Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas naib presiden UOB dijel 9 tahun, salah guna S$5 juta wang pelanggan

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas naib presiden UOB dijel 9 tahun, salah guna S$5 juta wang pelanggan

Bekas naib presiden UOB Ling Shek Lun berjalan ke Mahkamah pada 4 Jan 2022. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 04 Jan 2022 09:14PM Dikemas Kini : 04 Jan 2022 09:21PM

SINGAPURA: Selama tempoh 10 tahun, seorang naib presiden di United Overseas Bank (UOB) menyalahgunakan wang tunai seorang pelanggan berjumlah sekitar S$5 juta.

Ling Shek Lun, 66 tahun, memperdaya pelanggannya bahawa wang beliau dimasukkan ke dalam "akaun penama khas" dengan UOB.

Namun, dia sebaliknya melaburkan wang itu dalam perniagaan spa seorang rakan kongsi dengan tidak meraih sebarang keuntungan darinya.

Apabila pelanggannya mendapati wang itu disalah guna pada 2015, beliau membuat laporan polis dan kemudian menyaman Ling untuk mengembalikan wang berjumlah berjuta-juta itu.

Ling yang dipecat telah UOB dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun pada Selasa (4 Jan).

Dia mengaku bersalah atas 20 tuduhan menyeleweng wang pelanggan dan memalsukan dokumen dengan lagi 122 tuduhan diambil kir adalam menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu Ling bekerja di UOB dari tahun 1992 dan merupakan naib presiden-merangkap-pengurus-perkhidmatan-pelanggan antara tahun 2004 dengan 2014 apabila dia melakukan jenayah itu.

Mangsa dan isterinya sudah menjadi pelanggan UOB sejak tahun 1998 dan ada pelbagai akaun dengan Ling, yang juga merupakan pengurus perhubungan mereka sekitar akhir tahun 1998 hingga awal 2000.

Ling berkenalan seorang wanita bernama, Yong Ai Khim sekitar masa yang sama yang kemudian menjadi rakan niaga Ling.

Yong membuka perniagaan spa kuku, Nailxpert - Your Ultimate Nail Spa pada 2002.

Ling memberikan sokongan kewangan kepada Yong dengan perjanjian dia berkongsi keuntungannya.

Pada 2004, mangsa meminta Ling menyarankan khidmat penama yang disediakan UOB.

Ling mula memindahkan wang yang diserahkan mangsa untuk dimasukkan ke dalam "akaun penama khas" dengan UOB kepada Yong.

Ini berlarutan selama 10 tahun dengan mangsa menyerahkan kepada Ling £2.7 juta (S$.4.94 juta) dan AS$14,010 (S$18,600) dalam beberapa kejadian.

PALSUKAN DOKUMEN

Setiap kali mangsa berada di Singapura, Ling akan menyerahkan penyata bank palsu sebagai bukti wang mangsa sudah dimasukkan ke dalam akaun penama khas dengan UOB.

Ling berbohong kepada mangsa bahawa nama dan nombor akaun memang tidak ditunjukkan pada penyata tersebut.

Sebenarnya, Ling mengubah dokumen dan penyata asli UOB dengan membuat salinan dan menberikannya kepada mangsa dengan tujuan memperoleh lebih banyak dana.

Pada September 2015, mangsa meminta sekitar £373,000 (S$683,000) dari akaun UOB dipindahkan ke akaun bank DBS beliau.

Ling menghantar emel kepada mangsa bahawa dia sudah menyalahgunakan dana mangsa. Mangsa kemudian menghantar surat peguam kepada UOB pada November 2015 menuntut akses kepada wangnya.

UOB menjalankan siasatan dalaman dan membongkar penipuan itu. Laporan polis terhadap Ling difailkan pada November 2015. Mangsa juga membuat laporan pada bulan berikutnya.

Pada 2018, mangsa dan isterinya menyaman Ling di Mahkamah Tinggi bagi menuntut wang mereka dikembalikan.

Penghakiman pada April 2019 mengarahkan Ling membayar pasangan itu ganti rugi yang jumlahnya akan ditentukan selain faedah dan kos.

Pada Januari 2021, kedua-dua pihak mencapai persetujuan dengan Ling bersetuju membayar mangsa kira-kira S$3.2 juta secara ansuran selama tempoh 20 tahun. Setakat ini, dia sudah memulangkan S$312,415.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan