Skip to main content

Singapura

Bekas kekasih suspek yang bunuh wanita SG di Sepanyol disifatkan 'agresif', 'mengamuk'

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas kekasih suspek yang bunuh wanita SG di Sepanyol disifatkan 'agresif', 'mengamuk'

Mitchell Ong (kiri) tampil di mahkamah pada 19 April 2024, selepas diberkas kerana kaitannya dengan kematian wanita rakyat Singapura, Audrey Fang (kanan). (Gambar: Instagram/strongestasian, Facebook/Fang Dirou)

Diterbitkan : 23 Sep 2024 11:19PM Dikemas Kini : 23 Sep 2024 11:44PM
SINGAPURA: Bekas kekasih seorang lelaki yang disyaki membunuh seorang lagi rakyat Singapura di Sepanyol baru-baru ini memberi keterangan bahawa lelaki itu "agresif" dan dibelenggu masalah kewangan ketika mereka masih bersama.

Demikian menurut saluran media Sepanyol La Verdad pada Isnin (23 Sep).

Mitchell Ong, yang kini tidak diwakili sebarang peguam, diberkas di Alicante pada 16 April kerana didakwa membunuh Cik Audrey Fang semasa mangsa itu bercuti di Sepanyol.

Mayatnya ditemui pada 10 April dengan 30 kesan tikaman, berhampiran kawasan tempat letak kereta bagi lori di bandar Abanilla, kira-kira 150 kilometer dari hotel yang dia menginap.

Bercakap kepada sebuah mahkamah Sepanyol menerusi satu pautan video dari Kyiv, bekas kekasih Ong yang merupakan rakyat Ukraine, mengatakan dia bertemunya selang beberapa hari sebelum mayat Cik Fang ditemui. Suspek didakwa mempunyai "kecederaan" di lututnya, di mana dia tidak dapat menjelaskannya.

Saksi menambah pertama kali bertemu dengan suspek di kelab malam Brussels pada 2021 dan menjalin hubungan selepas itu dengan pelbagai "gangguan".

Wanita itu berkata bahawa Ong telah mengunjunginya "hampir setiap bulan" di Alicante, di mana dia tinggal tahun lalu.

Pada September tahun lalu, pasangan itu berpisah, sekalipun Ong terus menghantar bunga dan hadiah. Wanita itu berkata dalam kenyataan mahkamah bahawa Ong akan mengganggu dan merayunya agar kembali bersama, mendorongnya untuk meminta rakan-rakannya untuk menjaganya.

Pada April, Ong cuba berdamai dengan menjemputnya ke Sepanyol.

Walaupun wanita itu berkata dia enggan, dia akhirnya bersetuju untuk melakukan lawatan itu dan memberikan Ong tanggungjawab untuk mencari tempat penginapan di Alicante, sebuah bandar yang mereka berdua cukup kenali.

Wanita itu berkata dia tidak tahu mengapa Ong menempah hotel atas namanya, sambil menambah bahawa dia tidak tahu apa-apa tentang Cik Fang atau Ong telah berkahwin sejak 2012.

Rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan Ong tiba di Alicante pada 3 April. Apabila ditanya sebab dia tiba di Sepanyol lebih awal daripada yang dijangkakan, Ong berkata dia mempunyai pertemuan sebelum ini dengan rakan-rakan di Barcelona.

Ong diberkas pada 16 April kerana disyaki membunuh Cik Fang, selepas rakaman kamera menunjukkan Cik Fang dijemput dari hotelnya dengan kereta yang dipandu oleh Ong.

Bekas kekasihnya tiba di Sepanyol pada 12 April dan meninggalkan bilik hotel yang dikongsi mereka lima hari kemudian kerana dia "takut", menurut kenyataan mahkamah.

Semasa mereka bersama di Alicante, dia memberi keterangan bahawa Ong bersikap "agresif" dan akan "mengamuk" pada beberapa ketika. Ong akan menjerit kepadanya dan, dalam satu keadaan, membaling kerusi ke arahnya selepas mereka bertengkar.

Selain "kecederaan" yang tidak dapat dijelaskan pada lutut Ong, wanita itu juga mengatakan dalam kenyataannya bahawa Ong telah bertindak dengan pelik, seolah-olah dia "lumpuh" semasa mereka berada di Alicante.

Apabila ditanya apa yang salah, Ong mengatakan bahawa kekasihnya itu harus berasa "gembira" kerana dia masih "normal" selepas apa yang telah dia "lakukan", tanpa menjelaskan dengan lebih lanjut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita