Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pegawai MUIS dibicara bagi kes rasuah libatkan kerja naik taraf masjid

Seorang pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) didakwa menasihati syarikat binaan supaya mengurangkan sebutan harga bagi kerja-kerja naik taraf masjid, sebagai ganti beliau menerima saham di sebuah syarikat pelancongan.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pegawai MUIS dibicara bagi kes rasuah libatkan kerja naik taraf masjid

Masjid Darul Aman dan Masjid Salim Mattar.

Diterbitkan : 02 Apr 2024 06:44PM Dikemas Kini : 02 Apr 2024 11:06PM
SINGAPURA: Seorang bekas pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) didakwa menasihati sebuah perniagaan binaan supaya mengurangkan sebutan harga bagi kerja-kerja naik taraf masjid, sebagai ganti beliau menerima saham dalam sebuah syarikat pelancongan.

Abdul Rahim Mawasi dituduh membantu syarikat Zeal-Con Engineering untuk mendapatkan dua projek binaan di masjid.

Rahim, 57 tahun dan pengarah Zeal-Con Mohd Mustaqim Kam @ Kam Hock Beng, 65 tahun dibicarakan pada Selasa (2 Apr) masing-masing bagi satu tuduhan rasuah.

Projek yang diberikan adalah bagi pembinaan tempat berbumbung dan kerja-kerja naik taraf di Masjid Darul Aman di Jalan Eunos pada 2018 dan kerja-kerja peningkatan di Masjid Salim Mattar di Mattar Road pada 2019.

Rahim merupakan pengerusi eksekutif di kedua-dua masjid pada ketika itu. Dia juga seorang pegawai di MUIS yang menyenggara semua masjid di Singapura, menurut Timbalan Pendakwa Raya Leong Kit Yu dan Yap Jia Jun.

Menurut pendakwa raya, pada Julai 2018, Rahim menyarankan penubuhan sebuah perniagaan pelancongan bersama Kam dan Kam bersetuju.

Kedua-dua lelaki itu didakwa bersetuju bahawa Rahim tidak perlu menyumbang kepada modal perniagaan itu.

Sebaliknya, Rahim akan membantu Zeal-Con mendapatkan kerja-kerja binaan dari masjid yang dikendalikannya, dan Kam akan menyalurkan keuntungannya kepada modal perniagaan syarikat pelancongan yang mereka tubuhkan, hujah pendakwa.

Selepas diberikan dua kerja binaan, Kam didakwa menggunakan sebahagian keuntungannya bagi modal syarikat pelancongan, Amal Travel & Tour.

Rahim disyaki menerima 25,000 saham Amal Travel & Tour daripada Kam pada November 2019, sebagai ganjaran bagi nasihat yang diberinya untuk mengurangkan sebutan harga.

Saham itu dikatakan dipegang oleh anak lelaki Rahim.

"Kam akan mendakwa tiada niat rasuah di sebalik perbuatan memberikan saham Amal kepada Rahim, dan Rahim tidak memberinya nasihat supaya mengurangkan sebutan harga Zeal-Con bagi kerja-kerja tersebut," kata pihak pendakwa.

"Rahim akan mendakwa dia tidak mendapat hadiah dalam bentuk saham Amal dan kerja-kerja yang diberikan kepada Zeal-Con mematuhi prosedur pemerolehan yang betul."

Namun hujahan itu bercanggah dengan keterangan yang dibuat Rahim dan Kam kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) serta bukti saksi, kata pihak pendakwa raya.

Pendakwa raya akan memanggil anak lelaki Rahim dan seorang kakitangan ke kandang saksi, di mana Rahim didakwa mengeluarkan arahan kepadanya supaya menafikan sebarang pengetahuan tentang Amal dan memadamkan sebarang rekod perbualan dengannya.

Mereka juga akan memanggil empat saksi - kesemuanya kakitangan di kedua-dua masjid pada ketika itu - untuk memberi bukti mengenai dakwaan campur tangan Rahim dalam pemerolehan dan pemberian kerja-kerja binaan itu.

Mediacorp sudah menghubungi MUIS bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Perbicaraan kes itu akan disambung dengan kedua-dua tertuduh kembali bagi sidang sebelum perbicaraan pada Rabu.

Mana-mana individu yang didapati bersalah mengambil atau memberi rasuah boleh dipenjara sehingga lima tahun, denda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan