Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas ME1 SAF dihukum penjara & dirotan kerana rogol remaja 13 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas ME1 SAF dihukum penjara & dirotan kerana rogol remaja 13 tahun

Gambar fail: Try Sutrisno Foo/CNA

SINGAPURA - Seorang bekas askar sepenuh masa Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun dan 12 sebatan pada Rabu (25 Sep) kerana merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di kawasan tepi tangga.

Muhammad Mohamed Iqbal, yang kini berusia 29 tahun dan tidak lagi bertugas dalam SAF, menangis di kandang tertuduh semasa prosiding mahkamah.

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan merogol dan satu tuduhan memiliki bahan penderaan kanak-kanak.

Muhammad memegang pangkat Pakar Tentera 1 (ME1) semasa dia diberkas, menurut jurucakap Kementerian Pertahanan (MINDEF) kepada Mediacorp pada Khamis (26 Sep).

Dia digantung daripada semua tugas selepas didakwa pada 2023 dan "berhenti bekerja dengan SAF" pada tahun itu, dedah jurucakap tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Colin Ng dan June Ngian mengusulkan hukuman penjara antara sembilan tahun dan lapan bulan, dan 10 tahun dan 10 bulan, berserta enam sebatan.

Encik Ng berkata "jelas bahawa tingkah laku tertuduh didorong oleh keputusan untuk memenuhi nafsu syahwatnya".

Selepas mengetahui mangsa berumur 13 tahun, Muhammad menjalin hubungan berunsur seksual dengannya dan berbohong bahawa dia berusia 18 tahun kerana dia takut remaja perempuan itu akan berhenti bercakap dengannya jika dia mendedahkan usia sebenar, kata Encik Ng.

Hakim Valerie Thean menyoal Encik Ng tentang usulannya untuk enam sebatan dan bukan 12, seperti yang diperuntukkan di bawah rangka kerja hukuman bagi kesalahan sedemikian.

Encik Ng berkata pihak pendakwa mempertimbangkan "usianya yang agak muda" pada masa itu, serta pengakuan bersalahnya.

Peguam bela Ramachandran Shiever Subramanium dari firma guaman Grays sebaliknya mengusulkan hukuman penjara sembilan tahun dan empat sebatan.

Menurut beliau, anak guamnya telah menunjukkan rasa kesal dan mengakui kesalahannya. Mana-mana hukuman tidak sepatutnya memberi kesan yang menghancurkan kepada Muhammad, yang "berupaya menjalani pemulihan", kata peguam itu.

"Tertuduh mengakui kesalahannya dan mengaku bahawa kerana dia lebih tua daripada mangsa, dia tidak sepatutnya berbuat demikian," kata Encik Subramanium, sedang anak guamnya menangis di kandang tertuduh.

Beliau berkata Muhammad secara sukarela telah mendapatkan penilaian psikiatri Institut Kesihatan Mental (IMH) dan berasa malu selepas dia diberkas.

Dia dirujuk untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan melakukan kerja sukarela untuk membantu golongan yang memerlukan.

Jurucakap MINDEF memberitahu Mediacorp bahawa "SAF menetapkan piawai disiplin dan integriti yang tinggi ke atas semua kakitangannya".

“Kakitangan yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” tegas MINDEF.

 
Sumber : Today/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan