Skip to main content

Singapura

Bekas peguam didakwa kerana wakili anak guam meski digugurkan dari senarai peguam

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas peguam didakwa kerana wakili anak guam meski digugurkan dari senarai peguam
Paul Yong Wei Kuen tiba di Mahkamah pada 26 Disember 2025. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)
Diterbitkan : 26 Dec 2025 02:11PM Dikemas Kini : 26 Dec 2025 02:49PM
SINGAPURA: Seorang bekas peguam didakwa pada Jumaat (26 Dis) kerana bertindak sebagai peguam bela dan peguam cara untuk pelbagai pelanggan tanpa diluluskan.

Paul Yong Wei Kuen, 58 tahun, didakwa dengan lapan tuduhan di bawah Akta Kerjaya Guaman, berkaitan dengan empat individu yang dipercayai bertindak untuk mereka antara April dan Julai 2018.

Dia dituduh memfailkan permohonan mahkamah dan menandatangani dokumen-dokumen yang kemudiannya dikemukakan kepada mahkamah. Ini termasuk permohonan untuk melepaskan bidang kuasa dan permintaan untuk tarikh persidangan pra-perbicaraan, serta dokumen seperti surat perwakilan dan kes-kes untuk pihak pembelaan.

Bagi seorang individu, bernama Zu Kuimu dalam kertas pertuduhan, Yong dipercayai bertindak sebagai peguam sebanyak lima kali.

Dokumen-dokumen itu pula tidak menyatakan mengapa Yong tidak diluluskan ketika itu.

Yong tidak diwakili peguam di mahkamah. Pihak pendakwa memohon penangguhan sementara menunggu siasatan terhadap tuduhan-tuduhan tambahan dan arahan lain.

Yong merupakan rakan kongsi pengurusan Thames Law sebelum dia digugurkan daripada senarai peguam pada 1 April 2020. Tidak jelas sama ada namanya sudah dimasukkan semula sejak itu. Namanya bagaimanapun tidak tersenari dalam direktori peguam dan firma guaman Kementerian Undang-Undang (MinLAW).

Mahkamah tiga hakim, badan disiplin tertinggi bagi kerja guaman, telah melucutkan Yong pada 1 April 2020 menyusuli perbicaraan yang timbul daripada tuduhan-tuduhan yang dikemukakan terhadapnya oleh tribunal disiplin. Para hakim menetapkan keputusan mereka dalam penghakiman yang dikeluarkan pada hari itu.

Tuduhan-tuduhan tersebut berpunca daripada dua aduan berasingan.

Salah satunya melibatkan skim pinjaman wang haram di mana Yong mendekati bekas pelanggan untuk membuat pendahuluan tunai kepada rakannya kononnya bagi peluang pelaburan. Rakan itu kemudian didapati adalah seorang muflis yang belum dilepaskan, dan beberapa dana tidak dapat dipertanggungjawabkan, dengan "kesimpulan yang tidak dapat dielakkan" bahawa Yong telah menggelapkan hampir S$20,000 untuk dirinya sendiri, menurut para hakim.

"Dengan amalan tidak jujur terang-terangan ini, gambaran yang tidak dapat disangkal ialah responden tidak layak untuk terus menjadi anggota kerjaya guaman," kata para hakim.

Aduan kedua melibatkan firma klien yang mendepositkan dana secara tidak wajar ke dalam akaun pejabat dan bukannya akaun klien. Yong juga gagal memberikan draf afidavit walaupun telah diminta beberapa kali, dan kemudian gagal memulangkan dana tersebut.

Yong tidak hadir di hadapan tribunal disiplin tetapi memberitahu Mahkamah Tiga Hakim bahawa dia "jahil dengan semua yang telah berlaku di hadapan tribunal disiplin", menurut penghakiman itu.

Dia memohon penangguhan untuk mendapatkan nasihat guaman dan perwakilan undang-undang, tetapi permintaan itu ditolak oleh Mahkamah Tiga Hakim kerana "dibuat secara tidak jujur".

Kes Yong di Mahkamah Negara akan didengar semula pada 23 Januari.

Jika sabit kesalahan bertindak sebagai peguam bela atau peguam cara tanpa dibenarkan untuk berbuat demikian, pesalah kali pertama menghadapi denda sehingga S$25,000, hukuman penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita