Bekas pegawai BCA didakwa terima rasuah berkaitan pemeriksaan tapak binaan
Seorang bekas pegawai pemeriksaan sementara dengan BCA pada Jumaat (27 Ogos) didakwa melakukan rasuah melibatkan dua pemeriksaan di tapak binaan. Dia didakwa cuba menerima rasuah sekali lagi selepas terima sogokan $600.
Gambar fail: Calvin Oh
SINGAPURA: Seorang bekas pegawai pemeriksaan sementara dengan Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) hari ini (27 Ogos) didakwa melakukan rasuah melibatkan dua pemeriksaan di tapak binaan.
Tan Ming Lie, 32 tahun, disyaki menerima rasuah daripada seorang pengurus Domain Trading & Construction pada 25 November tahun lalu, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).
Firma tersebut ketika itu menguruskan tapak binaan di 69 Begonia Drive di Yio Chu Kang. Pembayaran itu didakwa merupakan sogokan untuk Tan supaya "tidak menunjukkan rasa tidak senang" dalam pemeriksaan BCA di lokasi tersebut.
Rasuah yang didakwa diterimanya itu berupa pembayaran S$600 bagi khidmat perundingan, yang diberikan kepada Domain Trading oleh Angelshield Safety Consultant.
Keesokan harinya, Tan didakwa cuba mendapatkan sogokan lain dengan kaedah yang sama.
Kali ini, dia mendekati pengurus projek Sin Hock Keong Construction, yang menguruskan sebuah lokasi di 4 Plantation Avenue di Serangoon.
Namun kejadian itu dilaporkan kepada BCA dan kemudiannya dirujukkan kepada CPIB.
Tan didakwa atas dua tuduhan rasuah hari ini. Sekiranya sabit kesalahan, dia boleh dipenjara hingga lima tahun, didenda hingga S$100,000, atau kedua-duanya.
"Hukuman penjara maksimum bagi setiap kesalahan rasuah boleh dinaikkan keada tujuh tahun jika berkaitan dengan masalah atau kontrak dengan Pemerintah atau badan awam, atau subkontrak untuk melaksanakan pekerjaan yang termasuk dalam kontrak sedemikian," menurut CPIB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.