Skip to main content

Singapura

Bekas peguam M Ravi meninggal dunia pada usia 56 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Dec 2025 12:39PM Dikemas Kini : 03 Jan 2026 08:22PM
SINGAPURA: Bekas peguam M Ravi, yang terkenal kerana menangani kes-kes hak asasi manusia dan kerja pro bononya, meninggal dunia pada usia 56 tahun.

Rakan-rakan Encik Ravi mengesahkan berita mengenai pemergiannya kepada Mediacorp pada Rabu (24 Dis). Punca kematiannya tidak didedahkan.

Encik Ravi, yang nama penuhnya ialah Ravi Madasamy, dilahirkan pada 1969 dan menjadi peguam selama lebih 25 tahun.

Beliau terkenal kerana mewakili banduan yang dijatuhi hukuman mati dan juga pernah menarik perhatian ramai atas tingkah lakunya. Beliau juga merupakan penyokong masyarakat LGBTQ dan menyokong pemansuhan hukuman mati.

Peguam Eugene Thuraisingam, yang pernah berkhidmat sebagai peguam Encik Ravi, berkata bahawa beliau "adalah seseorang yang berani memperjuangkan di mahkamah untuk apa yang dipercayainya".

"Beliau berdedikasi kepada kerja pro bononya dan sangat mengambil berat tentang anak-anak guamannya," tambah Encik Thuraisingam.

"Beliau adalah seorang rakan dan akan sangat dirindui oleh semua dalam masyarakat guaman."

Menurut Encyclopedia of Singapore Tamils, sebuah sumber online, Encik Ravi adalah graduan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Cardiff dan menjadi peguam pada 1996.

Beliau menubuhkan firma guamannya sendiri, M Ravi Law, pada tahun 2019.

Pada tahun 2023, beliau diiktiraf atas kerjanya yang memperjuangkan hak asasi manusia oleh Persatuan Guaman Antarabangsa, menerima "Anugerah bagi Sumbangan Cemerlang oleh Pengamal Undang-Undang terhadap Hak Asasi Manusia".

Pertubuhan tersebut memuji Encik Ravi atas "dedikasi luar biasa beliau dalam mempertahankan hak asasi manusia dan memperjuangkan dekriminalisasi homoseksualiti dan pemansuhan hukuman mati di Republik Singapura".

Encik Ravi pernah beberapa kali berdepan dengan undang-undang, didenda atas tingkah lakunya pada 2004 dan dikenakan perintah rawatan wajib untuk menangani gangguan bipolarnya pada 2018, sebelum beliau dijatuhi hukuman penjara selama 14 minggu atas beberapa kesalahan pada 2024.

Beliau digantung daripada mengamalkan undang-undang selama lima tahun pada 2023 kerana membuat "tuduhan serius dan tidak berasas tentang salah laku" terhadap Peguam Negara, pegawai-pegawai dari Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Persatuan Guaman (LawSoc).

Encik Ravi pernah menjadi calon politik semasa bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2015 sebagai sebahagian daripada pasukan Party Reform yang bertanding di GRC Ang Mo Kio.

Beliau juga seorang penulis, menerbitkan autobiografi, Kampong Boy, pada tahun 2013. Buku tersebut disenarai pendek untuk Hadiah Kesusasteraan Singapura pada tahun berikutnya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita