashikeen memindahkan S$735,000 kepada penipu di mana sekurang-kurangnya S$628,000 diambil dari BNI melalui sekurang-kurangnya 60 deposit tunai.

Sekurang-kurang S$97,750 adalah duitnya sendiri dan asal usul baki S$9,250 tidak diketahui, menurut dokumen mahkamah.

DPP Samynathan berkata pihak berkuasa tidak berupaya mendapatkan semula S$628,000 kerana kesemua wang itu sudah dipindahkan sebaik sahaja akaun bank yang digunakan oleh penipu dibeku.

Pihak pendakwa menambah Nurashikeen tidak dapat membuat pembayaran balik kepada BNI kerana dia seorang muflis.

Atas kesalahan pecah amanah jenayah, dia boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan didenda.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan sama ada dalang di sebalik skim penipuan pinjaman wang itu sudah diberkas.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan