Skip to main content

Singapura

Bekas ketua pasukan FairPrice dipenjara kerana bersubahat terima sogok S$523,000 dari pembekal ikan

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas ketua pasukan FairPrice dipenjara kerana bersubahat terima sogok S$523,000 dari pembekal ikan

(Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

Diterbitkan : 10 Apr 2023 05:30PM Dikemas Kini : 11 Apr 2023 12:32AM


SINGAPURA: Seorang bekas ketua pasukan di NTUC FairPrice dikenakan hukuman penjara pada Isnin (10 Apr) kerana bersubahat dengan seorang ketua kanan pasukan untuk menerima wang sogokan daripada pembekal ikan selama lapan tahun.

See Hock Lam, 70 tahun, dipenjara tiga tahun dua bulan, dan didenda S$261,500.

Jika dia gagal membayar denda tersebut, hukuman penjaranya ditambah selama 523 hari lagi.

See mengaku bersalah atas 10 tuduhan bersubahat untuk menerima rasuah. 21 lagi tuduhan diambil kira dalam menjathkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa See mula bekerja di NTUC FairPrice pada 1997.

Dia bekerja di bawah penyeliannya tertuduh bersama, Lim Kian Kok, yang juga dikenali sebagai Andrew.

Lim adalah ketua kanan pasukan dari 2013 dan menyelia operasi pembelian NTUC Fairprice di Pelabuhan Perikanan Jurong.


Dia ditugaskan untuk membeli bekalan ikan dan makanan laut segar daripada pembekal.

LIM AJAK SEE

Selepas Lim dinaikkan pangkat menjadi pemimpin kanan pasukan, dia mendekati See dan bertanya sama ada See memerlukan wang. Lim berkata dia akan meminta pembekal di Pelabuhan Perikanan Jurong untuk memberinya wang sogokan dan sebagai ganti akan membeli lebih banyak ikan daripada mereka. Dia bertanya jika See ingin turut sama.

Dia berbuat demikian agar See dapat menyokongnya dan tidak membuat aduan kepada NTUC FairPrice.

Memandangkan See mempunyai tabiat berjudi dan ingin mendapatkan wang yang lebih, dia pun bersetuju dan kedua-dua mereka bersetuju untuk membahagikan wang tersebut secara sama rata.

Dari 2013 sehingga 2020, mereka menerima sekurang-kurangnya S$523,000.

Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) mendapat tahu tentang kes tersebut dan Lim menyerahkan S$180,000 kepada biro tersebut pada Oktober 2020 setelah siasatan dijalankan.

Lim meletak jawatan sekitar tempoh yang sama dan kebanyakan mereka yang terlibat dalam kes berkenaan juga didakwa.

Lim dijatuhi hukuman penjara empat tahun lima bulan pada Mac dan didenda hampir S$290,000.

Dalam satu kenyataan pada Isnin malam, Kumpulan FairPrice (FPG) menyatakan pihaknya tidak bertolak ansur terhadap sebarang perbuatan yang melanggar tatalaku syarikat itu.

Sejak kejadian itu, FPG juga telah menjalankan semakan menyeluruh terhadap proses perolehannya dan melakukan apa yang perlu untuk mengukuhkan kawalan dan tadbir urus. 

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita