Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas peguam Keppel 'bekerjasama' dengan AS dalam siasatan rasuah

Seorang bekas peguam di syarikat perusahaan pelantar minyak, Keppel Corporation, dengan senyap-senyap mengaku bersalah dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas peguam Keppel 'bekerjasama' dengan AS dalam siasatan rasuah

(Gambar fail: Reuters).

Diterbitkan : 28 Dec 2017 12:13PM Dikemas Kini : 28 Dec 2017 12:18PM

SINGAPURA: Seorang bekas peguam di syarikat perusahaan pelantar minyak, Keppel Corporation, dengan senyap-senyap mengaku bersalah dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat sebelum syarikat Singapura itu bersetuju untuk membayar AS$422 juta (S$565 juta) selepas didakwa menyogok para pegawai Brazil. Demikian didedahkan dalam dokumen-dokumen mahkamah.

Jeffery Chow, bekas anggota kanan Keppel Offshore and Marine (Keppel O&M) di jabatan guaman, membuat perjanjian untuk membantu para pendakwa dalam siasatan mereka terhadap Keppel dan bekas eksekutif lain, menurut dokumen-dokumen yang dibentangkan kelmarin (26 Dis) di mahkamah persekutuan di Brooklyn.

Chow, 59 tahun, mengaku bersalah pada 29 Ogos kerana berpakat untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing sebagai sebahagian daripada perjanjiannya untuk bekerjasama. Dia mengaku melakar draf kontrak yang digunakan untuk membuat bayaran wang sogok, menurut rekod mahkamah.

"Saya benar-benar meminta maaf atas perbuatan saya," kata Chow sewaktu perbicaraan rayuan, menurut satu transkrip. Hukuman akan dijatuhkan ke atas Chow pada 2 Mei.

Rekod mahkamah menunjukkan bahawa Chow, seorang rakyat Amerika Syarikat, mempunyai rumah di Singapura dan bekerja di Keppel selama lebih 25 tahun. Peguam yang mewakilinya di Amerika belum lagi memberi sebarang komen.

Kes Chow diketahui umum selepas Jabatan Keadilan Amerika Syarikat mengumumkan pada Jumaat lalu (22 Dis) bahawa Keppel Offshore & Marine bersetuju untuk membayar S$422 juta untuk menyelesaikan satu siasatan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, Brazil dan Singapura.

Kes ini tertumpu kepada syarikat minyak negara Brazil, Petrobas, yang juga dikenali sebagai Petroleo Brasileiro SA, di tengah-tengah siasatan rasuah secara besar-besaran yang membabitkan puluhan ahli politik Brazil.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menyatakan bahawa dari 2001 hingga 2014, Keppel membayar wang sogok bernilai $55 juta kepada para pegawai di Petrobas dan parti berkuasa pada saat itu, Parti Pekerja Brazil.

Rasuah dibayar untuk memenangi 13 kontrak dengan Petrobras dan Sete Brasil Participacoes SA, sebuah syarikat Brazil yang diamanahkan untuk menyediakan khidmat pelantar minyak bagi kegunaan Petrobas.

Dalam transkrip rayuaanya pada 29 Ogos, Chow mengatakan bahawa dia melakar draf kontrak dengan ejen Keppel di Brazil. Dia menyedari ejen tersebut sudah dibayar secara berlebihan sebanyak jutaan dolar supaya dia boleh menyogok para pegawai Brazil.

"Saya seharusnya menolak untuk membuat draf kontrak yang digunakan untuk pembayaran rasuah dan saya seharusnya meletakkan jawatan di Keppel," kata Chow.

Keseluruhannya, Keppel Offshore & Marine meraih $351.8 juta melalui skim rasuah itu, menurut dokumen mahkamah.

Dalam perjanjiannya dengan Jabatan Keadilan, Keppel Offshore & Marine disertakan dalam pendakwaan tertunda sementara anak syarikatnya di Amerika Syarikat mengaku bersalah kerana berkomplot untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan