Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas ketua LTA Ngien Hoon Ping dilantik jadi CEO baru SMRT

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas ketua LTA Ngien Hoon Ping dilantik jadi CEO baru SMRT

Bekas ketua eksekutif LTA, Ngien Hoon Ping. (Gambar: TODAY)

SINGAPURA: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Ngien Hoon Ping dilantik menjadi CEO baru kumpulan syarikat SMRT mulai 1 Ogos.

Menurut satu kenyataan media pada Jumaat (18 Mac), CEO SMRT sekarang Neo Kian Hong akan mengundurkan diri dan menjadi penasihat kepada Encik Ngien dari 1 Ogos hingga 31 Oktober untuk melicinkan prosese peralihan tersebut.

Encik Ngien akan menyertai SMRT sebagai pengarah lembaga pada 1 Mei, tambah SMRT.

Encik Ngien adalah seorang jurutera terlatih dan memegang ijazah kejuruteraan elektrikal dan elektronik dari Universiti Manchester di Britain. Beliau juga mempunyai ijazah sarjana dalam bidang sains dari Universiti Nasional Singapura (NUS), menurut kenyataan itu.

Sejak September 2020, Encik Ngien menerajui perniagaan rantaian bekalan NTUC FairPrice Group selaku CEO kumpulan itu.

Sebelum itu, beliau menyandang jawatan CEO LTA dari 2016 hingga 2020, dan bertanggungjawab menyelia projek prasarana seperti Laluan Thomson-East Coast, Depot Mandai dan Lebuh Raya Lornie.

Beliau juga menggalas tugas timbalan setiausaha (prestasi) Kementerian Kewangan (MOF) dan berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) selama 26 tahun.

Semasa dalam SAF, Encik Ngien berkhidmat dalam pelbagai peranan seperti pengarah operasi bersama, Panglima Markas Sokongan Khidmat Tempur dan Penolong Ketua Staf (logistik).

Pengerusi SMRT Seah Moon Ming berkata lembaga pengarah SMRT mempunyai pelan penggantian pucuk pimpinan yang sentiasa disemak untuk memastikan ia relevan, tambahnya.

"Kami mengalu-alukan Hoon Ping ke dalam keluarga SMRT dan yakin bahawa dengan pengalamannya dalam sektor pengangkutan serta tumpuannya pada pendigitalan dan peningkatan proses, Hoon Ping berada pada kedudukan yang baik untuk memimpin SMRT maju ke hadapan dalam era gangguan," kata Encik Seah.

Encik Seah mengucapkan terima kasih kepada Encik Neo, atas khidmat dan sumbangan beliau dalam "menyelia usaha memperdalam keupayaan kejuruteraan rel dan penyampaian konsisten bagi kebolehpercayaan rel yang tinggi."

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan