Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas pegawai ICA dipenjara 10 minggu kerana buat tuduhan palsu terhadap bekas penyelia

Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dijatuhi hukuman penjara 10 minggu pada Isnin (8 Jun) kerana membuat tuduhan palsu terhadap bekas penyelianya. Dia mendakwa bahawa bekas penyelianya itu memetik beberapa gambar bahagian sulit seorang lelaki lain di sebuah tandas awam.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pegawai ICA dipenjara 10 minggu kerana buat tuduhan palsu terhadap bekas penyelia

(Gambar: Varunyu Suriyachan/Canva)

Diterbitkan : 09 Jun 2020 02:12PM Dikemas Kini : 09 Jun 2020 02:16PM

SINGAPURA: Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dijatuhi hukuman penjara 10 minggu pada Isnin (8 Jun) kerana membuat tuduhan palsu terhadap bekas penyelianya. Dia mendakwa bahawa bekas penyelianya itu memetik beberapa gambar bahagian sulit seorang lelaki lain di sebuah tandas awam.

Apabila Thomas Foo Jian Yao, 30, mengaku bersalah pada Mac atas satu tuduhan memberi maklumat palsu kepada seorang kakitangan awam, mahkamah diberitahu bahawa dia melakukannya kerana dia tidak berpuas hati dengan bekas penyelianya kerana telah mencemar nama baiknya di hadapan penyelia barunya.

Penyelia itu, seorang superintenden berusia 46 tahun mengutarakan beberapa perkara kepada penyelia baru Foo, dan tidak menyelesaikannya secara langsung dengan Foo.

Foo, yang ketika itu memegang jawatan sebagai penolong superintenden, merancang untuk membuat aduan palsu kepada pihak pengurusan kanan ICA dengan menggunakan nama palsu. Dia sanggup membeli telefon bimbit di Thailand dan menggunakannya untuk membuka akaun emel baru untuk mengelakkan daripada dikesan.

Dia meletak jawatan dari ICA pada Februari setelah digantung kerja tanpa gaji pada 5 Dis tahun lalu.

Pada 8 Ogos 2019, Foo menghantar aduan palsunya menerusi emel ketika dia sedang bercuti di Puket, Thailand.

Dalam emel itu, dia menyamar sebagai seorang kaunselor bernama "Joseph" yang kononnya menyaksikan suprintenden itu menghalakan kamera telefonnya pada bahagian sulit orang lain di sebuah tandas di Pusat Makanan Seah Im — terletak bertentangan HarbourFront Centre.

Emel itu, yang mengandungi lampiran gambar wajah superintenden itu, menyatakan dia telah menaiki sebuah bas ulang-alik ICA. Ia kemudian menyatakan: "Saya tidak akan memperbesarkan hal. Saya hanya ingin orang ini menerima kaunseling dan nasihat, jika dia benar-benar mengambil gambar sedemikian."

Emel itu dihantar kepada sembilan anggota pengurusan kanan ICA termasuk pesuruhjaya ICA Marvin Sim dan lantaran itu seorang pembantu pesuruhjaya ICA membuat laporan polis pada 8 Ogos.

Pejabat dan rumah superintenden itu diserbu pada hari yang sama dan telefon bimbit peribadi dan pasportnya dirampas.

Bagaimanapun, pihak polis kemudian mengesan emel itu dikirim oleh Foo setelah siasatan mendedahkan maklumat fail gambar yang dilampirkan dalam emel itu dihantar dari Phuket, tempat dia berada.

Foo disahkan sebagai pengirimnya apabila keberadaannya diketahui setelah dia menggunakan rangkaian Wi-Fi awam di Century Square Mall di Tampines sekitar dua minggu kemudian. Pada waktu itu dia sedang menghantar emel kepada pihak polis yang memintanya agar membantu dalam siasatan berhubung kes itu.

Dalam emel kepada polis, Foo berkata bahawa dia tidak pasti samada superintenden itu benar-benar mengambil sebarang gambar dan "tidak ingin memperbesarkan hal itu". Dia juga berkata bahawa dia tidak ada masa untuk ke balai polis untuk diwawancara.

Rakaman kamera polis dan litar tertutup digunakan untuk membantu pihak polis mengenal pasti Foo.

Atas kesalahan memberi maklumat palsu, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya.

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan