Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pegawai polis ini manfaatkan pengalamannya semai nilai positif dalam murid selaku guru disiplin

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pegawai polis ini manfaatkan pengalamannya semai nilai positif dalam murid selaku guru disiplin

(Gambar: CNA/Hanidah Amin)

Diterbitkan : 19 Feb 2023 04:47PM Dikemas Kini : 19 Feb 2023 04:48PM
SINGAPURA: Sebaik saja bas-bas sekolah tiba di Sekolah Rendah Yuhua seawal pukul 6.30 pagi, beliau sudah mula dikelilingi oleh sekumpulan murid sekolah tersebut. Encik Musa Abdul Kadir akan cuba sedaya upaya melayan kerenah para murid yang ghairah berbual antara satu sama lain.

Meskipun perbualan sedemikian hanya berlarutan selama beberapa minit saja, guru berusia 51 tahun itu percaya bahawa ia akan meninggalkan kesan jangka panjang dalam usaha memupuk nilai-nilai positif dalam kanak-kanak.

"Untuk mendisiplin adalah untuk memberi perhatian dan lantaran itu, saya akan berusaha sedaya upaya untuk meluangkan masa dengan murid-murid bagi menunjukkan kepada mereka bahawa mereka dihargai dan diterima di sekolah," menurut Encik Musa, yang juga adalah Ketua Jabatan (HOD) yang menyelia pengurusan murid, disiplin dan kepimpinan murid.

Beliau turut memberitahu Mediacorp bahawa beliau sentiasa berusaha untuk membina hubungan dengan para murid yang memerlukan lebih banyak perhatian, seperti mereka yang menunjukkan tingkah laku negatif di sekolah.

"Kami akan menumpukan lebih usaha kepada kumpulan-kumpulan murid tertentu supaya jika berlaku sesuatu, kami sudahpun mempunyai hubungan yang terjalin dengan kanak-kanak itu dan mereka tahu bahawa kami akan mengenakan hukuman ke atas mereka kerana kami prihatin dan menyayangi mereka," kata Encik Musa.

Bekas pegawai polis itu memutuskan untuk menggantung uniform polis sejak hampir dua dekad yang lalu untuk menceburi kerjaya dalam bidang pendidikan.

Sungguhpun demikian, pengalaman yang ditimba daripada tugasnya sebagai seorang pegawai polis masih relevan dalam pekerjaannya sekarang.

"Mendengar dan berkomunikasi dengan orang lain, menyiasat sesuatu dan meneliti sesuatu dengan rapi adalah kemahiran-kemahiran yang ditimba daripada pengalaman saya dalam pasukan polis," jelas beliau selanjutnya.

Beliau menambah, jika para pendidik bersikap sabar, sanggup mendengar luahan kanak-kanak dan memberi mereka ruang untuk meluahkan perasaan, para pendidik mungkin dapat memahami murid-murid mereka dengan lebih baik.
(Gambar: CNA/Hanidah Amin)
KENAKAN HUKUMAN ATAU TIDAK

Bagi kes-kes di mana kesalahan serius dilakukan, pihak sekolah mungkin akan menimbangkan hukuman rotan sebagai hukuman yang wajar, jelas Encik Musa.

Hukuman rotan, sebagai satu bentuk hukuman di sekolah, dibenarkan di bawah Peraturan Pendidikan (Sekolah).

Sungguhpun demikian, peraturan semasa menetapkan hukuman sedemikian tidak boleh dikenakan ke atas para murid perempuan.

Bagi murid-murid lelaki, peraturan itu menetapkan hukuman tersebut hanya boleh "dilakukan dengan rotan ringan pada telapak tangan atau di bahagian punggung atas pakaian".

Encik Musa turut berkongsi bahawa beliau sudah merotan "sejumlah murid" tetapi tidak memberikan butiran mengenai kesalahan-kesalahan yang dilakukan.

Menurut Encik Musa, hukuman itu hanya akan dijalankan selepas berbincang dan berunding dengan para pemimpin sekolah dan guru murid tersebut.

Encik Musa menjelaskan bahawa hukuman sedemikian dijalankan hanya apabila ia dianggap wajar dan munasabah.

Hukuman sebat bukanlah satu huraian yang muktamad kerana para kakitangan sekolah perlu memastikan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa diberi perhatian dan itu penting, menurut Encik Musa.

Ia dianggap sebagai sebahagian daripada proses mendidik kanak-kanak untuk membuat keputusan yang lebih baik dan berhemah.

CABARAN MENDISIPLINKAN MURID

Dengan kanak-kanak mempunyai akses yang lebih luas kepada media sosial hari ini, Encik Musa sudah mula meneroka cara-cara lain untuk menggalas tugasnya.

Bagi menanganinya, sekolah tersebut mendidik para murid tentang penggunaan platform digital yang betul dan cuba melengkapi mereka dengan kemahiran-kemahiran seperti bagaimana untuk mengenal pasti tanda-tanda buli siber. Ia biasanya dilakukan menerusi kukurikulum rasmi dan ketika acara perhimpunan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan