Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pegawai Penjara Changi dijel; bocorkan maklumat sulit kepada banduan

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pegawai Penjara Changi dijel; bocorkan maklumat sulit kepada banduan

Penjara Changi. (Gambar fail: Jabatan Penjara Singapura)

SINGAPURA: Seorang bekas pegawai di Penjara Changi pada Rabu (24 Ogos) dikenakan hukuman penjara selama 10 minggu kerana mengakses maklumat sulit secara haram dan membocorkannya. 

Muhammad Fattahullah Mohd Nordin mengaku bersalah atas dua tuduhan mengakses sistem komputer Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) tanpa kebenaran untuk mendapatkan maklumat sulit berhubung lokasi banduan dan menyerahkan maklumat itu kepada seorang banduan. 

Banduan berkenaan, Abdul Karim Mohamed Kuppai Khan, dipercayai adalah seorang ketua kumpulan samseng, menurut dokumen mahkamah. 

Pada November 2020, SPS mula melakukan siasatan setelah beberapa barangan dan nota mengandungi maklumat sulit ditemui dalam sel seorang banduan semasa pemeriksaan rutin. 

Siasatan mendapati dua bekas pegawai penjara dipercayai mengakses dan menyerahkan maklumat sulit kepada banduan tersebut secara berasingan. 

Menurut dokumen mahkamah, Abdul Karim meminta maklumat mengenai banduan-banduan lain, termasuk lokasi mereka sekurang-kurangnya lima kali dari Fattahullah antara Januari dengan Jun 2020. 

Fattahullah mengaku telah menyerahkan maklumat dengan harapan Abdul Karim, yang diketahui sebagai pengganggu, tidak akan menimbulkan masalah kepadanya semasa syif malamnya.

SPS merujuk kes tersebut kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan menggantung tugas dua pegawai penjara itu. Mereka kemudian meletak jawatan. 

"Semua pekerja SPS menjalani latihan mengenai cara pengurusan maklumat sulit yang diterima," menurut SPS.

"Makluman juga kerap disebarkan kepada pekerja SPS untuk menekankan betapa pentingnya melindungi maklumat sulit, dan berkelakuan profesional pada setiap masa apabila berinteraksi dengan banduan." 

Akibat pelanggaran peraturan ini juga dinyatakan dengan jelas kepada para kakitangan, menurut SPS, sambil menambah bahawa ia memandang serius terhadap sebarang akses haram dan pembocoran maklumat sulit. 

"Kakitangan SPS yang didapati berbuat demikian akan ditangani tegas mengikut undang-undang, seperti didakwa di mahkamah, seperti mana yang dilakukan untuk kes ini," menurut SPS. 

Perbicaraan mahkamah bagi seorang lagi bekas pegawai penjara, Muhammad Zul Helmy Abdul Latip, yang didakwa bagi kesalahan serupa, sedang dijalankan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan