Skip to main content

Singapura

Bekas ketua IT bangkit semula selepas kehilangan pekerjaan, kini kuasai bidang teknologi baru

Kira-kira tujuh tahun lalu, Encik Yatim Ghani kehilangan pekerjaan sebagai Ketua Teknologi (IT) di sebuah syarikat kecil dan sederhana (SME).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kira-kira tujuh tahun lalu, Encik Yatim Ghani kehilangan pekerjaan sebagai Ketua Teknologi (IT) di sebuah syarikat kecil dan sederhana (SME).

Pada usia 47 tahun, beliau mendapati sukar untuk kembali ke dalam sektor teknologi, satu situasi yang mencabar terutamanya kerana beliau merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi keluarganya yang terdiri daripada sembilan orang.

Selepas usaha mendapatkan pekerjaan dalam bidang IT tidak membuahkan hasil, beliau membuat keputusan untuk menjadi pemandu Grab bagi menyara kehidupan keluarganya.

“Saya diberhentikan kerja tahun 2018, lebih kurang setahun sebelum COVID melanda. Pada waktu itu, susah untuk mendapat pekerjaan terutama sekali dengan umur saya. Jadi cara yang paling mudah adalah untuk menjadi pemandu Grab. Selepas itu COVID-19 pula melanda. Jadi ia menjadi lebih susah dari segi kewangan dan saya perlu bekerja keras pada waktu itu.”

PELUANG KEDUA YANG MENGUBAH HIDUP

Namun titik perubahan berlaku pada tahun 2021 apabila beliau mendaftarkan diri dalam program Sijil Possiswazah SGUnited Skills (SGUS) dalam Kejuruteraan Data dan Kilang Pintar di Institut Teknologi Singapura (SIT).

Melalui program tersebut, beliau mempelajari pelbagai kemahiran teknologi baharu yang membuka laluan untuk kembali ke sektor teknologi, kali ini dalam bidang kejuruteraan data dan transformasi digital industri.
Encik Yatim telah meraih kemahiran baru melalui program Skills Future yang diajarkan di SIT. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidhir Mohd Ezat)
"Ia mengajarkan saya tentang automasi, Internet of Things (IoT) , data sains dan juga Kecerdasan Buatan (AI). Oleh itu ia membuka peluang yang lebih kepada saya,” kata beliau kepada wartawan Hidir Mohd Ezat.

Program SGUS yang dirangka khas untuk membantu individu yang terjejas akibat pandemik COVID-19 memberi ruang kepada peserta seperti beliau untuk bukan sahaja meningkatkan kemahiran, malah membina semula keyakinan diri dalam menghadapi dunia pekerjaan yang kian berteraskan teknologi.

“Perubahan tidak berapa mendadak tetapi ada beberapa cabaran disebabkan perkara baru seperti data sains yang perlu kita pelajari.”

DARIPADA PESERTA MENJADI PENDIDIK

Berbekalkan ilmu dan sokongan yang diterima, Encik Yatim bukan sahaja kembali ke bidang teknologi, malah tampil sebagai ejen perubahan dalam ekosistem pembelajaran dan transformasi digital.

Beliau kini berkhidmat sebagai pensyarah sambilan dalam bidang pengkomputeran awan (cloud computing), IoT dan AI, di samping bekerjasama dengan SSA Consulting Group untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) menjalani proses pendigitalan.

“Saya cuba menjadi pensyarah sambilan di salah satu dari Universiti swasta di Singapura dan dari sana, banyak kursus-kursus yang dapat saya ajar.”

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT SATU KEPERLUAN, BUKAN PILIHAN

Yatim turut mengakui bahawa skim seperti Kredit SkillsFuture, yang menampung sepenuhnya yuran kursus, memainkan peranan besar dalam membolehkannya kembali belajar tanpa tekanan kewangan.
Encik Yatim kini menyumbang semula dengan menjadi pensyarah sambilan dan juga syarikat konsultasi. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidhir Mohd Ezat)
“Ianya dimudahkan dengan adanya kredit SkillsFuture. Jadi kesemua kos ditanggung oleh SkillsFuture. Dan melalui kursus ini juga, saya mendapat banyak sokongan daripada pensyarah-pensyarah di SIT dan teman-teman sedarjah.”

Beliau turut menekankan bahawa pembelajaran sepanjang hayat kini bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan dalam dunia pekerjaan yang semakin didorong oleh teknologi.

“Tidak kiralah untuk yang masih bekerja, untuk tingkatkan kemahiran, atau yang dibuang kerja macam saya untuk cari rezeki dan dapatkan pekerjaan baharu. Banyak inisiatif di bawah SkillsFuture yang telah berkembang dan merangkumi pelbagai aspek keperluan para pekerja.

“Jadi, semua pekerja sekarang lebih berpeluang untuk memilih pelbagai kursus yang ada. Tidak kira di tahap umur mana pun, atau dalam laluan kerjaya apa sekali pun. Platform SkillsFuture ini sangat berguna untuk setiap pekerja yang mahu meningkatkan diri dari pelbagai sudut,” katanya lagi.

Kisah beliau membuktikan bahawa pembelajaran sepanjang hayat mampu membuka peluang baharu, memperkasa individu untuk membina semula kerjaya dan meningkatkan mobiliti sosial.
Sumber : BERITA Mediacorp/HD/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita