Bekas pegawai Certis CISCO dipenjara 9 minggu lepaskan tembakan di tandas pusat beli-belah
Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang bekas korporal Certis CISCO dikenakan penjara sembilan minggu pada Jumaat (11 Mac) kerana melepaskan satu das tembakan daripada pistolnya tanpa sebarang sebab.
Ketika itu, Goh Ze Lin, 37 tahun, berada di dalam tandas di Harbourfront Centre.
Tidak ada orang yang cedera dalam kejadian itu.
Goh mengaku bersalah atas satu tuduhan kerana berlaku gopoh yang membahayakan nyawa orang awam.
Pada pagi 8 Januari 2021, Goh ditugaskan seorang diri di cawangan Bank OCBC di pusat membeli-belah tersebut.
Dia diberi revolver Taurus 85 yang berisi lima peluru hidup dengan tambahan lima lagi peluru dalam sarungnya.
Jarak bagi jenis peluru berkenaan mengena sasaran daripada pistol revolver itu adalah 46 meter. Dalam jarak tersebut, senjata itu dijangka mengena tepat pada sasarannya dan berpotensi untuk membawa maut, menurut dokumen mahkamah.
Sekitar 11.45 pagi, Goh pergi ke tandas lelaki di tingkat dua lalu memasuki salah satu bilik dan menutup pintu.
Dia membuka tali pinggang yang mengandungi pistol itu lalu meletakannya di atas lantai. Sementara dia duduk di jamban, Goh mengeluarkan senjata itu daripada sarung dan bermain dengannya.
Sedang dia memikirkan tentang masalah kewangannya, dia "secara gopoh" memicit picu pistol berisi peluru sekali gus melepaskan tembakan, menurut dokumen mahkamah.
Tembakan itu terkena lantai tandas dan menyebabkan keretakan kecil.
Goh kemudian meletakkan semula senjata itu ke dalam sarungnya.
Pada sekitar 11.50 pagi, dia menelefon Pusat Kawalan Certis dan memaklumkan pengurus operasi bahawa dia telah melepaskan tembakan di dalam tandas. Dia dinasihati untuk tidak bergajak dari situ.
Polis tiba sekitar 12.15 tengah hari dan mendapati tertuduh masih berada di dalam tandas.
Pemeriksaan forensik mengesahkan serpihan peluru yang ditemui di lantasi tandas adalah dari pistol tersebut.
Pasukan Cawangan Persenjataan polis juga memeriksa revolver itu dan mendapati bahawa Goh melepaskan tembakan itu dengan sengaja.
Mahkamah diberitahu bahawa jarak antara tembakan dengan lantai adalah dalam lingkungan berpotensi membawa maut.
"Tertuduh tidak memberi perhatian sama ada terdapat orang lain dalam tandas ketika itu dan tidak dapat lihat jika ada orang di luar semasa berada dalam bilik tanda yang ditutup," tambah dokumen mahkamah itu.
“Tertuduh telah dilatih dan ditauliah untuk mengendalikan dan menggunakan revolver dan tahu bahawa pegawai tidak boleh mengeluarkan atau menggunakan revolver mereka tanpa ancaman.
"Ketika itu, tidak berlaku sebarang ancaman dan tertuduh tahu dia tidak ada alasan untuk mengeluarkan atau menggunakan revolver yang diisi peluru."
Seorang doktor di Institut Kesihatan Mental (IMH) mendapati bahawa Goh mempunyai "tindak balas situasi sementara", dan tidak mendiagnosisnya mengalami sebarang gangguan mental.
Goh sudah diberhentikan Certis CISCO.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.