Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas ketua sami Kuil Sri Mariamman dipenjara 6 tahun, gadai barang kemas milik kuil berulang kali bernilai lebih S$2 juta

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Selama tempoh hampir lima tahun, ketua sami di kuil tertua Singapura menyalahgunakan barang kemas yang digunakan untuk upacara keagamaan dengan menggadainya berulang kali, mencecah lebih dari S$2 juta.

Kandasamy Senapathi, 39 tahun, hanya ditangkap ketika pandemik COIVID-19 melanda pada 2020, yang menyebabkan perubahan pada jadual audit dan mendedahkan barang kemas yang hilang.

Kandasamy dihukum penjara enam tahun pada Selasa (30 Mei) atas kesalahannya.

Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan pecah amanah jenayah dan dua tuduhan memindahkan hasil jenayah ke luar negara. Enam lagi tuduhan dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Kandasamy, seorang warga India, diambil bekerja oleh Lembaga Endowmen Hindu (HEB) di Kuil Sri Mariamman dari Disember 2013 hingga dia bersara pada 30 Mac, 2020.

Kandasamy diberi amanah memegang kunci dan nombor kod gabungan peti besi di kawasan suci kuil itu sekitar 2014.

Peti besi itu mengandungi 255 keping barang kemas emas dimiliki kuil, bernilai sekitar S$1.1 juta.

Barang kemas tersebut digunakan untuk menghiasi dewa-dewa Hindu ketika upacara sembahyang atau acara khas di kuil, dan Kandasamy ditugaskan untuk mengambil dan menyimpan semula barang kemas ketika acara tersebut.

Kandasamy merupakan satu-satunya orang yang memegang kunci dan mempunyai akses kepada peti besi yang menyimpan barang kemas itu.

Dia mula menggadai beberapa keping barang kemas itu pada 2016, di kedai-kedai pajak dan kemudian menebusnya menggunakan wang yang diperoleh dari menggadaikan barang kemas milik kuil yang lain.

Pada 2016 sahaja, Kandasamy menggadai 66 keping barang kemas milik kuil sebanyak 172 kali. Dia menebus kesemua barang kemas itu dan mengembalikannya semula ke kuil tanpa diketahui sesiapa.

Dia terus melakukan demikian antara 2016 dengan 2020, di mana dia akan menggunakan wang yang diperoleh dan memulangkan barang kemas setiap kali audit dijadualkan.

Sebaik sahaja audit selesai, dia akan menggadai semula barang kemas itu supaya dapat memulangkan wang yang dipinjam.

Jumlah wang tunai yang diterima Kandasamy dari kedai-kedai pajak dari 2016 hingga 2020 secara keseluruhan adalah S$2,328,760.

Dia memasukkan sebahagian wang itu ke dalam akaun bank peribadinya dan menghantar sekitar S$141,000 ke India.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan