Bekas pegawai BCA dihukum penjara 8 minggu terima rasuah
Tan Ming Lie, 32 tahun, terima cek S$600 semasa bertugas sebagai pegawai pemeriksaan sementara di BCA.
Tan Ming Lie (Gambar: CPIB)
SINGAPURA: Seorang bekas pegawai Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) hari ini (6 Okt) dijatuhi hukuman penjara lapan minggu dan diperintahkan membayar denda S$600 atas kesalahan rasuah, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan media.
Tan Ming Lie, 32 tahun, pada masa itu adalah seorang pegawai pemeriksaan sementara di BCA.
Warga Singapura itu ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan di tapak binaan dan dormitori untuk memastikan langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 sewajarnya dipatuhi dan juga mengambil tindakan lanjut ke atas setiap pelanggaran yang dikesan.
Pada 24 November 2020, dia ditugaskan untuk memeriksa tapak binaan kendalian Domain Trading & Construction di 69 Begonia Drive.
"Siasatan CPIB mendapati bahawa apabila Tan menghubungi pengurus besar Domain Trading menerusi WhatsApp untuk mengatur waktu pemeriksaan, Tan mengirimkan kad nama peribadinya yang menunjukkan dirinya sebagai pengurus keselamatan dan penjualan Angelshield Safety Consultant, dan memberitahu pengurus besar Domain Trading bahawa dia juga menyediakan jenis perkhidmatan lain," menurut kenyataan CPIB.
Semasa pemeriksaan tapak pada keesokan harinya, Tan memberitahu kakitangan di sana bahawa rancangan pemantauan langkah pengurusan selamat tidak mencukupi.
Dia juga berkata bahawa Domain Trading tidak akan sempat melakarkan rancangan sewajarnya dalam tempoh 48 jam untuk diserahkan kepada BCA.
"Pengurus besar Domain Trading kemudian menelefon Tan, yang memberi gambaran seolah-olah Domain Trading mungkin akan dikenakan perintah henti kerja jika syarikat itu tidak segera mematuhi rencana langkah-langkah pengurusan selamat," menurut CPIB.
"Khuatir sekiranya Tan akan membuat aduan teruk kepada BCA mengenai ketidakpatuhan Domain Trading, pengurus besar Domain Trading meminta khidmat Angelshield untuk melakarkan rancangan langkah pengurusan selamat dengan bayaran S$600, dan membuat pembayaran kepada Tan menerusi cek sekitar Disember 2020. "
Tan, yang didakwa pada 27 Ogos, dikenakan satu dakwaan lain di bawah Akta Pencegahan Rasuah yang diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.
"Singapura mengambil pendekatan tidak bertolak ansur sama sekali terhadap rasuah," kata CPIB.
Sesiapa yang disabit kesalahan rasuah boleh didenda hingga S$100,000, dipenjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.
"Hukuman penjara maksimum untuk setiap kesalahan rasuah boleh dilanjutkan menjadi tujuh tahun jika berkaitan dengan hal atau kontrak dengan Pemerintah atau badan awam, atau subkontrak untuk melaksanakan kerja-kerja yang termasuk dalam kontrak tersebut," tambah CPIB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.